Diterbitkan pada 29 Jun 2024, 23:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang


“D
uduk di rumah pun banyak duit boleh habis?” Demikian sindiran mesra ibu mentua tatkala melihat penulis melayari laman web e-dagang, Lazada untuk membeli beg galas. Sambil tersenyum, penulis katakan padanya bahawa beg berkenaan sudah dilihat di sebuah kedai, namun harganya agak “keras”. Pun demikian, di platform beli-belah dalam talian, beg itu jauh lebih murah.

Sebenarnya bukan pada ketika itu sahaja, tabiat melakukan pembelian secara dalam talian sudah sebati dengan diri penulis, bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan pada majoriti wanita lain juga. Kami sejenis yang “pantang” melihat benda comel, unik dan suka mempelbagaikan warna jika membeli sesuatu seperti tudung.

Obsesi itu semakin menjadi-jadi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 yang dilaksanakan beberapa tahun lalu. Statistik pada tahun 2020 menyokong pernyataan itu apabila mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus pada April 2020, iaitu ketika PKP mula dikuat kuasakan oleh kerajaan.

Bercakap kepada Berita Harian pada Oktober 2021, Rakan Kongsi Bain & Company, Gwendolyn Lim yang merujuk kajian syarikat pengurusan perunding berpangkalan di Amerika Syarikat, Bain & Company pula berkata, kira-kira 47 peratus pengguna di Malaysia menggunakan medium dalam talian untuk melakukan pembelian barangan.

Perkembangan berkenaan mendorong firma itu menjangkakan segmen e-dagang di negara ini terus memiliki prospek cerah, ditambah populasi dewasa yang matang dan sangat celik digital. Jangkaan tersebut juga bersandarkan pada pertumbuhan nilai dagangan kasar e-dagang Malaysia yang melonjak ketara 87 peratus tahun ke tahun kepada AS$15 bilion (RM62.3 bilion) bagi tempoh 2020 hingga 2021.

Tinjauan terkini ecInsider (dahulu dikenali sebagai ecommerce.milo) baru-baru ini sekali lagi membuktikan rakyat Malaysia sememangnya gemar membeli-belah. Mengumpul maklum balas daripada 626 responden secara dalam talian, firma digital dengan kerjasama Senheng dan EverydayOnSales memperoleh dan menyusun data secara terperinci.

Terlebih dulu, seperti diramal, 51 peratus pembeli didominasi oleh wanita, sementara bakinya lelaki. Mengenai umur, tinjauan mendapati kumpulan yang berusia dalam lingkungan usia 26 tahun hingga 35 tahun paling sakan membeli, diikuti golongan yang berumur 18 tahun hingga 25 tahun (29 peratus), 36 tahun hingga 45 tahun (14 peratus), lebih daripada 45 tahun (5 peratus) dan terakhir pastinya dalam kalangan remaja atau kanak-kanak yang paling kurang memiliki kuasa membeli (1 peratus).

Hasil tinjauan ecInsider secara keseluruhan menemui jawapan sah bahawa 91 peratus pengguna mengaku suka melakukan pembelian secara dalam talian. Hanya baki 9 peratus tidak berbuat demikian lantaran wujud sikap kurang mempercayai kaedah maya itu, iaitu punya keraguan terhadap keselamatan dan penjual, tidak dapat menyentuh atau rasa barang yang ingin dimiliki.

Satu penemuan menarik untuk diketahui, individu yang suka berbelanja dalam talian ialah mereka yang memiliki pendapatan kurang RM23,999 setahun, iaitu mencecah 31 peratus. Bagi yang bergaji sekitar RM24,000 hingga RM47,999 setahun pula (29 peratus), RM48,000 hingga RM89,999 (22 peratus), lebih daripada RM119,999 (11 peratus) dan RM90,000 hingga RM119,999 (6 peratus). Rumusan mudah, lebih sedikit purata gaji seseorang, lebih gemar mereka berbelanja dalam talian.

Tapak urus niaga popular

Dapatan kajian seterusnya memperlihatkan, dalam tempoh sebulan, 85 peratus responden membelanjakan RM500 atau kurang, 10 peratus daripadanya RM500 atau lebih dan sebanyak 5 peratus sanggup mengeluarkan wang RM1,000 atau lebih.

Sementara itu, 7 peratus pengguna memaklumkan mereka memiliki satu sikap yang sukar untuk dikikis, iaitu membeli apa-apa sahaja barangan yang dirasakan berkenan dalam hati hampir setiap hari. Sebanyak 26 peratus pula akan berbelanja seminggu sekali. Lebih besar angkanya merujuk kepada 54 peratus responden yang akan membeli dalam tempoh sebulan sekali.

Penyelidikan berkenaan turut menemui jawapan tapak urus niaga yang mana satu menjadi tumpuan rakyat Malaysia. Berdasarkan data, Groupon menjadi “raja pasaran” dengan menarik perhatian 69 peratus pengguna, Facebook (40 peratus) dan Living Social (38 peratus) memonopoli carta paling atas.

Kemudian diikuti dengan lelong.my (36 peratus), mydeal.com.my (36 peratus), Lazada  (34 peratus), mudah.my (27 peratus), Zalora (23 peratus), e-Bay (23 peratus), Rakuten (23 peratus), lain-lain platform (14 peratus), BlogShops (13 peratus), Tesco (13 peratus) dan Superbuy (12 peratus).

Lain-lain platform ialah kedai dalam talian individu, tapak forum seperti Lowyat, perkhidmatan media sosial seperti Instagram termasuk laman e-dagang antarabangsa seperti Amazon.

“Amazon masih merupakan satu daripada tapak beli-belah dalam talian paling popular di Malaysia walaupun tanpa kehadiran kedai fizikal di sini,” kata tinjauan berkenaan.

ecInsider turut membuat pecahan peratusan terhadap kedai maya antarabangsa yang menjadi buruan rakyat Malaysia. Selain Amazon (69 peratus), perkhidmatan lain yang berasal dari China, Taobao menjadi tumpuan 45 peratus pengguna, sementara ASOS (17 peratus) dan Tmall (12 peratus).

Masa depan AI

Sudah pasti ramai tertanya-tanya barang atau material apakah yang paling banyak dibeli sama ada di platform e-dagang tempatan dan luar negara. Berdasarkan output, kelihatan orang kita lebih terarah kepada kategori fesyen dan aksesori; elektronik; barangan kesihatan dan kecantikan serta permainan.

AI dijangka bakal membentuk satu lagi tingkah laku membeli-belah yang baharu dan lebih futuristik.

Bagaimanapun, ramai pembeli, iaitu sebanyak 87 peratus bertindak tidak membeli bekalan atau aksesori haiwan peliharaan secara dalam talian. Begitu juga dengan kereta mahupun basikal (80 peratus). Sedikit kejutan apabila barangan berupa peralatan sukan dan outdoor (61 peratus); barangan keperluan kanak-kanak dan ibu mengandung (60 peratus); material berkaitan muzik dan filem (59 peratus) lebih cenderung dibeli di kedai fizikal.

Seterusnya, tinjauan memenuhi andaian apabila 51 peratus responden suka membuat pembelian pada awal malam. 41 peratus memilih waktu lewat malam, manakala pada durasi masa pejabat (36 peratus), waktu makan tengah hari (27 peratus) dan sebelah pagi pula mencecah 20 peratus.

“Rakyat Malaysia juga dilihat agak berkompromi dari segi tempoh penghantaran, dengan hanya 34 peratus pembeli menjangkakan pesanan mereka tiba dalam masa satu hingga dua hari. Sementara 43 peratus orang sanggup menunggu selama tiga hingga empat hari untuk menerima pesanan mereka,” kata tinjauan berkenaan lagi.

Beralih kepada aspek pembayaran, rata-rata rakyat Malaysia melakukan pembayaran menggunakan kad kredit dan perbankan dalam talian. Untuk transaksi antarabangsa, PayPal menjadi pilihan.

Bukan sahaja di Malaysia, tingkah laku membeli-belah dalam talian turut meledak di serata dunia. Statista, laman web yang mengumpulkan pelbagai data dunia berkata, capaian penggunaan internet global semakin pesat dengan 5 bilion pelayar dicatatkan di seluruh benua, sekali gus meningkatkan lagi urusan pembelian. Sumber itu turut menjangkakan, pada tahun ini, jualan e-dagang runcit dianggarkan melebihi USD$6.3 trilion dolar (di seluruh dunia).

Amazon nampaknya terus mengungguli. Tidak hanya di negara kita, mereka mengetuai ranking global laman web runcit dalam talian dari segi trafik, kongsi Statista. Gergasi e-dagang yang berpangkalan di Seattle, Amerika Syarikat yang menawarkan e-runcit, perkhidmatan pengkomputeran, elektronik pengguna dan kandungan digital mencatatkan 6.1 bilion lawatan terus ke tapak web pada Disember 2023.

“Dari segi nilai barangan kasar, Amazon bagaimanapun menduduki tempat ketiga di belakang pesaing China, Taobao dan Tmall. Kedua-dua platform dikendalikan oleh Kumpulan Alibaba, penyedia perdagangan dalam talian terkemuka di Asia,” kata Statista yang sering menjadi rujukan penyelidik dan media.

Seperti di Malaysia, fesyen dan elektronik adalah yang paling dicari oleh pengguna.

Seperkara, peranti mudah alih telah menyumbang hampir 80 peratus daripada semua lawatan tapak web dan turut menjanakan majoriti pesanan dalam talian berbanding desktop dan tablet. Sebagai contoh, jumlah jualan dalam talian di China dan Korea Selatan, lebih dua pertiga jumlah jualan mereka adalah melalui telefon.

Sementara itu, Euromonitor International meramalkan bahawa pengguna akan membelanjakan hampir USD$11 trilion untuk barangan dan perkhidmatan yang dibeli dalam talian pada tahun 2024, lapor Forbes.

Forbes menambah, pengaruh saluran digital yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna memberi tekanan kepada syarikat untuk menambah baik pengalaman dalam talian. Justeru, kemunculan AI (kecerdasan buatan) dipercayai berpotensi untuk mengubah pengalaman membeli-belah yang lebih intuitif.

“Pengguna mempunyai jangkaan yang lebih besar. Kira-kira separuh daripada pengguna digital mahukan tawaran yang unik,” ujar mereka.

Sehubungan itu, tidak mustahil pengalaman membeli-belah secara dalam talian tiga tahun hingga lima tahun lagi akan menjadi begitu berbeza. Pembantu alam maya, iaitu AI barangkali bakal membentuk satu lagi tingkah laku membeli-belah yang baharu dan lebih futuristik.

Tidak mustahil keadaan tersebut bakal direalisasikan memandangkan hampir separuh daripada profesional industri mengatakan mereka merancang untuk melabur dalam AI generatif dalam tempoh lima tahun akan datang. Kita tidak boleh menafikan bahawa AI telah mendapat tempat dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia termasuklah pembelian di alam maya. Pastinya isu kemudahan dan keselamatan akan lebih dipertingkatkan demi mengukuhkan lagi kepercayaan pengguna.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi