Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaum Iban kaya dengan pelbagai adat resam serta masih berpegang dengan kepercayaan tertentu yang masih diamalkan sehingga ke hari ini. Satu daripada amalan tradisi yang masih digunakan ketika mendirikan rumah panjang ialah “Yang Tua Mendirikan Rumah di Bahagian Hujung Rumah” atau dengan maksud lain anak sulung perlu mendirikan rumah panjang di bahagian tepi.

Hal ini kerana terdapat beberapa nilai, iaitu melambangkan penghormatan kepada yang lebih tua sebagai penyimpan ilmu budaya, ketua keluarga dan seseorang yang dipertanggungjawabkan dalam mengambil sesuatu keputusan.

Selain itu, anak sulung memainkan peranan penting sebagai penjaga keselamatan serta bertindak selaku anak “Tuai Rumah” yang akan menyambut tetamu tanpa mengira kaum mahupun agama jika datang menziarahi rumah panjang.

Terdapat beberapa pantang larang yang dipercayai dari turun-temurun jika tidak duduk di bahagian hujung rumah, antaranya melanggar hieraki keluarga yang boleh menjejaskan keharmonian atau menyebabkan berlakunya perbalahan dalam keluarga dan penduduk rumah panjang.

Masyarakat Iban juga percaya bahawa akan ada gangguan daripada roh nenek moyang terhadap penduduk rumah panjang tersebut jika susun atur tradisi tidak diikuti. Hal ini dipercayai bahawa setiap ruang rumah mempunyai makna rohani yang tersendiri bagi mereka dan percaya bahawa menolak anak tua ke tempat lain dalam rumah panjang menyebabkan keluarga tersebut hilang keberkatan terutamanya dalam hal sumber rezeki.

Walaupun pantang larang ini sukar untuk dipercayai terutamanya pada generasi muda sekarang, tetapi sebagai suku kaum Iban kita perlulah menghormati tradisi yang ditinggalkan oleh nenek moyang sebagai bentuk penghormatan dan penghargaan terhadap mereka.

Amalan menempatkan bilik anak sulung di hujung rumah panjang mungkin kurang diamalkan dalam generasi muda, namun nilai budaya dan simbol yang terkandung dalam rumah panjang tersebut amat besar dan bermakna kerana mencerminkan sistem sosial, peranan dalam keluarga dan penghormatan terhadap adat yang diwarisikan agar tidak hilang ditelan zaman.

Masa kini sudah ada pembentukkan rumah panjang moden tetapi masih menggekalkan adat tradisi. Sebagai contoh, Rumah Panjang di RH Baling KM 45 Bukit Ambun Jalan Selangau/Mukah Sarawak menggunakan susun struktur yang diwarisikan turun temurun.

Hal ini dilakukan kerana penduduk rumah panjang ingin menunjukkan kepada masyarakat luar tentang keunikkan tradisi yang ditinggalkan kepada mereka. Menurut “Tuai Rumah” , iaitu Tr Baling Anak Anjat, beliau bukan sahaja ingin menjaga identiti suku kaum masyarakat Iban tetapi berharap dengan ada insiatif yang dilakukan akan turut menyumbang kepada pemeliharaan kekayaan warisan budaya yang ada di Sarawak.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi