Diterbitkan pada 17 Februari 2025, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setelah diundang dalam sebuah bual bicara berkonsepkan audio siar, Raihani Mohd. Saaid mengupas penangan audio siar kepada masyarakat umum.

Sebuah audio siar yang membawa nama Legasi Podcast: Sembang Sambung sedang mendapat tempat yang tersendiri dalam kalangan peminat seni budaya tanah air. Audio siar ini merupakan terbitan Nusa Podcast dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Malaysia, Kementerian Perpaduan Negara, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Arkib Negara Malaysia, yang mana episod pertamanya menemui penonton pada 13 September 2024.

Audio siar ini dikendalikan dengan baik oleh dua orang hos yang cukup berpengalaman dalam bidang seni hiburan dan penyiaran negara, iaitu Adlin Aman Ramlie dan Dato’ Khairul Anwar Salleh. Setiap episod boleh ditonton sepenuhnya di platform Youtube dan sehingga artikel ini ditulis, Legasi Podcast sudah memasuki episod yang ke-21 dan mencapai hampir 1.5 juta tontonan di Youtube.

Objektif audio siar ini adalah dengan membicara dan mengetengahkan semula legasi zaman keemasan yang pernah dilakar oleh Seniman Agung P. Ramlee bersama angkatan karyawan, sasterawan dan budayawan pada era tersebut. Audio siar ini juga menjadi wacana persediaan sebuah filem riwayat hidup (biopic) mengenai P. Ramlee. Tetamu yang diundang terdiri dari latar belakang yang dapat memberi input membina demi keberhasilan filem tersebut.

Episod pertama menampilkan Seniwati Ruminah Sidek yang mempunyai pengalaman primer berlakon dengan P. Ramlee sendiri, khasnya melalui filem Anak Bapak. Beliau telah berkongsi pengalaman peribadi dan bercerita mengenai sisi lain yang belum diketahui mengenai P. Ramlee dan juga Seniman AR Tompel. Antaranya ialah jumlah bayaran RM4000 yang diterimanya ketika berlakon filem Anak Bapak, serta kesediaan P. Ramlee meraikan idea-idea daripada orang di sekeliling untuk memantapkan hasil kerjanya.

Seorang lagi tetamu ialah pelakon yang mempunyai pengalaman langsung berlakon dengan P. Ramlee, iaitu Seniwati Norlia Ghani. Suami pertama Norlia Ghani, iaitu Ramli Kechik merupakan pembantu peribadi kepada P. Ramlee dan beliau juga pernah tinggal bersama Saloma selama beberapa tahun selepas kematian P. Ramlee. Norlia turut menceritakan bagaimana anak sulungnya, yakni pelakon terkenal Rushdi Ramli mendapat namanya daripada watak Dr. Rushdi lakonan P. Ramlee dalam filem dengan tajuk yang sama pada tahun 1970. Sebagai seorang saksi hidup, Norlia juga telah mengambil peluang dalam episod tersebut untuk menyangkal dakwaan gelap mengenai keadaan kewangan P. Ramlee menjelang akhir hayatnya.

Tetamu lain yang turut diundang ialah Puan Sri Tiara Jacquelina yang pernah mementaskan P. Ramlee the Musical serta pengalaman beliau berlakon bersama isteri kedua P. Ramlee, iaitu Seniwati Norizan. Antara episod yang mencapai jumlah tontonan melebihi 100 ribu ialah episod yang menampilkan Seniman AR Badul dan Seniwati Fauziah Dato’ Ahmad Daud. Kedua-dua tokoh ini sememangnya legasi dari zaman kegemilangan filem Melayu era studio yang mana kekayaan pengalaman mereka telah dikongsi dengan begitu baik kepada penonton.

Perkongsian AR Badul banyak memberi pencerahan mengenai garis masa perkembangan komedi tanah air serta bagaimana beliau mencipta sejarah tersendiri apabila terdapat tajuk-tajuk filem yang mengambil namanya, seperti Si Badul, Tuan Badul, Panglima Badul dan Guru Badul.

Begitu juga dengan Fauziah Ahmad Daud, beliau menceritakan perjuangannya menyambung legasi nama besar Seniwati Saadiah dan Seniman Ahmad Daud. Perjalanannya sebagai anak seni dan prinsip seninya yang tegas namun sering disalah anggap. Fauziah turut berkongsi detik pilu menjelang pemergian bondanya yang tercinta dan keinginannya untuk melihat manifestasi P. Ramlee yang membumi dalam filem riwayat hidup yang sedang diusahakan itu.

Audio siar ini turut menampilkan tetamu dalam kalangan pentadbir seni budaya Malaysia, seperti Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dan Ketua Pengarah Arkib Negara. Selain itu, tetamu dalam kalangan penulis, pengkritk filem, pengarah filem dan pengkaji P. Ramlee turut ditampilkan, seperti Hidir Ali Razali, Daniyal Kadir, Al Jafree Yusop dan penulis sendiri.

Mereka telah memberi sudut pandang baharu mengenai pemikiran dalam filem-filem P.Ramlee serta maklum balas yang kritis terhadap ekosistem perfileman di Malaysia. Misalnya, cadangan mewujudkan kumpulan pemikir, pendokumentasian dan bagaimana seharusnya sebuah filem dikritik.

Namun episod yang paling membuka mata dan membawa makna kepada kata ‘legasi’ itu sendiri ialah episod 16 yang menampilkan anak kepada Seniman Agung, iaitu Sazali P. Ramlee dan episod 20 yang menampilkan cucu-cucu Seniwati Saloma, iaitu Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie.

Sazali telah berkongsi sisi-sisi yang tidak pernah diketahui selama ini, khasnya mengenai perhubungan beliau dengan P. Ramlee, Norizan, Saloma dan Nasir P. Ramlee. Episod ini merupakan episod yang paling panjang, paling mencabar dan mencetuskan banyak reaksi dalam kalangan penonton, malah dianggap sebagai dekonstruksi kepada naratif agung kisah hidup P. Ramlee yang pernah dibawakan oleh sebuah dokumentari sebelum ini.

Perkongsian Arzanee dan Rozaidie sebagai waris Saloma yang sah juga turut menjelaskan bagaimana mereka dipinggirkan dalam acara yang berkaitan dengan nenda mereka, termasuk hal berkaitan Saloma Bistro dan kekecewaan mereka terhadap paparan dalam Biopic Saloma (2014-2015). Kedua-dua waris ini mendapati bahawa Legasi Podcast telah menjadi wadah terbaik untuk melontarkan suara yang terpendam selama ini.

Oleh itu, Legasi Podcast telah menjadi sebuah audio siar yang memberi pengetahuan baharu tentang beberapa perkara yang tidak ‘diluruskan’ sejak sekian waktu. Terdapat perkongsian yang benar-benar membuka mata dan memberi dimensi tersendiri terhadap seniman agung yang sudah menjadi sebuah institusi dalam masyarakat. Sebagai persediaan kepada penerbitan filem riwayat hidup seniman agung kelak, perkongsian para tetamu undangan telah rujukan utama.

Para pelayar di Youtube aktif memberi pelbagai maklum balas yang dapat menambahbaik audio siar ini, termasuk mencadangkan nama-nama yang wajar diundang sebagai tetamu. Penghargaan harus diberikan kepada pasukan penerbitan kerana berani menampilkan sudut-sudut yang tidak pernah diteroka, matang dari aspek penyampaian namun tetap menyentuh sisi-sisi manusiawi para insan seni.

______________________________________

Raihani Mohd. Saaid baru sahaja menyelesaikan pengajiannya di peringkat PhD yang mana kajiannya bertumpu kepada aspek pemikiran dalam filem-filem komedi P. Ramlee. Beliau merupakan tetamu Legasi Podcast untuk episod ke-18.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi