Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 22:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kalau berada di Kuala Kangsar, Perak, terdapat banyak pilihan untuk pengunjung melawat seperti Istana Kenangan Bukit Chandan, Masjid Ubudiah, Galeri Sultan Azlan Shah, Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Pekan Kuala Kangsar, Pokok Getah Tertua, Jambatan Victoria, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Menara Pavilion Kuala Kangsar.

Malah, jika kita bergerak ke Hulu Perak, kita dapat mengunjungi Pusat Pembangunan Kraftangan, Masjid Ihsaniah Iskandariah, Tasik Raban, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Kolam Air Panas Ara Panjang, Pusat Kraftangan Mariwasa, Kilang Kicap Tamin atau Sungai Perak.

Di sebalik nama-nama yang dinyatakan tadi, terdapat sebuah tempat yang menyimpan sejarah tersendiri. Tempat tersebut di kawasan Kuala Kangsar, yakni Baitul Annur yang terletak berhampiran dengan Masjid Ubudiah di Bukit Chandan.

Baitul Annur atau nama asalnya Baitul Anor ialah rumah yang dibina khas oleh Raja Kecil Sulung Perak Raja Harun Al-Rashid pada tahun 1912 untuk isterinya, Raja Mentera Raja Sir Chulan.

Dua orang isterinya yang lain, Puan Zaharatul Ain dan Puan Teh juga pernah tinggal di Baitul Annur dan diberi bersempena dengan putera sulung Raja Harun Al-Rashid hasil perkahwinan dengan Raja Mentera, iaitu Raja Anor Shah.

Rumah ini kelihatan usang, tetapi jika sesuai dengan pencahayaannya bersama-sama mega yang berarak dan langit tinggi membiru akan nampak cantik. Kebanyakan orang, terutama pasangan pengantin mengambil gambar-gambar kenangan perkahwinan mereka di Baitul Annur.

Bersempena dengan pertabalan DYMM Sultan Perak yang ke-35, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah pada 6 Mei 2015, Sekretariat BCKK (Bukit Chandan Kampung Ku) mengambil peluang mengadakan pameran kecil-kecilan berkaitan pertabalan dan salasilah Sultan Perak yang terdahulu.

Sesiapa yang berpeluang ke Masjid Ubudiah boleh singgah seketika di Baitul Annur untuk mengutip maklumat yang tersimpan. Tempat tersebut menjadi semacam muzium untuk berkongsi legasi peninggalan keluarga Sultan Idris Murshidul Azam, Sultan Perak ke-28 (memerintah dari tahun 1887 hingga 1916).

Walau bagaimanapun, semua itu tinggal kenangan kerana Baitul Annur sudah lama tidak didiami orang. Kini sudah semakin usang walaupun masih ada orang ramai yang mengunjunginya untuk bergambar kenang-kenangan.

Baru-baru ini, saya berkunjung dan mendapati Baitul Annur tidak lagi sesuai; untuk didiami dan sebagai lokasi untuk sebarang kegiatan. Keadaan di bahagian dalamnya hingga ke belakang sudah rosak binasa. Hanya bahagian hadapan, iaitu anjung dan pintu masuk utamanya sahaja yang masih sesuai, dan selamat untuk pengunjung bergambar.

Bahagian dalamnya berterabur dan berisiko untuk dimasuki kerana kemungkinan ada binatang berbisa, selain pelbagai kekotoran yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jika pada tahun 2016 Sasterawan Negara ke-14, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail pernah memberikan cadangan agar Baitul Annur dibaik pulih selepas melihat gambarnya dalam akaun Facebook saya, apatah lagi sekarang.

Persoalannya sekarang, bolehkah Baitul Annur dibaik pulih? Adakah waris pemiliknya memberikan kebenaran? Jika waris bersetuju, pihak mana pula yang bersedia memberikan peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih?

Bagi saya, Baitul Annur wajar dibaik pulih dan dijadikan tempat pelbagai kegiatan sastera budaya sebagaimana dahulu, jika pun tidak lebih aktif. Satu kerugian besar jika dibiarkan mereput begitu sahaja dan akhirnya tinggal punggur atau puing.

Saya menjemput rakan-rakan seni budaya dari tempat lain untuk mengambil sedikit masa mengunjungi Baitul Annur. Barangkali anda semua ada kemampuan untuk membantu, sama ada dengan kewangan mahupun pemikiran untuk membangunkan semula tempat menarik bermanfaat ini. Insya-Allah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi