Oleh Jamil Hashim
4 November 2024, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat umum selama ini memang meyakini akan pelbagai produk kraf tangan yang dihasilkan merupakan produk seni yang unik, cantik dan menarik. Pengeluaran produk ini dihasilkan oleh usahawan kraf kecil dan sederhana terutama di desa sebagai sumber pendapatan.

Produk kraf tangan bukan sahaja diminati oleh masyarakat tempatan sebagai bahan perhiasan atau kegunaan harian, malah menjadi pilihan kepada pelancong asing yang cenderung membelinya sebagai cenderahati.  Hal ini terbukti berdasarkan kunjungan pelancong ke Kompleks Kraf di Kuala Lumpur dan pusat-pusat kraf di seluruh negara terutamanya di kawasan peranginan tumpuan.

Berdasarkan jangkaan bahawa negara bakal menerima lebih banyak pengunjung asing berikutan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan Madani 2025 di persidangan Dewan Rakyat pada 18 Oktober lalu menyarankan agar industri kraf tempatan turut diberikan perhatian untuk diperkasakan.

Beliau menyarankan agar produk kraf tangan tempatan dijadikan sebagai pemberian cenderamata utama kepada para perwakilan persidangan terutamanya ketua-ketua negara atau pegawai kanan dan peserta lain. Cadangan tersebut bukan sahaja untuk sidang kemuncak tetapi juga para delegasi yang bakal datang menyertai 270 aktiviti dan perkara ini dijangkakan melibatkan jumlah peserta yang ramai.

Beliau amat yakin dan optimis bahawa penganjuran pelbagai aktiviti ini bukan sahaja dapat menjanakan pendapatan kepada pengendali dan penyedia khidmat logistik berkaitan pengangkutan, penginapan dan makanan tetapi juga kepada pengusaha produk kraf tangan tempatan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut berpendapat bahawa produk kraf tangan tempatan yang menarik dan cantik juga amat sesuai dijadikan sebagai cenderamata korporat kepada peserta terutamanya buat pemimpin utama peringkat antarabangsa sebagai usaha menonjolkan keaslian, kehalusan dan seni rekaan anak tempatan yang unik.

Walau bagaimanapun, hal berkaitan produk kraf tangan bukanlah kali pertama dibangkitkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana beliau pernah menyuarakan hasrat yang sama semasa sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang berlangsung sebelum ini.  Sambutan Hari Kraf Kebangsaan yang dijadikan acara tahunan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sejak 2003 berjaya merekodkan jualan keseluruhan melebihi RM 260 juta.

Masyarakat umum dan pelbagai pihak menyifatkan penganjuran sidang kemuncak itu dan pelbagai mesyuarat lain sebagai kesempatan terbaik yang mesti direbut oleh para pengusaha kraf dalam pelbagai bidang untuk menonjolkan keunikan hasil ciptaan mereka.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus Akbar Khan menyifatkan saranan itu sebagai sesuatu yang penting dan perlu diberikan perhatian oleh pelbagai pihak khususnya pihak Kraftangan Malaysia dan usahawan kraf di seluruh negara untuk menghasilkan pelbagai ciptaan yang menarik dan unik.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia sendiri melihat saranan pucuk kepimpinan negara itu sebagai peluang terbaik yang dinanti-nantikan oleh para penggiat dan pengeluar barangan kraf tempatan untuk mengetengahkan pelbagai produk mereka  yang amat sesuai dijadikan sebagai hadiah dan cenderahati.

Ketua Pengarahnya, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli melihat perhatian yang diberikan oleh pucuk pimpinan negara sebagai usaha yang penting kerana dapat menyokong matlamat utama Kraftangan Malaysia sebagai agensi peneraju dalam kecemerlangan dan pembangunan industri kraf negara agar kekal mampan dan berdaya saing pada peringkat global.  Kraftangan Malaysia juga merupakan agensi unggul yang bertanggungjawab mengkomersialkan produk kraf melalui pembangunan pemasaran, dan keusahawanan.

Bagi memenuhi keperluan negara menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN itu, pihaknya yang telah benar-benar bersedia akan merancang dengan teliti daripada segi pemilihan produk yang menarik dan unik termasuklah yang sesuai dijadikan cenderahati korporat untuk diberikan kepada delegasi ketua negara serta peserta sidang utama dan juga bagi acara-acara lain.

Datuk `Ainu sendiri menyatakan kesediaan pihaknya menawarkan khidmat rundingan termasuklah oleh para pereka untuk bekerjasama dengan pelbagai organisasi berkenaan. Usaha ini melibatkan proses mengenal pasti dan mereka cipta bentuk kraf yang eksklusif sebagai cenderahati korporat yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Selain katalog cenderamata korporat sedia ada, pihaknya juga mempunyai senarai banyak adiguru kraf, pereka dan usahawan di seluruh negara yang mampu membekalkan pelbagai produk kraf yang diperlukan dengan jumlah yang banyak.

Bukan sahaja untuk tujuan penganjuran persidangan dan pelbagai acara lain, tetapi juga bagi memenuhi keperluan barangan hiasan kraf semasa Tahun Melawat Malaysia 2026. Pihaknya juga telah bersedia untuk menggerakkan urusan pemasaran yang akan dibekalkan oleh usahawan pelbagai aneka produk kraf di seluruh negara.

Usaha ini pasti akan memberikan faedah secara langsung kepada usahawan kraf di seluruh negara yang mampu meningkatkan jumlah bekalan produk dan menambahkan pendapatan.  Selain produk sedia ada yang menarik perhatian, pihaknya juga melihat banyak lagi produk yang unik dan menarik serta berpotensi untuk diketengahkan hasil kemampuan dan kemahiran penciptaan oleh anak tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.