Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ledakan media alternatif dalam talian telah menyebabkan pemahaman dan penulisan sejarah berkembang dan tidak lagi terhad pada penerbitan arus perdana yang mempunyai metodologi dan editorial yang teliti.

Hal ini telah menghasilkan pelbagai naratif sejarah. Namun sering kali naratif ini tidak berpandu kepada sumber sahih dan tafsiran yang tepat. Oleh hal yang demikian, perkara tersebut cuba dirungkai oleh ahli sejarah dalam sebuah forum; Dari Sejarah Kepada Dakyah: Jawapan Ilmiah Kepada Kritikan Terhadap Paparan Sejarah Dalam Buku Teks yang telah dianjurkan di Wisma Pengakap Pulau Pinang.

Forum yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Pulau Pinang dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) dan telah mengumpulkan pelbagai segmen masyarakat termasuklah peminat sejarah dan masyarakat awam.

Dalam ucapan perasmian forum, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yusoff Latiff telah menceritakan pengalaman hidupnya berkenaan gerakan orang Melayu dalam mempertahankan Pulau Pinang agar negeri tersebut kekal bersama Tanah Melayu.

Menurut beliau, sejarah perlu dihebahkan bagi memupuk rasa bangga terhadap warisan negara. Pengalaman saksi hidup ini sangat penting untuk direkodkan agar naratif sejarah yang betul dapat difahami.

Perbahasan dalam forum ini dikemudikan oleh Dr. Mohamed Khairul Anuar Mohd Rosli dan Dr. Muhammad Naim Fakhirin. Perbahasan awal forum telah menyentuh perihal penyebaran naratif sejarah melalui media sosial.

Menurut Prof. Madya Dr. Nazarudin Zainun, kelemahan naratif dalam media sosial adalah kerana sejarah yang ditulis itu tidak melalui penilaian daripada pakar bidang. Disebabkan hal itu, terdapat pelbagai tulisan sejarah yang tidak berdasarkan sumber dan tidak dapat dibuktikan secara emperikal.

Penulisan sejarah di media sosial perlu dibaca dengan berhati-hati.

Masalah lain yang dilihat wujud menurut Prof. Madya Dr. Azmi Arifin pula sering kali naratif sejarah itu disimpulkan melalui hanya satu sumber. Kesimpulan sejarah sebegini tidak boleh dianggap kuat dan berwibawa kerana mengabaikan pelbagai sumber lain yang seharusnya dinilai bersama dan dibandingkan kewibawaannya.

Beliau juga menekankan bahawa ahli sejarah perlu memanfaatkan media sosial bagi menyebarkan naratif sejarah yang betul dan mengikuti metodologi yang sahih. Isu-isu yang melingkari persoalan sejarah di media sosial perlu dijawab oleh ahli sejarah.

Jika ahli sejarah mendiamkan diri, naratif songsang akan menjadi dominan di dalam masyarakat. Dalam perbahasan, beliau mengkritik pendekatan yang digunakan oleh penulis seperti Ranjit Singh Malhi dan Syed Husin Ali yang menurutnya tidak mengikut disiplin sejarah yang sebenar.

Selain isu naratif sejarah dalam media sosial, perbincangan juga menyentuh beberapa isu dalam historiografi Malaysia seperti proses “Indianisasi” yang dibangkitkan oleh beberapa penulis.

Mantan Prof Madya di Universiti Sains Malaysia, Abdul Rahman Haji Ismail telah membawakan konsep “Sejarah Bertunjang, Bumi Dikisah” yang seharusnya digunakan oleh ahli sejarah dalam persejarahan mereka.

Konsep ini membawakan idea penulisan sejarah dari sudut pandang peribumi, bukan dari sudut pandang pengaruh luar. Jika konsep ini digunakan, proses “Indianisasi” itu akan dilihat sebagai pengaruh luar.

Apa yang perlu diketengahkan menurut Abdul Rahman Haji Ismail adalah proses “kemelayuan” di mana orang Melayu telah menerima pengaruh luar yang pelbagai dan memelayukannya.

Beliau memberikan contoh dari teks Sulalatus Salatin tentang bagaimanakah Mani Purindan, seorang bangsawan dari India telah melalui proses ini dan diterima sebagai orang istana semasa Kesultanan Melayu Melaka.

Begitu juga proses yang berlaku kepada Orang Asli yang tidak dapat dipisahkan dengan orang Melayu. Orang Asli sekian lama berada dalam proses “kemelayuan”.

Bagi Abdul Rahman Haji Ismail, Melayu itu sebenarnya adalah satu konsep budaya yang menerima semua bangsa.

Naratif “Indianisasi” dalam historiografi Malaysia menurut Prof. Madya Dr. Nazarudin Zainun dimulakan oleh The Greater India Society yang telah mengupah pengkaji bagi mengesahkan teori bahawa kolonialisasi India berlaku di Tanah Melayu dan teori yang menyatakan Kedah Tua merupakan kerajaan yang diasaskan oleh kuasa kolonial India.

Prof. Madya Dr. Nazarudin berhujah bahawa sejarah adalah satu bidang yang hidup dan berubah sesuai dengan bukti-bukti baharu yang ditemui. Beliau menerangkan bahawa kajian arkeologi terkini berkenaan Kedah Tua membuktikan bahawa pengaruh India seperti kuil hanya ditemui di kawasan pesisir dan kawasan pelabuhan.

Dari bukti tersebut, ahli arkeologi baharu merumuskan bahawa pengaruh kuil-kuil Hindu yang ditemui adalah untuk kegunaan pedagang dan bukan kuil yang dibina untuk masyarakat peribumi di Tanah Melayu. Bukti kajian terbaharu ini boleh dirujuk melalui buku bertajuk Kedah Tua: Sejarah, Arkeologi dan Naratif Baharu yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Malaysia pada tahun 2024.

Proses “Indianisasi” juga sebenarnya merupakan satu daripada proses dari pelbagai proses yang pernah berlaku di Tanah Melayu. Namun kesannya tidak dominan. Prof. Madya Dr. Muhamad Hasrul Zakariah menerangkan pengaruh “Indianisasi” tidak dominan seperti pengaruh “Islamisasi”.

Pengaruh Islam diangkat dalam penulisan sejarah arus perdana kerana mempunyai bukti-bukti kukuh dan boleh dipertahankan. Beliau memberikan contoh lahirnya tokoh dari pengaruh Islam seperti Hamzah Fansuri yang meninggalkan kesan-kesan yang jelas.

Malah kitab penulisan mereka masih terpelihara sehingga kini dan menguatkan lagi bukti pengaruh “Islamisasi” yang lebih dominan untuk diangkat dalam naratif sejarah. Beliau juga membawakan contoh berkenaan pengaruh luar lain yang wujud dalam sejarah Tanah Melayu seperti pengaruh Parsi.

Pengaruh ini dapat dilihat dalam bahasa Melayu lama, misalnya dalam penggunaan terma seperti “Syahbandar”. Perkataan “syah” itu sendiri adalah perkataan yang berasal dari Parsi.

Beliau menambah lagi bahawa jika pengaruh luar hendak diangkat di dalam sejarah Tanah Melayu, pengaruh Parsi lebih kaya pengaruhnya untuk diangkat.

Inilah sebenarnya yang perlu difahami oleh masyarakat, naratif sejarah itu perlu berdasarkan bukti yang kuat dan sahih. Prof. Madya Dr. Nazarudin menekankan bahawa sejarah bukan ditulis berdasarkan kuota atau suara siapa yang lebih kuat di media sosial, sebaliknya bersandarkan bukti yang sahih.

Begitu juga naratif di dalam buku teks sejarah negara, naratifnya adalah naratif nasional berdasarkan bukti, bukan berdasarkan etnik tertentu.

Saranan sesetengah pihak untuk memuatkan semua yang pernah berlaku dalam sejarah ke dalam buku teks juga merupakan satu usaha yang mustahil untuk dilakukan. Buku teks hanyalah bahan pemula bagi memperkenalkan sejarah kepada para pelajar dan membentuk identiti nasional mereka.

Pandangan ini dikongsi oleh pengkaji sejarah, Abdul Rahmat Omar, beliau menyatakan terdapat pelbagai kisah pembunuhan antara kaum yang tidak sesuai untuk dimasukkan ke dalam buku teks walaupun benar-benar terjadi dan dapat dibuktikan.

Selain panel-panel yang hadir secara fizikal, forum tersebut turut disertai oleh dua orang panel secara dalam talian, iaitu Dr. Shazwan Mokhtar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr. Nu’man Mohd Nasir dari Universiti Malaya yang telah menyumbang pelbagai pandangan yang mengayakan lagi wacana historiografi Malaysia.

Secara keseluruhannya, ahli sejarah mempunyai jawapan yang ilmiah dan terperinci berkaitan persoalan yang melingkari masyarakat terutamanya dalam persoalan naratif sejarah.

Oleh itu, wacana merupakan jalan yang perlu disebarkan secara lebih meluas di media sosial agar naratif yang sahih dapat dikekalkan. Perbahasan seperti ini dapat membantu masyarakat membina budaya pemikiran kritis dalam menyaring penulisan di media sosial dan media alternatif.

Selain itu, kritikan terhadap naratif sejarah di dalam buku teks negara juga sebenarnya mudah ditangkis menggunakan hujah-hujah ilmiah berdasarkan bukti yang berwibawa.

Wacana historiografi wajar dipergiat bagi membangunkan budaya pemikiran kritis di dalam masyarakat terutamanya dalam menyelami isu-isu sejarah di Malaysia.

______________________________

Syed Ahmad Fathi merupakan seorang penulis yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Marin (State Marine Technical University, St. Petersburg) serta Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Sejarah Asia Tenggara (Universiti Sains Malaysia).

Sehingga kini, beliau telah menghasilkan lebih daripada 14 buah buku dan buku beliau, Berfikir Tentang Pemikiran, telah dipilih sebagai salah satu daripada 50 Judul Buku Terbaik oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada tahun 2021.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi