25 Januari 2023, 15:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (PUSKEB) dengan kerjasama Majlis-Majlis Pengetua bakal menganjurkan program Konsert Hiruk-Pikuk bersempena Hari Terbuka Pusat Kebudayaan UPSI pada 28 Januari 2023 yang bertempat di Panggung Percubaan UPSI.

Poster pengisian program Konsert Hiruk-Pikuk di UPSI.

Tujuan aktiviti kebudayaan yang julung-julung kali diadakan ini bagi memartabatkan kebudayaan UPSI selepas pandemik COVID-19 melanda negara. Justeru, pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan bagi memeriahkan suasana UPSI dengan program kebudayaan.

Antara aktiviti menarik pada waktu pagi ialah Sihat PUSKEB, pertandingan permainan tradisional, pertandingan peragaan busana tradisional dan Tayangan Perdana Filem Pendek KASAM daripada produksi Thespian Resources hasil karya Faizal Ruhaijat.

Seterusnya, pada waktu petang akan bersambung dengan acara demonstrasi karikatur, hiburan jalanan dan persembahan Teaterikal Ria yang penuh dengan warna-warni persembahan kebudayaan sebagai tunjang utama program. Antara persembahan yang bakal berlangsung termasuklah teater Bitara Sakti, dikir barat oleh Kelab Dikir Barat Warisan Cenderawasih UPSI, gamelan oleh Kelab Gamelan Margamas UPSI, nyanyian solo oleh Darwisyah, nyanyian tradisional oleh Imran dan penampilan istimewa monodrama oleh Sani Sudin.

Pada waktu malam pula, Konsert Hiruk-Pikuk anjuran PUSKEB akan melancarkan lagu dan pencarian PUSKEBMATE (rakan PUSKEB). Selain penampilan istimewa Sani Sudin, turut hadir bersama-sama ialah Ameng Spring bagi merancakkan suasana Konsert Hiruk-Pikuk yang dianjurkan PUSKEB.

Poster Konsert Hiruk-Pikuk yang bakal berlangsung pada 28 Januari 2023.

Pusat Kebudayaan UPSI sangat mengalu-alukan kedatangan warga UPSI dan seluruh masyarakat supaya bersama-sama menyokong inisiatif program kebudayaan yang diadakan. Semoga dengan usaha ini dapat membawa UPSI kembali subur dengan pelbagai aktiviti kebudayaan pada masa akan datang selepas aktiviti seni lumpuh kerana pandemik COVID-19 yang melanda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.