Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-70 tahun, Saifullizan Yahaya membedah lirik Lagu Dewan Bahasa yang menjadi jambatan menghubungkan cita-cita para leluhur pejuang bahasa dengan masa hadapan bahasa Melayu. Beliau meneliti rentetan peristiwa sejarah pergerakan bahasa dan sastera serta penubuhan DBP.
Apabila kita meneliti sebuah karya sastera termasuklah lirik lagu, kita bukan sekadar mengucapkan kata-kata dan menikmati bunyi bahasa, sebaliknya kita perlu menghayati nilai-nilai yang dibawanya. Jauh lebih baik, jika lirik lagu itu merakamkan sebuah sejarah.
Bahasa dan sastera tidak pernah lahir daripada kekosongan ruang vakum sejarah. Kehadirannya ialah cetusan daripada satu tawarikh perjuangan panjang yang menuntut kedaulatan, maruah dan keberanian intelektual para pencintanya.
Di tengah-tengah denai yang panjang, DBP berdiri bukan sekadar sebagai sebuah bangunan atau menara pentadbiran kerajaan di kota raya Kuala Lumpur, tetapi sebagai sebuah “Rumah Bangsa” yang sakral dengan jiwa pahlawan bahasa dan persuratannya.
Manifestasi tertinggi daripada kesedaran Perlembagaan Perkara 152 ini terakam dengan begitu indah, murni, dan menusuk kalbu melalui lirik Lagu Dewan Bahasa. Lirik yang ditulis oleh seorang pujangga rakyat, Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, dan digubah melodinya oleh Saiful Bahri, yang juga pengubah Lagu Negara.
Melalui Lagu Dewan Bahasa ini, Usman Awang dan Saiful Bahri telah merumuskan seluruh falsafah penubuhan DBP pada 22 Jun 1956.
Namun begitu, bagi memahami secara tuntas mengapakah SN Usman Awang memilih diksi-diksi yang berbaur “api”, “obor”, “keramat”, dan “jiwa pahlawan”, kita harus memutar kembali roda waktu, menyusuri denai sejarah seabad lalu, bermula dari bibit kesedaran awal pergerakan penulis sehinggalah detik keramat termaktubnya Ordinan DBP pada tahun 1959.
Mari kita hayati bait-bait awal yang dialirkan oleh pena Usman Awang dalam sebuah bilik yang penuh dengan asap kereteknya di bangunan lama DBP (Wisma DBP).
Dewan Bahasa Tenaga Jiwa Bangsa
Nama dari Suatu Sejarah
Api dari Suatu Zaman
Kesaktian Lidah Rakyat
Baris pembuka ini dengan tegas meletakkan fungsi DBP bukan sekadar sebagai sebuah entiti pentadbiran kerajaan, tetapi sebagai “tenaga jiwa bangsa“. Menggunakan gaya bahasa metafora yang dihadamnya, bahasa dilihat sebagai elemen yang memberikan denyut hayat kepada entiti yang dipanggil “bangsa” atau dalam ungkapan yang mudah, “tanpa bahasa, mati dan kakulah sebuah bangsa”.
Lebih menarik lagi ialah penggunaan frasa “Nama dari Suatu Sejarah” dan “Api dari Suatu Zaman”. Di sinilah Usman Awang mempamerkan kehalusan bahasa sasteranya. Beliau menyedari bahawa kewujudan DBP bukanlah hadiah yang turun dari langit kolonial, melainkan satu gerakan terancang yang menuntut semangat “api” perjuangan zaman. Kata “api” ini merujuk kepada kehangatan idealisme, kemarahan terhadap penindasan kolonial yang panjang, dan ghairah nasionalisme yang memuncak pada pertengahan abad ke-20.
Frasa “Kesaktian Lidah Rakyat” pula keinginan mengembalikan kedaulatan bahasa kepada pemilik asalnya, iaitu rakyat marhaen yang lama tertindas. Di bawah cengkeraman penjajahan British, bahasa Melayu dipinggirkan ke taraf yang daif, yakni hanya layak digunakan di sekolah vernakular Melayu dan sebagai bahasa basahan di jalanan, tanpa sebarang nilai ekonomi atau ilmu tinggi.
Dengan memilih kata “kesaktian”, Usman Awang menolak dongeng kolonial dan menegaskan bahawa bahasa Melayu sebenarnya mempunyai daya magis, kekuatan, dan kedaulatan untuk membina sebuah negara merdeka yang maju dan bermaruah.
Dalam bait-bait berikutnya, sakral DBP semakin diperkukuh oleh Usman Awang:
Dewan Bahasa
Kau Obor Kebangsaan
Restu dari Jiwa Pahlawan
Nyala Membakar Semangat Rakyat
Kau Abadi dan Keramat
Seterusnya, frasa “obor kebangsaan” menandakan fungsi DBP sebagai penunjuk jalan, pembawa cahaya di tengah kegelapan kolonial dan kejahilan ilmu moden untuk bangsanya yang telah merdeka. Cahaya ini dinyalakan dengan “restu dari jiwa pahlawan”, iaitu gandingan para pejuang bahasa dan siasah terdahulu yang telah mempertaruhkan kedudukan, kerjaya, malah keselesaan mereka demi mendaulatkan bahasa dari lidah ibunda.
Frasa “Kau Abadi dan Keramat” pula mengangkat lirik Lagu Dewan Bahasa ke tahap pemujaan yang tinggi terhadap warisan bangsa, menetapkan azam bahawa benteng kebahasaan ini tidak boleh runtuh oleh badai globalisasi atau kecurangan warganegaranya sendiri.
Daripada PBmPB Hingga Pejabat Karang-Mengarang
Untuk memahami makna ungkapan “Nama dari Suatu Sejarah” yang disebut oleh Usman Awang, kita wajib meninjau kembali bibit kesedaran awal yang mula bercambah pada akhir abad ke-19.
Kesedaran ini bermula daripada rasa resah zaman. Kecewanya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dalam Hikayat Abdullah (1849) terhadap keengganan orang Melayu mempelajari aturan bahasanya sendiri telah menjadi benih awal menyemai semangat nasionalisme Melayu.
Abdullah menanamkan pengertian bahawa jika kita ingin menjadi bangsa yang besar dan setaraf dengan kuasa dunia, kita mesti mempelajari, meneliti, menekuni dan membentuk nahu dan struktur bahasa kita sendiri.
Wadah kolektif pertama yang menterjemahkan keresahan Abdullah Munsyi ke dalam bentuk organisasi ialah Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB), yang ditubuhkan di Johor Bahru pada tahun 1888. Diasaskan oleh tokoh-tokoh birokrat berwawasan seperti Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi (Putera Abdullah Munsyi), pertubuhan ini menjadi batu asas pertama gerakan kebahasaan yang terancang.
PBmPB bukan sekadar persatuan yang mengumpulkan peminat bahasa, malah merupakan “suatu perhimpunan belajar-mengajar dan siasat-menyiasat bahasa”. Apabila dihidupkan semula dan dikurniakan gelaran ‘Diraja’ menjadi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor pada tahun 1935, matlamatnya semakin terarah dan terancang, iaitu untuk memelihara tulisan Jawi, memodenkan istilah dan mencipta perkataan baharu.
Istilah-istilah harian yang kita gunakan hari ini seperti “setiausaha”, “pejabat”, “kerja raya”, dan “timbalan” ialah hasil sulaman akal budi para pejuang pakatan tersebut. Tokoh utamanya, Major Dato’ Haji Muhammad Said Sulaiman (yang dianugerahi gelaran Pendeta), membuktikan melalui Buku Katan (1936) bahawa bahasa Melayu memiliki keupayaan leksikal untuk berkembang mengikut zaman.
Merekalah “jiwa pahlawan” terawal yang memberikan “restu” kepada penubuhan DBP kelak, membuktikan bahawa orang Melayu mampu mentadbir dan memodenkan bahasanya sendiri sebelum merdeka lagi.
Jika Pakatan Johor bersifat elitis dan setempat, maka dari Pulau Pinang pada tahun 1930-an, muncul pula sebahagian lagi “api dari suatu zaman” melalui Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM). Diusahakan oleh pelopor reformasi Islam, Syed Syeikh bin Ahmad al-Hadi menerusi akhbar Saudara, PASPAM berjaya memecahkan sempadan kenegerian. Ribuan ahli dari segenap pelosok Tanah Melayu, Singapura, malah sehinggalah ke Borneo bersatu di bawah satu lencana bahasa Melayu.
Melalui wadah surat-menyurat dan ruangan kreatif, PASPAM merakyatkan aktiviti penulisan. Seperti yang rakamkan oleh SN Abdullah Hussain yang turut terlibat, PASPAM menjadi sekolah tempat para penulis muda merangkak belajar menulis sebelum terbang menjadi novelis dan penyair besar.
Di sini kita melihat kebenaran kata-kata Usman Awang tentang “kesaktian lidah rakyat”. Bahasa Melayu menjadi medium yang mengikat rasa persaudaraan nasional, menukarkan lencana persatuan menjadi satu simbol penentangan politik kebudayaan yang halus tetapi ampuh melawan pembungkaman kolonial yang telah menawan minda bangsa Melayu dari 1511.
Pada masa yang sama, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan institusi Pejabat Karang-Mengarang yang didirikan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim pada tahun 1924 oleh O.T. Dussek dan Za’ba. Melalui penerbitan The Malay School Series dan The Malay Home Library Series, pejabat ini mengalirkan sastera Barat yang diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk kegunaan guru-guru Melayu untuk mendidik minda anak-anak desa tentang persuratan besar dunia.
Walaupun rancangan Za’ba untuk membesarkan pejabat ini agar setaraf dengan Balai Pustaka di Indonesia ditolak oleh British kerana ketakutan mereka terhadap kebangkitan minda peribumi, tetapi asas ilmu karang-mengarang telah pun ditanam dengan kukuh oleh kewibawan Za’ba melalui bukunya Ilmu Mengarang Melayu (1934).
Buku tersebut telah membayangkan kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa moden. Melalui Pelita Bahasa Jilid I, II dan III (1940), guru-guru lepasan MPSI pulang ke kampung membawa bersamanya bukan sahaja kemahiran mengajar, malah benih kesedaran bahawa mereka sedang dijajah secara halus dan di tangan merekalah sekarang harus menyedarkan anak bangsa mereka untuk bebas dari tangan penjajah.
Pascaperang Dunia Kedua: Amukan ASAS 50 dan Rentak Kongres
Zaman berubah, dan pendudukan Jepun (1942–1945) telah membakar sisa-sisa ketakutan lama orang Melayu terhadap kekebalan Barat. Muncul kesedaran politik yang drastik, iaitu kemerdekaan mesti direbut, dan bahasa ialah senjata kesedaran bangsa Melayu. Maka, pada 6 Ogos 1950, di Singapura, lahirlah Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Inilah landasan perjuangan yang mengerakkan semangat penulis muda berjiwa merdeka seperti Keris Mas, Usman Awang, MAS, Asraf, dan Masuri S.N.
Melalui slogan keramat “Sastera Untuk Masyarakat” ASAS 50 bertindak sebagai sebuah kumpulan pendesak (pressure group) yang lantang bersuara tentang bahasa dan sastera.
Keris Mas dalam memoirnya menegaskan bahawa status politik bahasa mesti diperjuangkan terlebih dahulu sebelum usaha memodenkannya dapat berjalan dengan kuasa negara. Mereka melancarkan perang pena, mendesak tulisan Rumi dijadikan tulisan rasmi bagi memudahkan bahasa Melayu menyerap ilmu moden, dan menghantar siri memorandum yang tegas kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell.
Kemuncak kepada amukan idealisme ini berlaku semasa Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang berlangsung pada 16 hingga 21 September 1956 di Singapura dan Johor Bahru. Kongres yang digerakkan bersama oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) di bawah pimpinan Ungku Aziz mengemukakan tuntutan yang tidak boleh ditolak ansur lagi oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru dibentuk.
Kerajaan sebenarnya telah mendirikan sebuah unit kecil bernama Balai Pustaka di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956 melalui cadangan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan pada tahun 1954.
Atas desakan, syor dan resolusi tegas daripada Kongres Ketiga ini, nama Balai Pustaka itu ditukarkan kepada satu nama yang lebih gah, berwibawa, dan bermaruah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kongres juga menuntut agar DBP tidak sekadar menjadi sebuah jabatan kerajaan yang kaku dan simbolik, sebaliknya diangkat menjadi sebuah Badan Umum yang mempunyai kuasa autonomi untuk menjaga, membongkar dan menghalusi kesusasteraan serta kebudayaan rakyat.
Penubuhan DBP dan Sakral Dewan Bahasa
Rentetan peristiwa di atas membuktikan betapa jalinan sejarah yang rumit dan penuh ketegangan ini mendasari setiap baris kata yang ditulis oleh Usman Awang. Pada 1 Ogos 1959, kerajaan secara rasminya menerima Rang Undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka (Ordinan DBP) yang memberikan status Badan Berkanun kepada institusi ini. Tiga fungsi asas DBP digariskan dengan jelas:
Selanjutnya, ayuh kita hayati makna perundangan ini dengan bait-bait akhir Dewan Bahasa:
Dipayungi Langit Tanah Air
Diusap Angin Pantai Permai
Dilindungi Pohon Nan Menghijau
Dijunjung Tanah Tempat Berpijak
Dewan Bahasa Tenaga Jiwa Bangsa
Nama dari Suatu Sejarah
Api dari Suatu Zaman
Obor Semangat Nan Abadi.
Bait “Dipayungi Langit Tanah Air/ Dijunjung tanah tempat berpijak” merupakan pembumian jati diri yang sangat mendalam. Di sini, Usman Awang menggunakan citra alam Nusantara, iaitu metafora langit, angin, pantai, pohon menghijau, dan tanah berpijak untuk menegaskan sifat watan (peribumi) bahasa Melayu.
Bahasa Melayu bukanlah barangan “import” sebaliknya adalah jiwa bagi sebuah bangsa. Bahasa Melayu tumbuh dari bumi bertuah, disuburkan oleh airnya, dan diselimuti oleh udara. Oleh itu, memelihara bahasa Melayu menerusi DBP bererti kita sedang memelihara kedaulatan dan maruah tanah air kita sendiri yang pernah dipersendakan oleh penjajah berabad lamanya sehingga kehilangan jati diri.
Tuntutan undang-undang agar DBP meninggikan mutu penulisan dalam bahasa kebangsaan, mengumpul dokumen sastera tradisional dan merancang bentuk sastera moden yang bermutu secara sistematik, serta menerbitkan hasil penyelidikan sastera kebangsaan, diterjemahkan oleh Usman Awang menjadi frasa “Obor semangat nan abadi”. Penerbitan buku dan pembinaan istilah dan penyusunan kamus bukanlah kerja teknikal yang mudah dan bersahaja, semua itu adalah usaha mengekalkan “nyala” semangat kebangsaan agar tidak padam dihembus angin kemodenan yang berkiblatkan Barat.
Generasi Baharu
Melalui lirik, kita dapat melihat dengan jelas bahawa lagu Dewan Bahasa bukan sekadar sebuah gubahan lagu korporat untuk dinyanyikan dalam majlis rasmi. Sebaliknya sebuah dokumen pensejarahan, sebuah epik zaman, dan sebuah sumpah setia seluruh pejuang bahasa terdahulu.
Dari keazaman Abdul Rahman Andak pada tahun 1888, merentas keberanian Za’ba pada tahun 1924, hingga ke amukan idealisme Keris Mas dan Usman Awang pada tahun 1956 melalui gerakan ASAS 50, semuanya telah dipindahkan ke dalam lirik puitis ini.
Oleh itu, apabila pada hari ini apabila kita menyanyikan lagu ini, kita harus siap sedar tentang “api dari suatu zaman” yang sedang diletakkan di atas bahu kita. Mengabaikan bahasa Melayu, memperkecilkan keupayaannya sebagai bahasa ilmu, atau membiarkannya layu di tanah air sendiri bererti kita sedang meniup untuk memadamkan “obor kebangsaan” dan mengkhianati “restu dari jiwa pahlawan” yang telah lama tumbuh membentuk sebuah negara bangsa yang sedang kita rasai.
DBP ialah wajah kita, memori kita, dan masa depan kita. Sumpah puitis Usman Awang dan melodi dari Saiful Bahri harus terus kita gemakan dengan “Bahasa Jiwa Bangsa”. DBP mesti kekal “abadi dan keramat” di tangan kita, iaitu generasi mutakhir yang akan menjadi pahlawan bahasa DBP beribu tahun mendatang.
Dirgahayu DBP yang ke-70 Tahun!