Diterbitkan pada 8 Jun 2025, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Aidiladha, juga dikenali sebagai “Hari Raya Haji” merupakan perayaan yang penuh bermakna dalam Islam. Bukan sekadar suatu bentuk sambutan tahunan, tetapi sebuah peringatan yang mengangkat kisah luar biasa tentang keimanan, ketaatan dan pengorbanan tanpa syarat yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anakandanya, Nabi Ismail a.s. dalam mentaati perintah Allah SWT. Peristiwa ini tidak hanya menjadi sejarah, tetapi terus hidup dalam jiwa umat Islam melalui lafaz takbir yang menggetarkan hati dan gema azan Aidiladha yang menyentuh sanubari.

Ibadah korban yang dilaksanakan menjadi lambang keikhlasan dan menggambarkan semangat untuk memberi dan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, serta menyerlahkan nilai-nilai kemanusiaan, pengorbanan dan persaudaraan yang menjadi asas kepada ajaran Islam.

Namun begitu, satu fenomena yang semakin ketara berlaku dalam masyarakat hari ini, iaitu trend melaksanakan ibadah korban di luar negara. Dengan hanya menekan punat dalam laman sesawang agensi, yayasan atau badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, seseorang sudah boleh menyertai ibadah korban tanpa perlu hadir ke lokasi penyembelihan atau menyaksikan prosesnya.

Apakah kesan terhadap nilai-nilai budaya, sosial dan penghayatan generasi muda terhadap ibadah korban?

Kecenderungan ini mungkin menjauhkan anak-anak kecil dan generasi baharu daripada memahami makna sebenar pengorbanan, semangat berkongsi, serta pengalaman fizikal dan rohani yang terkandung dalam ibadah tersebut. Tanpa pendedahan secara langsung, konsep korban boleh menjadi sesuatu yang abstrak, dilihat sekadar transaksi dalam talian tanpa menyentuh jiwa atau menyuburkan nilai empati dan keinsafan.

Tidak dinafikan, penyertaan korban melalui agensi luar negara amat mudah dan cepat. Yayasan seperti Yayasan Ikhlas, Global Ehsan Relief, Islamic Relief, dan MyFundAction antara contoh yang aktif menawarkan perkhidmatan ini. Dengan kos serendah RM300 hingga RM450 bagi satu bahagian lembu, umat Islam di Malaysia dapat menunaikan ibadah korban di negara-negara seperti Kemboja, India, Bangladesh, Pakistan, Sudan, Somalia dan Palestin.

Satu daripada faktor utama yang menarik perhatian melaksanakan ibadah korban di luar negara ialah kos yang jauh lebih rendah berbanding di tanah air — yang biasanya mencecah antara RM600 hingga RM900 bagi satu bahagian. Bagi golongan muda dan mereka yang berpendapatan sederhana, hal ini menjadi pilihan yang lebih mampu milik dan praktikal.

Dalam masa yang sama, sifat rakyat Malaysia yang terkenal sebagai pemurah serta mudah tersentuh dengan kesusahan orang lain turut memainkan peranan. Ramai yang berasa terpanggil untuk membantu saudara seagama yang hidup dalam serba kekurangan di negara-negara yang dilanda kemiskinan, bencana, atau konflik. Maka, ibadah korban di luar negara bukan sahaja dilihat sebagai tuntutan agama semata-mata, tetapi turut menjadi satu bentuk sumbangan kemanusiaan yang lahir daripada jiwa penuh empati dan kasih sayang terhadap sesama insan..

Agensi dan NGO memainkan peranan besar dalam memudahkan pelaksanaan korban rentas negara. Mereka menguruskan segala aspek — pembelian haiwan, penyembelihan, agihan, serta menyediakan laporan bergambar atau video sebagai bukti. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes terpencil yang membangkitkan isu ketelusan dan pemantauan apabila sesetengah peserta tidak menerima maklumat yang jelas, seperti lokasi sebenar, tarikh sembelihan dan senarai penerima korban.

Lebih membimbangkan, timbul juga kekhuatiran tentang ketulenan pelaksanaan ibadah korban ini apabila wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang mencemari kesucian ibadah korban ini sebagai platform medan penipuan (scam). Terdapat kes yang dilaporkan di mana haiwan yang sama digunakan untuk beberapa penyumbang, atau daging yang diagihkan bukan dari haiwan yang ditetapkan. Ini mencetuskan persoalan fiqh dan etika – sejauh manakah peserta benar-benar melaksanakan ibadah korban seperti yang disyariatkan merangkumi niat, perlaksanaan dan agihan?

Salah satu nilai utama dalam ibadah korban ialah pengukuhan ukhuwah dan kebersamaan dalam komuniti. Di Malaysia, amalan gotong-royong ketika melapah daging, membungkus dan mengagihkan kepada fakir miskin menghidupkan semangat berjemaah. Anak-anak muda berpeluang melihat dan belajar tentang proses penyembelihan, adab menjaga kebersihan dan tanggungjawab sosial terhadap jiran dan golongan asnaf.

Namun begitu, apabila korban dilakukan di luar negara, nilai ini semakin terhakis. Tambahan pula, tiada lagi suasana kenduri kampung, takbir bersama, atau detik menyaksikan darah korban mengalir – semuanya digantikan dengan slip pembayaran dan gambar haiwan yang sudah disembelih. Proses ini menjadikan ibadah korban sesuatu yang ‘asing’ daripada kehidupan seharian masyarakat Islam di tanah air.

Pepatah Melayu ada menyebut: “tak kenal maka tak cinta,” begitu juga halnya dengan ibadah korban. Generasi muda yang tidak didedahkan dengan pengalaman sebenar akan melihat korban sebagai satu rutin atau aktiviti tahunan, bukan sebagai ibadah penuh keinsafan. Malah, ada yang tidak tahu bagaimana korban dilakukan, siapa yang sepatutnya menerima daging korban, atau apakah hikmah di sebalik amalan ini.

Jika trend korban luar negara ini berterusan tanpa imbangan pendidikan dan penyertaan tempatan, tidak mustahil makna sebenar korban akan pudar dalam pemahaman generasi akan datang. Kita tidak mahu melihat korban hanya tinggal sebagai satu bukti pembayaran di emel, bukan satu pengalaman rohani dan sosial yang menyatukan umat Islam.

Natijahnya, Aidiladha bukan hanya tentang penyembelihan haiwan, tetapi juga penyembelihan sifat ego, cinta dunia dan ketamakan. Jika ibadah korban hanya dilakukan demi murah dan mudah, tanpa memahami erti sebenar pengorbanan, maka ia tidak mencapai maqasid syariah yang sebenar. Sewajarnya, masyarakat perlu kembali kepada nilai asal korban – iaitu ketakwaan, kepatuhan kepada Allah, dan kepedulian sosial. Seperti yang disebut dalam Surah Al-Hajj ayat 37:

Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamu lah yang dapat mencapainya… (Surah Al-Hajj: 37)

Dalam era globalisasi ini, kita tidak menolak manfaat teknologi dan kemudahan antarabangsa. Namun begitu, kita juga tidak boleh mengabaikan nilai-nilai tradisi yang membentuk kekuatan ummah. Melaksanakan ibadah korban di luar negara boleh diteruskan dengan niat yang betul, agensi yang telus dan kawalan yang rapi. Tetapi jangan sampai kita mengorbankan makna korban itu sendiri.

______________________________________________________________

Dr Nik Syuhailah Nik Hussin, Pensyarah Kanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi