Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarikat produksi, Sudi Production, kini berusaha mendapatkan sokongan pelabur serta rakan strategik bagi menjayakan penerbitan filem biopik yang mengangkat perjalanan hidup ikon seni tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Menurut anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai, perancangan projek tersebut sudah berada pada tahap yang agak kukuh termasuklah penyediaan skrip, pemilihan pengarah dan pencarian pelakon yang sesuai.

Katanya, filem berkenaan bukan sekadar memaparkan kisah hidup Sudirman, sebaliknya turut membawa penonton menelusuri era kegemilangan industri muzik Malaysia sekitar tahun 1980-an.

“Kami mahu mengangkat semula zaman kegemilangan muzik tempatan ketika Malaysia pernah berada pada tahap yang sangat membanggakan di rantau ini. Selain itu, filem ini juga akan mengetengahkan nilai perpaduan masyarakat yang menjadi kekuatan negara ketika itu.

“Sebahagian besar perancangan sudah tersedia. Skrip telah disiapkan, kami juga mempunyai gambaran mengenai pengarah serta pelakon yang bakal membintangi filem ini. Malah, Finas turut membantu dari segi pembangunan skrip,” katanya.

Sehubungan itu, Atai mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat dan individu yang berminat untuk menyumbang dalam pelbagai bentuk, termasuk dana, kepakaran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sokongan teknikal lain.

Beliau berkata, idea menghasilkan filem tersebut sebenarnya telah dirancang sejak kira-kira lima tahun lalu dan pihaknya menyasarkan naskhah itu dapat diterbitkan sekitar tahun 2028, bergantung kepada tahap sokongan yang diterima.

“Jika bantuan dan pelaburan diperoleh lebih awal, proses penerbitan juga boleh dipercepatkan. Matlamat kami bukan hanya menghasilkan filem tentang Sudirman, tetapi turut memperkenalkan kehebatan muzik Malaysia kepada dunia.

“Generasi hari ini juga berpeluang mengenali budaya dan kehidupan masyarakat berbilang kaum pada era 1980-an yang penuh dengan semangat perpaduan.

“Selain Allahyarham P. Ramlee yang sudah dikenali ramai, Malaysia juga mempunyai Sudirman yang wajar dihargai dan diperkenalkan kepada generasi baharu serta masyarakat global,” ujarnya

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi