23 Februari 2023, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kumpulan rock legenda tanah air, Wings sememangnya mempunyai banyak lagu yang diminati ramai dan malar segar. Lagu-lagunya yang berunsur Islam turut menjadi sebutan para peminat.

Walau bagaimanapun, konsert “Showcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023” yang dijangka berlangsung pada 8 April depan, Wings akan hanya mendendangkan beberapa buah lagu mereka sahaja dan memilih lebih banyak lagu popular nyanyian Al-Jawaher dan Sanisah Huri untuk dipersembahkan.

Sewaktu sidang media “Showcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023” di sebuah hotel terkemuka di sini semalam, vokalis utama Wings, Dato’ Awie memberitahu bahawa beliau sangat teruja untuk menyanyikan lagu-lagu daripada kumpulan nasyid dan penyanyi solo “legenda hidup” itu.

Citra terkini kumpulan Wings.

“Lagu-lagu mereka menjadi sebutan kami sewaktu zaman kanak-kanak serta sangat merdu dan indah. Justeru, saya fikir tidak wajar jika lagu-lagu tersebut dipendam dan disisihkan,” kata Dato’ Awie yang turut ditemani anggota-anggota Wings lain, iaitu Syam (gitaris), Edrie (gitaris), Eddie (gitaris bass) dan Black (dram) semasa sidang media tersebut.

Dato’ Awie turut menyatakan bahawa lagu-lagu tersebut akan didendangkan secara rock atau tidak bergantung kepada kesesuaian. Yang paling utama, irama merdu lagu-lagu berkenaan tidak akan diubah suai.

Persembahan konsert “Showcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023” anjuran HS Event & Ent. Sdn. Bhd. untuk tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi di dewan tari-menari sebuah hotel terkemuka di ibu kota ini juga demi memenuhi janji Wings untuk kembali mengembangkan sayap dalam dunia hiburan tempatan setelah lama berehat selepas menunaikan umrah di Mekah pada November 2022.

Selain Awie dan rakan-rakan kumpulannya, turut menghadiri sidang media “Showcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023” tersebut ialah Pengarah Urusan HS Event & Ent. Sdn. Bhd., Mubarak Akhtar dan pengarah projek, Datin Norizan Idris. Beberapa orang ahli kelab peminat Wings, iaitu Sayap-Sayap Wings juga hadir.

“Saya sangat gembira apabila program berbentuk positif yang dianjurkan saban tahun ini mendapat sambutan hangat para peminat setia kami. Mereka nampak tertarik dan menyukai konsep yang kami tampilkan menerusi persembahan ini kerana ada pengisian yang tersendiri. Bahkan ada yang pernah menyaksikan persembahan tahun-tahun sebelumnya dan setia menanti persembahan untuk tahun ini pula,” jelas Dato’ Awie.

Sokongan padu itu terbukti dengan 50 peratus daripada jumlah meja telah ditempah sebelum sidang media berlangsung. Ternyata kewibawaan Wings tidak tergugat biarpun setelah 38 tahun berada dalam belantika muzik negara.

Yang menariknya, walaupun tidak pasti sama ada sememangnya dirancang atau takdir dan kebetulan, penganjuran “Showcase Semarakkan Cinta Ramadan 2023” tersebut juga berlangsung pada 17 Ramadan yang merupakan Hari Nuzul al-Quran.

Hal tersebut boleh membawa kesan psikologi dan signifikan yang tersendiri. Hasilnya, seperti yang disebutkan oleh Wings, dalam menyampaikan lagu-lagu berkonsep dakwah, berjanji akan tetap mempamerkan persembahan mantap dan menghiburkan untuk para hadirin.

“Lagu-lagu yang bakal didendangkan adalah bersempena dengan bulan Ramadan, tetapi kami tetap akan menjaga kualiti persembahan agar berbaloi dengan harga wang ringgit yang telah dilaburkan oleh para peminat. Mereka dapat berbuka puasa, solat berjemaah dan seterusnya bersantai-santai sambil menikmati persembahan kami,” tambah Dato’ Awie.

Tiket untuk menyaksikan “Showcase Semarakkan Malam Cinta Ramadan 2023” dibahagikan mengikut kategori tertentu, iaitu Meja VVIP berharga RM15 000 untuk sebuah meja yang mampu memuatkan 10 orang, Meja VIP berharga RM12 000, Meja Platinum berharga RM8000, Meja Emas berharga RM6000 dan Meja Perak pula berharga RM4000.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.