Diterbitkan pada 28 Mei 2025, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pepatah Melayu, “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas” jelas menggambarkan keutuhan sesuatu yang diwarisi sejak turun-temurun. Dalam konteks negara bangsa, peribahasa ini menepati makna budaya dan warisan yang sepatutnya menjadi akar dan tunjang yang kukuh kepada jati diri sesebuah negara. Budaya bukan sekadar warisan berzaman dan seharusnya menjadi nadi yang menggerakkan identiti serta daya saing negara di pentas antarabangsa.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan kepelbagaian etnik dan tradisi, Malaysia memiliki berbilang khazanah budaya yang tiada tandingan. Dari tarian klasik hingga ke muzik rakyat pelbagai kaum, semuanya mencerminkan ketamadunan tinggi dan memupuk nilai murni yang membentuk rakyatnya. Namun begitu, dalam dunia moden yang kian sarat dengan arus globalisasi, pemeliharaan budaya perlu menjadi satu keutamaan dalam memastikan ia akan kekal diingati sepanjang hayat. Budaya bukan lagi hanya untuk dikenang, tetapi mesti diperkasa dan dijulang agar kekal relevan dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Diplomasi Budaya: Menyulam Seni dalam Hubungan Antarabangsa

Kepengerusian ASEAN-Malaysia melalui penganjuran Gala Dinner ASEAN 2025 baru-baru ini, berjaya menjadi satu daripada medan berkesan untuk menzahirkan pemerkasaan budaya secara praktikal. Walaupun tidak secara langsung bertujuan meraikan budaya, acara berprestij itu telah memperlihatkan bagaimana seni dan budaya mampu menjadi penghubung dalam memperkukuh diplomasi antara negara. Persembahan yang menzahirkan perpaduan elemen muzik rakyat, orkestra moden dan iringan koir telah berjaya mengangkat martabat kesenian Malaysia dan meraih pujian para pemimpin.

Malah, persembahan oleh penyanyi terbaik negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Shila Amzah bukan sekadar satu hiburan semata-mata, tetapi menggambarkan lambang kegemilangan dan profesionalisme seni Malaysia di pentas dunia. Selain itu, persembahan yang dibawakan oleh Permata Seni Koir mencerminkan kehebatan bakat cilik yang unggul dan iringan alunan instrumental oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) membuktikan bahawa taraf pementasan seni dan budaya kita sebaris dengan persembahan kelas atasan, seolah-olah sedang menonton persembahan di luar negara.

Gabungan suara, pakaian tradisional dan gubahan moden bukan sahaja mencerminkan kerencaman budaya, tetapi juga nilai dinamik dan mampu bergerak seiring zaman tanpa kehilangan roh dan asasnya. Malah, bukan lagi hanya sebagai hiasan, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dari latar belakang yang berbeza untuk saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.

ASEAN sebagai Komuniti Budaya Serantau

Selain memperkenalkan kebudayaan Malaysia, Gala Dinner ASEAN 2025 turut meraikan kepelbagaian budaya serantau ASEAN. Persembahan medley lagu-lagu rakyat dari negara-negara anggota ASEAN yang dibawakan oleh penyanyi Bob Yusof, Asmidar dan Yazmin Aziz misalnya, merupakan simbol aspirasi kebudayaan bersama yang bersandarkan nilai kebersamaan serantau. Perkara tersebut menjadi bukti bahawa ASEAN bukan sahaja berperanan sebagai entiti ekonomi dan politik, malah turut berkongsi nilai budaya dan warisan yang kaya.

Dalam konteks ini, diplomasi budaya menjadi alat penting dalam memperkukuh hubungan antara negara. Dengan mempersembahkan kesenian dalam suasana formal namun mesra seperti Gala Dinner, Malaysia berjaya memperlihatkan pendekatan halus namun berkesan dalam membina persefahaman dan jalinan antara negara-negara anggota.

Warisan Budaya: Aset Strategik Negara

Pementasan seni pada Gala Dinner ASEAN 2025 secara tidak langsung telah menyumbang nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Walaupun tidak disebut secara rasmi sebagai sebahagian daripada kempen, persembahan malam itu telah memberi gambaran yang menyeluruh dan penuh keyakinan tentang daya tarikan budaya Malaysia kepada dunia. Persembahan tersebut berpotensi untuk menjadi umpan awal yang mampu menarik minat perwakilan asing untuk kembali sebagai pelancong, pencinta seni atau rakan budaya.

Para tetamu antarabangsa bukan sahaja sekadar menonton, namun mereka merasai denyut nadi budaya Malaysia. Setiap persembahan yang penuh tradisi secara tidak langsung memperkenalkan nilai-nilai Melayu dan warisan nusantara dengan cara yang membangkitkan rasa keakraban, walaupun di bumi asing.

Dalam usaha membina negara bangsa yang progresif seperti konsep Malaysia MADANI, budaya tidak boleh hanya dipandang enteng. Sebaliknya, perlu dimanfaatkan dan dimartabatkan sebagai aset strategik. Mana-mana negara yang mempertingkat usaha memelihara budayanya dengan baik akan lebih dihormati dan dikenali. Dalam konteks Malaysia, usaha memperkenalkan budaya di peringkat global bukan sahaja memperkukuh jati diri nasional, malah menjadi pemangkin kepada ekonomi melalui pelancongan budaya.

Sebagaimana pepatah menyebut, “tak kenal maka tak cinta”. Persembahan budaya yang bersifat halus tetapi memberi dampak yang positif, mampu melahirkan rasa cinta dan ingin tahu dalam kalangan masyarakat di seluruh pelosok antarabangsa. Melalui perasaan itu, maka terbitlah niat untuk berkunjung, mempelajari dan akhirnya mencintai budaya kita.

Menyahut Cabaran, Memelihara Warisan

Budaya mencerminkan sesebuah bangsa. Melalui budaya, menyimpan nilai, sejarah dan identiti yang tidak dapat digantikan oleh perkara lain. Melalui penganjuran Gala Dinner ASEAN 2025 telah menunjukkan bahawa persembahan dan pameran budaya berjaya diangkat dengan penuh hormat dan kreativiti, selain menjadi kekuatan kepada pemeliharaan warisan yang berkesan dalam mengangkat nama negara di mata dunia.

Namun begitu, usaha memartabatkan budaya bukan hanya terletak pada acara atau persembahan semata-mata. Memerlukan komitmen berterusan terutamanya dari peringkat kerajaan, para penggiat seni sehinggalah kepada masyarakat akar umbi. Generasi muda mestilah melibatkan diri secara aktif dalam penghayatan budaya, bukan sebagai tontonan semata-mata tetapi sebagai simbol warisan yang mereka warisi dan pelihara. Pendidikan nilai sivik dan budaya di peringkat sekolah dan juga penglibatan komuniti adalah antara langkah penting dalam memastikan kesinambungan ini.

Kerajaan juga harus memainkan peranan dalam memastikan dasar kebudayaan negara selari dengan perkembangan zaman, tanpa perlu memudarkan nilai tradisi. Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan jabatan serta organisasi di bawahnya perlu bergerak seiring dalam mengekalkan warisan negara. Selain itu, aspek teknologi, media baharu dan kerjasama antarabangsa boleh dimanfaatkan untuk membawa budaya kita ke peringkat yang lebih jauh.

Kendatipun begitu, usaha mengangkat budaya di pentas antarabangsa adalah berbalik kepada asas yang telah lama kita miliki yakni jati diri bangsa yang luhur, seni yang rencam dan warisan yang bernilai. Maka adalah wajar untuk budaya terus dipelihara, disemai dan diperkasakan agar tidak tenggelam dan hanyut ditelan arus zaman. Hanya dengan itu, Malaysia akan kekal dikenali bukan sahaja kerana kemajuan ekonominya, tetapi kerana budayanya yang tinggi nilainya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi