Oleh Velu Perumal
13 Oktober 2021, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep “Keluarga Malaysia” yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, melangkaui fahaman kepentingan individu dan etnik, malah mendakap erti prinsip hidup bersama demi membina semula Malaysia. Apatah lagi dalam era negara menghadapi krisis politik dan tamparan pandemik COVID-19. “Keluarga Malaysia” memberi ruang dan peluang untuk mencungkil serta menghargai persamaan dengan menerima perbezaan merentasi sempadan agama, budaya dan kaum di Malaysia.

Dunia kini ghairah dengan era digital.  Lantaran itu, sesetengah pihak menganggap ajaran dan budaya nenek moyang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Konsep “Keluarga Malaysia” memberi nafas baharu kepada nilai-nilai moral dan cara hidup masyarakat dahulu yang sentiasa memupuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat serta keutuhan negara.

Kemakmuran sesebuah negara terikat dengan nilai didikan yang sempurna dalam sesebuah keluarga. Ikatan kekeluargaan pula banyak dipengaruhi oleh budaya dan cara hidup ahli keluarga serta masyarakat. Sementara itu, budaya pula sesuatu yang dinamik sifatnya dan cair; bermaksud budaya berubah sepanjang masa dengan cara yang halus, tenang, nyata dan ketara. Dalam landskap Malaysia budaya orang Melayu, Cina, India, dan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak, telah lama mencanai dan membentuk budaya “Keluarga Malaysia” yang dinamik.

Sementara itu, artifak budaya merupakan elemen penting bagi sesebuah budaya kerana artifak budaya mempengaruhi cara hidup harian. Sebagai contohnya, suatu ketika dahulu, batu lesung banyak digunakan oleh keluarga Melayu dan batu giling pula digunakan oleh keluarga keturunan India. Pembangunan teknologi memberi laluan kepada mesin pengisar elektronik dan akhirnya menggantikan batu giling, Kini hampir semua keluarga menggunakan batu lesung di samping mesin pengisar elektronik. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan persamaan dalam proses masakan harian mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa budaya yang diwarnai dengan artifak budaya membantu kelahiran dan kelestarian konsep “Keluarga Malaysia”.

Sejak penubuhan Muzium Perak pada tahun 1883, banyak artifak budaya telah dikenal pasti, dikumpul dan dikategorikan dalam kumpulan artifak mengikut fungsinya, seperti artifak persenjataan, tarian, artifak tradisi teater, artifak muzik, pakaian dan perhiasan diri, kraf tangan, artifak permainan, artifak berkaitan perkapalan dan lain-lain lagi. Artifak ini bukan sahaja menyerlahkan kemantapan pemikiran kreatif seniman atau pengukir kita, malah mendukung maksud tersurat dan tersirat yang mendalam.

Sebagai misalnya, artifak budaya yang berkaitan dengan pakaian dan perhiasan diri melambangkan nilai moral dan kesopanan masyarakat Malaysia yang terangkum dalam “Keluarga Malaysia”. Pakaian traditional seperti baju kurung, ‘baju kurung teluk belanga, baju kebaya panjang dan sebagainya masih dalam penggunaan merentasi cabaran arus kemodenan. Keunikan pakaian tradisi ini menjadi lebih mantap dengan kelengkapan perhiasan diri seperti loket, dokoh, subang kerabu, anting-anting, cincin, gelang tangan, gelang kaki, pending, kerongsong, dan sebagainya

Hiasan pertukangan seni tekstil tradisi dan kelengkapan perhiasan diri budaya Malaysia kaya dengan motif geometrik dan organik. Alam semula jadi sentiasa menjadi rujukan dan inspirasi pengukir atau pengkarya sejak dahulu. Sebagai buktinya dapatlah kita melihat dekorasi pakaian atau kelengkapan perhiasan diri yang dihiasi dengan bunga-bungaan, salur, biji-bijian, pucuk rebung, buah cengkih dan sebagainya. Hasil kreativiti pembuatan tekstil dan corak membantu penghasilan busana tradisional sejak zaman-berzaman hingga menjadi warisan bangsa dan budaya “Keluarga Malaysia”.

Walau bagaimanapun, tidaklah hairan bahawa banyak artifak budaya, terutama kelengkapan perhiasan diri khazanah nenek moyang, telah ditelan zaman atas alasan tidak menepati kesesuaian zaman, kepercayaan agama, kekangan sumber bahan pembuatan, kekurangan kemahiran pertukangan dan kecetekan pengetahuan. Sebagai misalnya, caping yang suatu ketika dahulu menjadi pengganti pakaian kanak-kanak, kini tidak lagi digunakan.

Caping dipercayai berasal dari Selatan India dan diperkenalkan di Tanah Melayu sejak zaman Srivijaya, iaitu sekitar abad ke-7 hingga 12 Masihi. Caping merupakan penganti pakaian kanak-kanak lelaki dan perempuan bertujuan menutup kemaluan mereka. Caping juga digunakan untuk melindungi kanak-kanak daripada gangguan seks dan makhluk halus. Walaupun caping digunakan di seluruh Malaysia, tetapi kajian literasi menunjukkan bahawa budaya penggunaan caping amat ketara di bahagian utara, selatan dan kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, budaya pemakaian caping ini telah berakhir pada era Sultan Muhammad IV (tahun 1899-1920).

Caping.

Bahan pembuatan caping dan upacara majlis pemakaian caping lazimnya melambangkan status sosioekonomi sesebuah keluarga. Kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan memakai caping yang diperbuat daripada bahan seperti kayu, buah kelapa, kulit kerang atau kulit penyu. Manakala caping kanak-kanak golongan berada diperbuat daripada emas, perak atau tembaga. Dari segi dekorasi pula, caping kanak-kanak perempuan lebih simbolik, dihiasi dengan pelbagai motif daripada alam semula jadi berbanding caping kanak-kanak lelaki.

Motif dekorasi caping di atas memaparkan imej tumbuh-tumbuhan tempatan seperti sirih, paku pakis, bunga melur, pucuk rebung, bunga cengkih, bunga rumput sambau dan bunga orkid yang mempunyai banyak khasiat perubatan. Sebagai contoh, demam panas, cirit-birit, selesema dan sakit kepala dapat diredai dengan menggunakan air daun Melur. Akar pokok bunga melur digunakan untuk mengubati penyakit kelamin. Bunga melur pula digunakan untuk merawat penyakit kulit manakala minyak pati bunga melur digunakan bagi tujuan aromaterapi. Hal ini juga menunjukkan persamaan dalam amalan perubatan budaya tradisi “Keluarga Malaysia”.

Artifak budaya nenek moyang dan motif dekorasinya mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang perlu dikaji demi kesejahteraan dan keakraban rakyat Malaysia, terutama dalam memerangi kesempitan dan ancaman seperti virus COVID -19. Malah generasi muda tidak wajar menganggap remeh hasil ciptaan yang diwarisi sejak turun temurun malah perlu dihayati sepanjang zaman. Para pereka tempatan pula perlulah lebih teliti dan mendukung mandat dalam penghasilan rekabentuk masa hadapan. Setiap hasil rekaan mereka perlulah menjadi lambang identiti budaya dan mengaribkan masyarakat dengan konsep “Keluarga Malaysia”, di samping memenuhi kehendak dan cita rasa pengguna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.