Diterbitkan pada 4 Julai 2026, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Bakat muda Pahang terus menyerlah apabila empat penyanyi terbaik diangkat sebagai johan Pertandingan Akhir Genta Suara Generasi MADANI 2026 sekali gus bakal mewakili negeri ini ke Pertandingan Nyanyian Solo, Duo dan Koir Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 6 hingga 9 Julai ini.

Pertandingan yang berlangsung di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang itu merupakan platform untuk memberikan pendedahan dan memupuk penghargaan terhadap pendidikan seni muzik dalam bidang nyanyian lagu irama Malaysia bagi murid sekolah rendah serta lagu pop bagi murid sekolah menengah.

Program ini turut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap nilai kesenian bangsa sebagai teras pembentukan masyarakat berbudaya, selaras dengan Teras 1: Seni untuk Semua.

Encik Wan Asma Izam bin Wan Mohd menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Puteri Iva Qalisya binti Izwari disaksikan oleh Puan Noorul Azreen binti Kamaruddin.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pahang tersebut menghimpunkan 10 finalis terbaik bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah dari seluruh negeri yang berjaya melepasi saringan awal melibatkan penyertaan dari semua daerah di Pahang.

Para finalis mempersembahkan kehebatan vokal dan penghayatan lagu yang memukau dalam persaingan akhir yang berlangsung dengan sengit.

Bagi kategori Sekolah Rendah Lelaki, gelaran johan dirangkul oleh Muhammad Iqram Furqan bin Faizalamiri dari daerah Maran, manakala Mayrisya Naaila Dyana binti Reyza Nyambong dari daerah Kuantan muncul johan kategori Sekolah Rendah Perempuan.

Barisan pemenang kategori Lelaki Sekolah Rendah bersama-sama dengan pegawai JPN, pegawai teknikal muzik, juri dan guru pengiring.

Bagi kategori Sekolah Menengah, wakil Kuantan menyapu bersih bagi kategori Lelaki dan Perempuan apabila Wan Mohammad Aqif Amsyar bin Wan Saharuddin dan Puteri Iva Qalisya binti Izwari berjaya tampil memikat hati para juri untuk muncul juara.

Pertandingan akhir itu diadili oleh barisan juri berpengalaman yang terdiri daripada komposer dan pemuzik bebas, Rabiulawal A. Anuar, Azizi Ahmad, penyanyi serta finalis Akademi Fantasia musim pertama; dan Alizan Jamaluddin, Juara Pertandingan Lagu Asli Pahang serta finalis Kilauan Emas 2025.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Wan Asma Izam Wan Mohd, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang diiringi oleh Puan Noorul Azreen Kamaruddin, Pegawai Teknikal Muzik Negeri Pahang.

Penganjuran Genta Suara Generasi MADANI 2026 membuktikan komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Pahang untuk memperkasakan pendidikan seni sebagai medium pembangunan bakat, pembinaan sahsiah dan pemerkasaan budaya dalam kalangan generasi muda, selaras dengan aspirasi melahirkan insan MADANI yang seimbang dari aspek intelek, emosi dan kreativiti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi