Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Guru muzik SMK (P) Methodist Kuantan (MGSS) yang juga Pegawai Teknikal Muzik (Nyanyian) Kebangsaan, Puan Noorul Azreen binti Kamaruddin dinobatkan sebagai Ikon Guru Seni Persembahan Pahang.
Pengiktirafan penuh makna ini disempurnakan dalam Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 yang berlangsung meriah pada Selasa lalu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail bagi meraikan dedikasi warga pendidik di seluruh negeri.
Pemilihan Puan Noorul Azreen sebagai penerima anugerah sulung ini menjadi bukti nyata komitmen tanpa jemu dan sumbangan luar biasa beliau untuk memartabatkan seni muzik dan persembahan pada peringkat sekolah, negeri mahupun antarabangsa.
Sebagai seorang jurulatih vokal dan guru seni yang disegani, beliau secara konsisten melahirkan banyak bakat muda tempatan untuk bersaing di pentas tinggi termasuklah membimbing wakil negeri Pahang ke pertandingan International Festival-Contest of Arts dan Super Grand Prix International Contest di Sepanyol pada tahun 2025.
Beliau juga sangat aktif menggerakkan program kesenian negeri seperti pertandingan Genta Suara Generasi Madani selain turut melatih dan memimpin pasukan pancaragam sekolah dengan penuh komitmen.
Ketika ditemui usai majlis, Puan Noorul Azreen tidak dapat menyembunyikan rasa hiba dan kesyukuran yang mendalam atas pengiktirafan tertinggi yang diterimanya itu.
Beliau menyifatkan anugerah tersebut bukan milik peribadinya semata-mata, melainkan sebuah lambang perjuangan buat seluruh pendidik seni di Malaysia.
“Mengajar seni muzik dan vokal kelihatan seperti melatih pelajar menghafal nota atau memetik instrumen, tetapi bagi saya tugas tersebut perlu dilihat sebagai usaha meniupkan jiwa, keyakinan dan jati diri dalam diri setiap anak didik.
“Anugerah ini merupakan amanah yang besar. Saya mendedikasikan pengiktirafan ini kepada semua guru seni yang terus cekal berkarya di luar sana. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang melihat nilai estetika dan kesenian ini sebagai pemacu penting dalam pembentukan modal insan dan kecemerlangan pendidikan negeri,” ujar beliau.
Dalam pada itu, YAB Datuk Seri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa Aspirasi Guru Pahang 1st akan terus dikekalkan demi menghargai sumbangan warga pendidik yang menjadi tulang belakang kemajuan negeri.
Kejayaan Puan Noorul Azreen merangkul anugerah ikon dilihat sebagai ruang bagi membuka mata masyarakat tentang kepentingan pendidikan kesenian dalam sistem sekolah.
Seni persembahan bukan hanya hiburan halwa telinga, sebaliknya merupakan wadah kebudayaan yang mampu mengangkat martabat bangsa pada mata dunia.