9 Disember 2024, 23:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara kita kini mempunyai tiga orang Biduanita Negara, iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma, Allahyarham Datuk Hajah Sharifah Aini, dan yang terbaharu, Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza. Puan Sri Saloma dianugerahi Biduanita Negara pada tahun 1978 ketika berusia 43 tahun. Hajah Sharifah Aini pula pada tahun 2006, semasa berumur 53 tahun. Sementara Dato’ Siti Nurhaliza menerima gelaran tertinggi ini pada 13 November 2024 yang lalu, sewaktu berusia 45 tahun.

Mula bergiat pada tahun 1949, bererti Saloma menerima anugerah Biduanita Negara selepas 28 tahun menjadi anak seni. Semasa kerjaya awalnya dalam perfileman menerusi filem Norma, suara Saloma mula berkumandang di corong radio tempatan buat kali pertama secara tidak sengaja apabila bapa tirinya membawa beliau menonton orkestra membuat persembahan untuk siaran di Radio Malaya.

Penyanyi Rokiah Hanafi, yang dikenali sebagai Rokiah Wandah, dijadualkan untuk menyanyikan beberapa buah lagu dengan orkestra tersebut. Malangnya, Rokiah tidak hadir seperti yang dijanjikan. Pada saat genting itu, Ibu Yusoff telah memujuk Saloma untuk cuba menyanyikan lagu-lagu yang sepatutnya dinyanyikan oleh Rokiah. Saloma berjaya menyanyikan lagu-lagu tersebut dengan amat baik. Sejak itu, beliau menerima banyak tawaran dari orkestra seluruh Singapura untuk menjadi penyanyi utama mereka. Sebuah lagunya yang dinyanyikan di Radio Malaya adalah Sang Rang Bulan. Lagu ini terdapat dalam filem Rachun Dunia, dan pernah dirakamkan oleh Rubiah, seorang penyanyi tempatan.

Bakat Sharifah Aini dikesan oleh pemuzik Taib Osman, yang kemudian membawanya menyertai pertandingan nyanyian, sekali gus menyertai “Bintang Adu Bakat RTS”, anjuran Radio Televisyen Singapura (RTS; kini Mediacorp) di Singapura pada tahun 1968 dengan menyanyikan lagu Tiga Malam, dan sekali gus dinobatkan sebagai juara. Pada Disember 1969, beliau antara enam orang penyanyi yang berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan “Johan 69”, selain M. Ismail, Masni Salleh dan Zaleha Hamid. Ini bermakna, Sharifah Aini atau Kak Pah bergelar Biduanita Negara setelah 38 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara.

Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan panggilan “Tok Ti” pula dianugerahi Biduanita Negara selepas 29 tahun menjadi anak seni, iaitu lebih setahun daripada Saloma. Antara ketiga-tiga Biduanita Negara ini, Sharifah Aini melalui masa yang paling lama sebelum diiktiraf. Perbezaan ketara yang lain ialah Tok Ti hanya bergiat dalam bidang seni suara sahaja (pernah mencuba bakatnya dalam bidang lakonan, dengan memegang watak Azizah, kekasih misteri P. Ramlee, dalam muzikal Remy… Kisah P. Ramlee, sebuah filem penghormatan kepada P. Ramlee, di Istana Budaya pada 19 Oktober hingga 3 November 2007), tidak seperti Saloma dan Kak Pah yang turut membintangi filem.

Walau bagaimanapun, menjadi pelakon (filem, drama pentas, drama televisyen tidak termasuk dalam perkiraan ini kerana biduan (bagi penyanyi lelaki) dan biduanita (penyanyi wanita) adalah gelaran bagi penyanyi, bukan pelakon. Lantas, jika ada yang mempertikaikan kelayakan Tok Ti, saya fikir mereka perlu melihat fakta pencapaian penyanyi kelahiran Pahang ini. Tok Ti memang lebih dikenali sebagai penyanyi hampir tiga dekad dengan pelbagai kejayaan besar. Beliau masih penyanyi nombor satu negara.

Selepas memulakan kerjayanya dalam industri muzik Malaysia seawal usia 16 tahun dengan menjuarai “Bintang HMI” anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995, Tok Ti menerima empat tawaran kontrak rakaman daripada syarikat rakaman antarabangsa sebelum dilamar oleh Suria Records. Lagu tunggal sulungnya, Jerat Percintaan telah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-11, serta memenangi kategori Persembahan Terbaik dan Lagu Balada Terbaik.

Album pertama Tok Ti telah terjual sebanyak 800,000 unit dari awal penglibatan beliau dalam industri muzik Malaysia sehingga tahun 2005 di Malaysia sahaja. Keunggulan beliau di persada seni telah menempa nama dalam industri muzik Malaysia sehingga mendapat pelbagai gelaran dan panggilan seperti Ratu Pop Malaysia, Diva Asia dan Ratu Pop Asia oleh peminat muzik dalam, mahupun luar negara.

Sepanjang kerjayanya, Tok Ti telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Antaranya, beroleh gelaran Suara Asia selepas memenangi Grand Prix Champion anjuran Suara Asia di Almaty, Kazakhstan pada tahun 2002. Beliau turut memenangi beberapa pertandingan nyanyian antarabangsa lain seperti Anugerah Emas Pertandingan Penyanyi Baru Asia di Festival Muzik Asia Shanghai di Shanghai, China pada tahun 1999. Pada tahun yang sama, beliau juga memenangi Anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita, serta menjadi satu daripada seorang daripada pemenang bagi kategori Terbaik 40 Kategori Lagu Pertandingan Menyanyi dan Lagu Antarabangsa Pasifik Selatan, di Gold Coast, Queensland, Australia.

Sehingga kini Tok Ti telah memenangi lebih 300 anugerah dan penghargaan dari dalam, dan luar negara. Beliau merupakan satu-satunya penyanyi, dan anak seni yang paling berjaya dalam sejarah industri hiburan Malaysia.

Antaranya termasuklah 43 Anugerah Industri Muzik, 25 Anugerah Bintang Popular, 28 Anugerah Planet Muzik, 20 Anugerah Juara Lagu, empat Anugerah MTV Asia, tiga Anugerah Muzik Dunia, dua Anugerah Musik Indonesia, dua Anugerah Muzik Singapura dan pemegang bagi dua rekod dalam Malaysia Book of Records. Sepanjang penglibatannya dalam industri muzik Malaysia, Tok Ti telah merakamkan dan menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa, antaranya termasuklah bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia, Jawa, Mandarin, Hindi, Arab dan Jepun.

Berbekalkan 16 buah album studio, dua buah album duet, lapan buah album konsert, 11 buah album kompilasi, dan 250 buah lagu berserta lagu tunggal, sehingga kini album beliau dianggarkan telah terjual sebanyak 5,000,000 unit. Beliau merupakan antara artis yang paling berpengaruh di Kepulauan Melayu, Rantau Nusantara dan Asia Tenggara apabila memenangi anugerah bagi kategori Artis Serantau Paling Popular, mengalahkan artis-artis lain dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia 10 kali berturut-turut dalam Anugerah Planet Muzik, bermula dari tahun 2001.

Tok Ti tersenarai sebagai artis yang paling berpengaruh, serta paling banyak memenangi anugerah dan menerbitkan lagu tunggal. Beliau merupakan satu-satunya artis dari Malaysia yang albumnya terjual paling laris. Pada tahun 2000, jualan album beliau telah menyumbang kepada 10 peratus jumlah jualan album di Malaysia. Sehingga kini, beliau telah menjual lebih daripada 4.9 juta album. Pada tahun 1998, iaitu selepas dua tahun menyertai industri muzik Malaysia, beliau telah dipilih dalam kalangan artis Malaysia untuk mengadakan persembahan penutup bagi Sukan Komanwel 1998 di hadapan Ratu Elizabeth II, dan Putera Philip, Duke Edinburgh serta dalam kalangan ahli delegasi, dan pegawai dari 70 buah negara yang terdiri daripada Negara-negara Komanwel.

Pada tahun 2005, Tok Ti menjadi artis pertama dari Asia Tenggara, dan ketiga dari Asia yang mengadakan konsert secara solo di Royal Albert Hall, London yang diiringi kumpulan Orkestra Simfoni London. Beliau juga telah tersenarai pada kedudukan kedua sebagai Artis Muzikal Terbaik Asia oleh MTV Asia, dan Artis Asia Terbesar oleh Channel V pada tahun yang sama. Tiga tahun kemudian, Tok Ti digelar sebagai Idola Asia oleh Asia News Network. Beliau juga menerima gelaran Legenda Muzik Asia daripada 10 Terbaik Asia pada tahun 2014. Pada tahun 2004, Anugerah Melodi Emas telah menggelarkan beliau sebagai Penyanyi Nombor 1 Asia. Kejayaan di rantau Asia melayakkan beliau menerima gelaran Suara Asia, dan Celine Dion Asia oleh peminat, dan pakar muzik dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, apakah kayu ukur sebenarnya dalam pemilihan Biduanita Negara? Tempoh bergiat atau tahap pencapaian? Semasa masih hidup atau selepas meninggal dunia? Setakat ini, anugerah tersebut diberikan ketika penerima masih ada. Jadi, tidak timbul isu penganugerahan hanya diberi selepas kematian. Saloma bergiat selama 33 tahun, iaitu dari tahun 1950 hingga 1983 – hingga ke akhir hayatnya. Kak Pah pula aktif selama 46 tahun, iaitu dari tahun 1968 hingga 2014 – juga hingga meninggal dunia. Tok Ti baru 29 tahun, dan bakal mengatasi tempoh kegiatan Saloma kerana masih bergiat. Antara mereka bertiga, Kak Pah paling lama bergiat.

Selain begitu banyak anugerah yang diterima, serta jumlah album dan konsertnya, bakat dan suara Tok Ti turut dipuji oleh rakan artis dalam dan luar negara.

Dato’ M. Nasir, misalnya, mengatakan apabila berbicara mengenai Tok Ti, beliau adalah suara. Berikan sebarang lagu, katanya, Tok Ti boleh menyampaikan dengan baik, dan tiada masalah untuk mencari lagu yang sesuai dengannya. M. Nasir turut memuji Tok Ti atas usaha berani beliau bereksperimen melisma suaranya dengan normal muzik, atau lagu baharu.

Antara lagunya yang paling sukar untuk dipersembahkan adalah Kurniaan dalam Samaran, sebuah lagu enka dipengaruhi Jepun, yang menuntut Tok Ti bermain peralihan bass, dan nada vokal soprano, serta jarang dipersembahkan secara langsung.

Walau bagaimanapun, dalam konsert SATU pada 26-28 Jun 2009, persembahan Tok Ti mendapat penilaian pengkritik dan peminat. Satu daripadanya menamakan rendisi sebenar Tok Ti sebagai lagu berperasa Jepun memerlukan beliau bertukar dari suara semula jadi kepada falsetto dalam rambut penjanaan cadenza suatu tempat dalam julat tinggi vokalis yang kebanyakan wanita akan jengkel. Tetapi, Tok Ti menariknya di luar dengan mudah, dan menghantar menggigil ke bawah tulang belakang.

Gareth Gates yang membuat persembahan bersama-sama Tok Ti semasa Anugerah MTV Asia 2004 mengatakan Tok Ti pasti telah kelihatan, dan pasti mempunyai suara. Jika Tok Ti terus menyanyi dengan cara yang beliau lakukan, katanya, beliau mampu pergi lebih jauh. Lea Salonga, penyanyi dan pelakon Filipina yang pernah terlibat dalam pelbagai teater, termasuk Miss Saigon dan beberapa buah filem terbitan Disney, turut memuji dan menghormati keupayaan vokal Tok Ti semasa konsert beliau di Malaysia pada tahun 2010.

Pada tahun berikutnya, seorang lagi artis Filipina, Gary Valenciano semasa lawatan ke Malaysia telah melahirkan rasa kagum terhadap keupayaan vokal Tok Ti. Katanya, berdasarkan apa yang diberitahu oleh media tempatan, beliau percaya lagu Melayu terbaik dan vokal terbaik yang pernah didengarnya ialah Tok Ti.

“Kalaulah mungkin dapat bertemu dengannya, saya pasti mahu berduet dengannya. Jika diberikan peluang, saya pasti akan mengarang sebuah lagu untuknya. Itulah yang beliau inginkan,” kata Valenciano.

Sami Yusuf yang meminta Tok Ti tampil dalam album beliau, Salaam pula mengatakan Tok Ti bukan sahaja mempunyai suara yang baik, tetapi juga personaliti yang menarik. Baginya, Tok Ti adalah seorang wanita tulen, yang Malaysia dan ASEAN perlu banggakan.

Pada tahun 2013, penyanyi Amerika Syarikat, Kenny Babyface yang berduet dengannya semasa Sapurakencana Petroleum Malaysia Grand Prix Charity Gala 2013 juga berulang kali menyatakan kekaguman beliau terhadap Tok Ti. Katanya, Tok Ti ber“suara yang indah”, dan mempunyai kemahiran nyanyian yang hebat.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.