Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Industri penerbitan global perlu memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani krisis literasi dunia menerusi kerjasama strategik, penerbitan kandungan tempatan dan penggunaan teknologi secara inklusif bagi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada bahan bacaan berkualiti.
Perkara itu ditegaskan oleh Sheikha Bodour Al Qasimi ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Reading for the Future: The Role of Publishers in Closing the Global Literacy Gap bersempena dengan hari kedua International Publishers Congress (IPC) yang berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata, dunia kini berdepan krisis literasi yang semakin membimbangkan apabila ratusan juta kanak-kanak dan golongan muda membesar tanpa akses kepada buku, persekitaran membaca yang kondusif serta sokongan pembelajaran yang mencukupi.
Menurut beliau, penerbit perlu melihat usaha meningkatkan literasi sebagai strategi utama organisasi kerana melahirkan generasi pembaca merupakan asas kelangsungan industri penerbitan pada masa hadapan.
“Saya berharap pada masa hadapan persoalan kepentingan literasi bukannya fokus utama tetapi mencari kaedah untuk boleh memperluas impak literasi. Oleh itu, mewujudkan pembaca baharu adalah asas kepada masa depan industri penerbitan,” katanya.
Beliau turut berkongsi kempen Reading for the Future yang dilancarkan bersama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di Rabat, Maghribi bersempena dengan gelaran Ibu Kota Buku Dunia 2026 sebagai antara usaha memperluas akses bacaan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
Dalam sesi dialog bersama perunding penerbitan antarabangsa, Emma House, Sheikha Bodour menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif di seluruh dunia membuktikan tiada satu model yang sesuai untuk semua negara dalam menangani isu literasi.
Beliau menjelaskan bahawa projek Let’s Read oleh Asia Foundation yang membangunkan perpustakaan digital percuma di Indonesia, Kemboja, Bangladesh dan Nepal, selain inisiatif di Uganda, Kenya dan Nigeria, menggunakan tablet berkuasa solar bagi membolehkan bahan bacaan diakses walaupun tanpa sambungan internet.
Melalui Yayasan Kalimat pula, katanya, sebanyak 16,000 naskhah buku bahasa Arab telah diagihkan kepada lebih 100,000 kanak-kanak di 24 negara yang tinggal di kem pelarian dan kawasan konflik.
Menurut beliau, usaha-usaha sebegitu perlu mengutamakan agar kanak-kanak menerima buku yang sesuai dengan bahasa, budaya dan keperluan mereka.
“Penerbit boleh bermula dengan memanfaatkan koleksi sedia ada, bekerjasama dengan rakan strategik yang berkongsi nilai sama, serta menyalurkan buku ke perpustakaan, klinik, pusat kesihatan dan pusat pembelajaran awal yang benar-benar memerlukannya,” katanya.
Beliau turut memuji model perniagaan BookXcess di Malaysia yang memberi nafas baharu kepada buku-buku lebihan cetakan sehingga dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pembaca.
Menyentuh perkembangan teknologi, Sheikha Bodour berpandangan bahawa kecerdasan buatan (AI) mampu membantu mempercepatkan penterjemahan dan penyesuaian kandungan ke dalam bahasa tempatan pada kos lebih rendah, namun tidak boleh menggantikan peranan manusia dalam membina minat membaca.
“AI boleh membantu kita bekerja dengan lebih baik, tetapi teknologi ini tidak boleh membuatkan kanak-kanak jatuh cinta kepada buku kerana hubungan manusia dengan manusia tetap penting dan memberi impak,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi juga perlu mengambil kira realiti masyarakat yang mempunyai capaian internet terhad menerusi penyelesaian seperti kandungan luar talian, peranti mampu milik dan bahan bacaan yang boleh dimuat turun.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan, UNESCO dan industri penerbitan perlu memainkan peranan masing-masing secara tersusun bagi membentuk ekosistem literasi yang mampan.
Katanya, kerajaan berperanan menggubal dasar pendidikan, melabur dalam perpustakaan dan menyokong program pembacaan, manakala UNESCO menyediakan platform kerjasama antarabangsa serta mengukur kemajuan pelbagai inisiatif.
“Penerbit pula ialah pakar dalam menghasilkan cerita, menemui bakat baharu dan membina buku yang benar-benar ingin dibaca oleh kanak-kanak. Sebab itulah penerbit perlu dilibatkan sejak awal dalam perbincangan dasar, bukannya hanya pada penghujung proses,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan bahasa ibunda dalam meningkatkan tahap literasi kerana kanak-kanak lebih mudah belajar melalui cerita yang mencerminkan kehidupan dan pengalaman diri mereka sendiri.
Sheikha Bodour turut mengaitkan perjuangan meningkatkan literasi dengan usaha memperkasakan wanita dalam industri penerbitan melalui inisiatif PublisHer yang diasaskannya.
Beliau berkata, terdapat sebahagian kecil wanita daripada golongan dewasa di seluruh dunia yang masih tidak mempunyai kemahiran literasi asas, manakala di beberapa negara, kanak-kanak perempuan terus berdepan halangan mendapatkan pendidikan bermaruah.
Menurut beliau, lebih ramai wanita perlu diberikan peluang memegang jawatan kepimpinan dalam industri penerbitan supaya mereka dapat mempengaruhi jenis karya yang diterbitkan dan memastikan lebih banyak suara serta perspektif yang pelbagai diketengahkan.
Mengimbau pengalaman peribadinya, Sheikha Bodour berkata minatnya terhadap buku dipupuk sejak kecil oleh bapanya sebelum lawatan ke kem pelarian di Jordan membuka matanya terhadap kuasa buku dalam memberi harapan kepada kanak-kanak yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Buku memenuhi keperluan ilmu, malah lebih penting lagi, memberi peluang kepada kanak-kanak membayangkan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menutup ucapan dengan menyeru komuniti penerbitan dunia supaya memastikan setiap kanak-kanak mempunyai hak memiliki buku sendiri serta peluang untuk terus membaca.
“Setiap kanak-kanak, di mana sahaja mereka berada, perlu mendengar kata-kata ini: ‘Ya, buku ini milik kamu, dan masih banyak lagi buku yang menanti untuk kamu baca’,” katanya.