Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam kerangka pembinaan bangsa, persekitaran yang membina tidak hanya berperanan sebagai ruang sosial, sebaliknya perlu menjadi tapak semaian nilai budaya dan bahasa kebangsaan.
Persekitaran yang membina akan menonjolkan nilai saling menghormati, semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap bahasa serta budaya yang menjadi asas penting dalam membina generasi Malaysia yang berjiwa besar, berakhlak tinggi dan berbudaya luhur.
Di sinilah letaknya inti pati pembinaan bangsa; keseimbangan antara kecerdasan akal dengan keluhuran budi yang diwarisi daripada akar tamadun Melayu dan warisan budaya pelbagai kaum di tanah air.
Persekitaran sebagai Wadah Pembentukan Karakter
Dalam teori perkembangan kanak-kanak, persekitaran sosial merupakan faktor dominan selepas keluarga dalam pembentukan keperibadian seseorang (Hafizi, Kamarudin dan Mohamad Ibrahim, 2024). Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana harmoni yang penuh kasih, empati, dan tutur yang berhemah akan membesar sebagai insan yang berbudi bahasa dan berjiwa penyayang.
Sebaliknya, persekitaran yang tandus nilai budaya dan kurang penekanan terhadap bahasa ibunda berisiko melahirkan generasi yang terpisah daripada akar jati dirinya.
Peranan keluarga amat penting dalam hal ini. Ibu bapa yang menuturkan bahasa ibunda di rumah seiring dengan penguasaan bahasa kedua, pada hakikatnya sedang menyeimbangkan perkembangan intelektual dan emosi anak. Dalam masa yang sama, apabila mereka menghargai adat resam serta memperkenalkan unsur budaya tempatan seperti seni, lagu rakyat dan peribahasa, mereka sedang menanam benih nilai yang membentuk jiwa anak-anak.
Seperti yang tersirat dalam peribahasa Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya,” pendidikan nilai dan budi harus dimulakan sejak usia awal agar menjadi darah daging dalam perilaku.
Bahasa sebagai Cerminan Budaya dan Alat Penyatuan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sekadar medium komunikasi, tetapi juga lambang penyatuan dan cerminan akal budi bangsa. Melalui bahasa, kita diajar beradab dalam tutur, berfikir dengan hikmah dan menghormati perbezaan. Bahasa yang baik membentuk pemikiran yang tertib; pemikiran yang tertib melahirkan masyarakat yang berbudaya.
Namun begitu, dalam arus digital masa kini, kebanyakan anak muda lebih cenderung menggunakan bahasa asing atau bahasa rojak, terutamanya di media sosial. Fenomena ini jika tidak ditangani dengan pendidikan bahasa dan budaya yang kukuh boleh menyebabkan berlakunya penjarakan budaya.
Maka, tanggungjawab semua pihak contohnya sekolah, ibu bapa dan masyarakat ialah dapat memastikan bahasa Melayu terus subur sebagai benteng jati diri dan wadah kebanggaan nasional. Menguasai bahasa dunia itu penting, namun mencintai bahasa sendiri itu wajib bagi bangsa yang ingin terus berdaulat.
Sekolah dan Komuniti: Ruang Sosialisasi Nilai Budaya
Sekolah bukan sekadar medan akademik, tetapi gelanggang pembentukan insan. Guru berperanan bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi juga menanam nilai kesopanan, tanggungjawab sosial dan semangat toleransi dalam diri pelajar.
Dalam pengajaran bahasa dan sastera, pemilihan bahan bacaan seperti cerpen, puisi dan drama tempatan yang berteraskan realiti budaya Malaysia dapat memperluas empati dan kefahaman antara kaum. Karya-karya sebegini tidak sekadar memperkaya kosa kata, malah membina akal budi yang mencerminkan semangat bangsa.
Komuniti pula menjadi pelengkap kepada pendidikan nilai. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, sambutan perayaan pelbagai kaum dan program kesukarelawanan membuka ruang kepada anak-anak untuk mempraktikkan nilai tolong-menolong, hormat-menghormati dan semangat kekitaan.
Pengalaman seperti inilah mereka belajar bahawa budaya bukan hanya sesuatu yang diwarisi, tetapi sesuatu yang dihidupkan melalui amalan bersama.
Media dan Teknologi dalam Pembentukan Budaya Baharu
Anak-anak bukan sahaja penerima maklumat tetapi juga pencipta budaya baharu. Media sosial, animasi dan permainan dalam talian boleh menjadi wahana pendidikan budaya sekiranya dikawal dengan bijaksana. Kandungan digital berunsur tempatan seperti cerita rakyat, adat tradisi dan bahasa ibunda perlu diperbanyakkan agar nilai murni terus dekat dengan jiwa generasi muda.
Namun begitu, pembentukan karakter tidak boleh diserahkan kepada teknologi semata-mata. Bimbingan manusia seperti guru, ibu bapa dan masyarakat tetap menjadi tiang utama. Literasi digital hari ini perlu disertai dengan literasi budaya dan budi, iaitu keupayaan menilai maklumat, memahami nilai tempatan dan berinteraksi secara beretika dalam dunia maya.
Teknologi tanpa budi hanyalah alat; budi tanpa teknologi pula kehilangan daya saing. Gabungan keduanya melahirkan insan Malaysia yang seimbang antara minda dan nilai.
Anak-anak Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama merupakan waris masa depan bangsa. Pembentukan karakter dan budaya mereka bergantung pada sejauh mana kita membina persekitaran yang seimbang yang bukan sahaja menajamkan intelek, tetapi juga menumbuhkan rasa cinta terhadap bahasa dan budaya sendiri.
Apabila anak-anak dibesarkan dalam suasana yang menghargai bahasa, budaya dan nilai kemanusiaan, maka lahirlah generasi yang bukan sahaja bijak mindanya tetapi juga luhur budinya. Di sinilah terletaknya erti kemajuan yang sebenar, bukan pada kemewahan material, tetapi pada kemantapan jati diri bangsa yang tahu menunduk pada budi dan berpaut pada akar budaya.
___________________________________________________
Nuruladilah Mohamed merupakan pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun.