Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSebagai masyarakat dan pengguna, istilah-istilah asas ini selalu kita pandang mudah. Kita lebih suka untuk serkap dan tangkap muat dalam perbualan harian. Sehingga terbawa-bawa sebagai fahaman. Perkataan pawagam yang berasal daripada singkatan panggung wayang gambar menjadi satu perkataan yang sangat taboo di sesetengah tempat. Apatah lagi setelah pawagam menjadi sebuah bangunan terlarang buat penduduk di situ.
Pawagam ialah sebuah lokasi yang boleh memberikan pelbagai manfaat. Baik sebagai pengunjung apatah lagi sebagai pemilik, terutamanya pawagam yang bersifat komersial dan ada pelibatan urus niaga. Namun begitu, untuk lebih menjaga kebajikan rakyat, pawagam untuk komuniti boleh menjadi platform yang baik dan bermanfaat.
Pawagam komuniti dan pawagam komersial merupakan dua perkara yang sangat berbeza walau kedua-duanya ialah ruang yang menyajikan kandungan tayangan di layar. Lebih mudah untuk difahami, komuniti ialah pengumpulan orang yang tinggal di sesuatu kawasan dan memiliki sifat-sifat atau kecenderungan yang hampir sama. Selalunya situasi ini lebih bersifat kemasyarakatan, kebajikan, sukarelawan dan jauh sekali bercerita tentang untung rugi kewangan.
Kejahilan untuk menilai pawagam komuniti sebagai sebuah kemudahan yang boleh membangunkan minda dan ekonomi sesebuah masyarakat ialah situasi yang sangat merugikan. Perasaan yang dilayan tanpa usul periksa, mengikut-ngikut arus warisan yang seharusnya berubah dan dipertimbang mengikut peredaran masa adalah lebih wajar.
Banyak perkara yang boleh dilakukan bersama-sama pawagam komuniti tanpa kita sedari, antaranya termasuklah dapat menjadi pintu masuk kepada filem-filem berkualiti yang mungkin tidak ditayangkan di pawagam komersial. Pawagam komuniti juga dapat meningkatkan hubungan sosial dengan mendorong interaksi antara penduduk setempat, memperkukuh ikatan sosial dan merangsang perbincangan tentang karya seni dan budaya.
Kemudahan ini juga mampu mendukung kebudayaan tempatan dengan menyokong penghasilan seni tempatan dan budaya masyarakat setempat melalui penayangan karya-karya lokal dan acara budaya lainnya. Pawagam komuniti juga dapat dilihat sebagai platform pendidikan dan informasi. Bukan hanya dianggap sebagai tempat hiburan, tetapi juga sebagai platform untuk pendidikan melalui diskusi, seminar dan pameran yang terkait dengan filem dan seni.
Pawagam komuniti berperanan memupuk identiti komuniti secara tidak langsung dengan melahirkan rasa pemilikan terhadap kemudahan ini dalam kalangan penduduk tempatan dan membentuk identiti unik bagi komuniti tersebut. Bakat tempatan juga dapat digilap kerana platform ini memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan dalam industri filem, seni pertunjukan dan penyiaran untuk dikenal pasti melalui persembahan atau uji bakat. Selain itu kemudahan ini merupakan alternatif kepada aktiviti sosial dan kegiatan keluarga yang terpimpin dengan tersedianya pilihan aktiviti sosial yang bermanfaat bagi semua anggota keluarga daripada pelbagai usia.
Sesetengah masyarakat bersifat defensif sehingga tanpa sedar membuta tuli untuk membenci perkara yang mereka tidak faham dan kenal. Agak sedih jika platform yang digunakan dunia selama ini untuk menyiarkan pelbagai naskhah dan karya yang dapat merubah dan membangun dunia tetapi hari ini masih kekal dengan anggapan sebagai tempat berbuat dosa dan maksiat.
Jika dalam bidang fesyen, sukan atau pemakanan kita berlumba- lumba merujuk negara luar bagaikan kiblat, kenapa tidak untuk industri yang membantu menjanakan minda. Sebagai contoh di beberapa buah negara maju, pawagam komuniti merupakan kemudahan yang penting. Ini kerana sifat pawagam komuniti yang menjadi tapak kegiatan masyarakat setempat memperkasakan diri dan menyiapkan minda sebelum melangkah ke dunia luar yang lebih mencabar.
Di England, terdapat beberapa contoh pawagam komuniti yang memberikan manfaat kepada penduduk tempatan dengan cara yang unik dan menarik. Pawagam Komuniti The Lexi Cinema, merupakan pusat sosial yang terletak di Kensal Rise, London. Keuntungan daripada tiket dan penjualan makanan serta minuman digunakan untuk menggalakkan inisiatif sosial dalam komuniti tempatan dan projek-projek kebudayaan.
Electric Cinema, Birmingham pula ialah satu daripada pawagam tertua di England yang masih beroperasi. Electric Cinema menawarkan pengalaman menonton yang mewah dengan sofa dan kerusi berpoket serta menyajikan makanan dan minuman dalam suasana yang santai. Manakala Pawagam Komuniti Regent Street Cinema, London dibuka semula pada tahun 2015 selepas diubahsuai. Regent Street Cinema merupakan satu daripada pawagam tertua di dunia yang masih beroperasi. Selain menayangkan filem, pawagam ini juga menjadi pusat untuk acara seni dan kebudayaan komuniti.
Sementara itu, The Cube Microplex, Bristol merupakan pawagam yang dikelola oleh sukarelawan dan terkenal dengan program-program yang eklektik, termasuklah filem bebas, pertunjukan langsung dan acara-acara kebudayaan. Begitu juga Pawagam Komuniti Shetland Arts Mareel, Lerwick yang terletak di Kepulauan Shetland. Pawagam ini ialah pusat seni yang menawarkan pawagam, teater dan ruang pameran serta berperanan sebagai pusat penting bagi komuniti lokal untuk menikmati seni dan budaya.
Setiap pawagam komuniti ini memberikan lebih daripada sekadar tempat untuk menonton filem. Pawagam tersebut turut berfungsi sebagai pusat kebudayaan dan ruang untuk interaksi sosial dalam kalangan penduduk setempat.
Adakah sukar penyediaan sesebuah pawagam komuniti ini? Sebenarnya kemudahan ini sudah tersedia. Namun untuk menjadikannya lebih teratur dan tertib, pihak berwajib hanya perlu mentadbir urus dengan mengenal pasti dan melantik jawatankuasa penyelenggara. Masyarakat itu sendiri akan sama-sama bertanggungjawab mengambil tahu tentang atur cara, pengisian dan asas pengurusan. Ini juga secara tidak langsung melatih setiap kita untuk memiliki watak penting dan berfungsi dalam hidup bermasyarakat. Gejala sosial dapat dielakkan dalam kalangan anak muda kerana mereka telah sibuk umpama berkerjaya secara sukarela dalam ekosistem projek rakyat yang bermanfaat ini.
Jika tidak bersetuju dengan fahaman pawagam komersial untuk menjanakan ekonomi menerusi penayangan karya-karya filem yang pelbagai pengisian, tidak adil juga untuk terus menafikan manfaat pawagam yang tidak bersifat menjanakan keuntungan malah berhati hati dalam memilih tajuk naskhah demi manfaat komuniti. Hal ini jelas merupakan kerugian besar kepada sesebuah komuniti.
Pawagam komuniti yang sepatutnya menjadi aset kerajaan sebenarnya boleh diumpamakan sebagai sebuah Universiti Visual dan Audio dengan pengisian yang disaring dan bermanfaat untuk masyarakat. Penubuhan pawagam komuniti dapat dilihat sebagai satu langkah yang bakal mencetuskan pelbagai perkara positif dan usaha ini harus disokong oleh semua pihak yang berfikiran minda kelas pertama.
Sudah tiba masanya perkara asas untuk kita sedar bahawa pawagam komuniti dan pawagam komersial itu berbeza. Berbeza pembawaan dan hala tujunya.