Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Warisan seni dan budaya Melayu kembali menyerlah di pentas antarabangsa apabila persembahan silat, tarian pedang otar-otar dan tarian inang memukau khalayak dalam Majlis Perasmian Pusat Pengajian Melayu GDUFS-UM (Guangdong University of Foreign Studies–Universiti Malaya) di Guangzhou, China.

Majlis gilang-gemilang tersebut menandakan satu lagi detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia–China, khususnya dalam bidang pengajian Melayu, bahasa dan budaya. Dengan tema Globalisasi Pengajian Melayu: Cabaran dan Masa Depan, acara tersebut bukan sahaja memperkukuh jaringan akademik antara kedua-dua universiti ternama, malah memperlihatkan keindahan dan kehalusan budaya Melayu di mata dunia.

Persembahan silat membuka tirai majlis dengan penuh kekuatan dan disiplin. Silat, seni bela diri tradisional yang berakar daripada kebudayaan Melayu di Asia Tenggara, bukan sekadar teknik pertarungan tetapi turut mengandungi unsur spiritual, falsafah hidup dan nilai kesenian yang tinggi.

Dalam ilmu persilatan, setiap gerak seperti tumbukan, tendangan, elakan, tangkisan dan kuncian mempunyai makna tersendiri yang melambangkan keseimbangan antara tenaga dan budi.

Dalam persembahan tersebut, unsur bunga silat turut diperlihatkan melalui gerak seni yang lembut namun sarat dengan makna pertahanan diri. Keindahan gerak silat itu dipersembahkan dengan penuh tumpuan oleh Dr. Johan Iskandar Abdul Karim dan Encik Muhammad Zahar Dad Abdul Rahim dari Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Malaysia, diiringi alunan serunai dan gendang yang menambah aura tradisional.

Persembahan mereka bukan sahaja menghidupkan semula roh seni pertahanan diri Melayu, malah turut memperkenalkan nilai kehalusan budaya Melayu kepada penonton antarabangsa.

Penonton turut terpukau dengan persembahan tarian pedang otar-otar, iaitu satu bentuk seni tradisional yang menggabungkan unsur ketangkasan dan keindahan gerak tubuh. Tarian pedang otar-otar ialah seni persembahan tradisional di Alam Melayu yang dicirikan oleh pergerakan rumit serta penggunaan pedang dan perisai kecil yang dikenali sebagai otar-otar, berukuran tidak lebih daripada dua jengkal atau kira-kira 20 inci.

Seni permainan pedang dan otar-otar ini pada asalnya merupakan teknik pertempuran yang diajar dalam bentuk tarian, dengan setiap gerakan membawa maksud sebenar dalam serangan dan pertahanan.

Tarian ini memperlihatkan kesinambungan antara keindahan seni dan kecekapan dalam pertempuran. Persembahan ini biasanya dilakukan secara berpasangan atau berkumpulan dan diiringi muzik tradisional seperti gendang dan serunai, menjadikannya bukan sahaja hiburan, tetapi juga latihan fizikal dan mental bagi para pahlawan Melayu pada masa lampau.

Dalam persembahan di Guangzhou, Dr. Johan Iskandar dan Encik Muhammad Zahar Dad berjaya menzahirkan kekuatan serta keanggunan seni otar-otar dengan gerak yang tangkas, tersusun dan penuh disiplin, memukau perhatian semua tetamu dari Malaysia dan China.

Gerak mereka yang bertenaga menghidupkan semula keagungan seni tempur Melayu dalam bentuk persembahan estetika yang berwibawa. Hampir semua tetamu terpukau kerana ini merupakan kali pertama mereka mendengar tentang tarian pedang otar-otar ini dan berpeluang menonton tarian ini secara langsung.

Acara diteruskan dengan tarian Inang oleh mahasiswi Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS) yang tampil anggun dengan busana tradisional Melayu. Lenggok tarian yang lembut diiringi irama muzik inang klasik dengan lagu Nazam Berkasih nyanyian Syura menutup majlis dengan suasana penuh keindahan dan kemesraan.

Persembahan tersebut melambangkan nilai sopan santun serta kelembutan budaya Melayu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar asing. Penganjuran bersama majlis perasmian dan persidangan ini sebagai bukti bahawa kerjasama akademik dan kebudayaan antara dua institusi pendidikan tinggi mampu menjadi jambatan diplomasi budaya yang merapatkan dua negara.

Pementasan tersebut menjadi manifestasi nyata bahawa seni dan budaya berperanan penting dalam membina kefahaman antarabangsa serta memperkukuhkan hubungan Malaysia–China di peringkat global.

Perasmian Pusat Pengajian Melayu GDUFS–UM dan penganjuran Persidangan Pengajian Melayu Malaysia–China (PPMMC) 2025 bukan sahaja menandakan permulaan baharu dalam bidang pengajian Melayu di China, tetapi turut membuka ruang luas untuk mengangkat warisan seni Melayu ke pentas dunia. Kejayaan persembahan silat, tarian pedang otar-otar dan tarian inang ini membuktikan bahawa budaya Melayu memiliki daya tarikan sejagat yang mampu menyentuh hati penonton dari pelbagai latar bangsa, serta mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.

___________________

Zaiton Zakarya merupakan Pensyarah Asing Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Asia Tenggara (Institut Pengajian Asia Tenggara), Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou, China.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi