Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBudaya membaca bukan sekadar amalan secara individu, malah merupakan satu cerminan kematangan sesebuah masyarakat. Sejak dahulu lagi, amalan membaca diangkat sebagai kunci kepada ilmu, kefahaman dan kebijaksanaan. Meskipun dunia pada hari ini semakin dipacu teknologi dan maklumat yang pantas, budaya membaca masih kekal sebagai asas kepada pembinaan akhlak, mencambah pemikiran kritis dan daya tahan intelektual dalam mengharungi arus globalisasi.
Dalam konteks Malaysia yang sedang berpandu arah menjadi negara maju berteraskan nilai dan ilmu, amalan budaya membaca tidak sepatutnya dipandang enteng sebagai aktiviti picisan atau hanya untuk golongan berusia dan tua semata-mata. Budaya membaca perlu menjadi satu gaya hidup yang merentasi peringkat umur, latar pendidikan dan kedudukan sosial. Bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya, sentiasa berupaya untuk menilai, menganalisis dan bertindak dengan bijak berdasarkan pengetahuan, bukan sekadar emosi atau maklumat yang tidak sepenuhnya sahih.
Kendati pelbagai kempen telah diperkenalkan seperti gerakan Dekad Membaca Kebangsaan dan program-program perpustakaan awam, amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat masih berada pada tahap yang minimum. Umum mengakui peri pentingnya membaca, namun amalan itu masih belum benar-benar menjadi rutin dalam kehidupan harian.
Suatu masa dahulu, kita boleh melihat setiap seorang akan memegang satu buku dan membacanya di dalam pengangkutam awam. Kini, hanya telefon pintar dalam genggaman sebagai peneman. Cabaran utama bukanlah disebabkan kekurangan bahan bacaan, tetapi kurangnya budaya yang memupuk minat membaca sejak kecil, serta kecenderungan masyarakat untuk memilih kandungan ringkas, ringan dan bersifat sementara.
Era digital sewajarnya membuka peluang lebih meluas kepada pembacaan, namun realiti pada hari ini, penggunaan gajet lebih banyak dimonopoli ke arah hiburan berbanding pengisian penuh ilmiah. Ramai yang terperangkap dalam budaya menatal tanpa henti, membaca tanpa mencerna dan akhirnya hanyut dalam lambakan maklumat yang cetek.
Ironinya, teknologi yang sepatutnya memudahkan akses capaian maklumat telah menyukarkan pembentukan fokus dan minat terhadap bahan bacaan yang mendalam. Justeru, cabaran sebenar adalah membentuk sikap dan pemikiran baharu dalam kalangan masyarakat terhadap nilai membaca.
Memetik laporan Dewan Budaya bertajuk “Budaya Membaca dan Berfikir Mesti Dihidupkan Semula – Perdana Menteri”, baru-baru ini semasa merasmikan Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh bahawa budaya membaca dan berfikir sewajarnya dihidupkan semula di mana insitusi ilmiah seperti perpustakaan, sekolah dan universiti harus menjadi nadi kepada keagungan tamadun negara. Selain aspek membaca, beliau berkata perpustakaan tidak dibina sebagai monument megah semata, namun harus menjadi satu lingkungan hidup sebagai punca pencarian dan penggalian sumber ilmu.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa minggu lalu memberi harapan baharu dalam menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat. Ribuan pengunjung membanjiri pameran tersebut, membuktikan bahawa minat terhadap buku masih belum luntur dan memudar. Namun, pesta itu bukan penamat, malah permulaan kepada tanggungjawab bersama, seperti penggiat industri buku, ibu bapa, pendidik dan pihak kerajaan untuk terus menggalakkan pembacaan bukan hanya setahun sekali, tetapi setiap hari dan sepanjang waktu.
Membaca membina empati, mengajar kita dalam memahami dunia dari kaca mata orang lain, merayakan perbezaan pendapat dan mencambah sempadan pemikiran. Melalui budaya membaca, seseorang akan didedahkan kepada pelbagai idea, budaya dan sejarah yang membentuk jati diri dan pandangan yang lebih inklusif. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, budaya ini dapat menjadi jambatan untuk mewujudkan toleransi dan kefahaman antara kaum.
Lebih mustahak, membaca mampu membentuk generasi yang cerdik, tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu atau naratif yang berat sebelah. Dalam dunia yang sarat dengan manipulasi maklumat, pembaca yang tajam dan berfikir adalah benteng terakhir kepada masyarakat madani. Maka, membaca bukan lagi pilihan peribadi, tetapi satu keperluan nasional bagi memastikan rakyat tidak mudah dimanipulasi dan kekal kritis terhadap isu-isu semasa.
Kerajaan sewajarnya memberikan insentif yang lebih konkrit kepada usaha penggalakkan membaca. Subsidi bahan bacaan, akses internet percuma ke perpustakaan digital, penganjuran program literasi di luar bandar dan galakan kepada penerbit buku tempatan mesti diperkukuh. Dalam masa yang sama, sistem pendidikan perlu memperbetul niat atau fokus iaitu dari sekadar mengejar markah peperiksaan kepada menanam minat membaca sebagai keutamaan asas sepanjang hayat.
Natijahnya, dalam membina negara bangsa yang progresif, budaya membaca mesti menjadi tulang belakang kepada setiap dasar dan hala tuju. Bukan hanya soal pembangunan individu, tetapi menjadi penentu kepada daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Jika masyarakat terus leka, alpa dan hanya membaca apabila perlu, maka kita akan ketinggalan bukan kerana ketiadaan maklumat, tetapi kerana tiada upaya untuk mencernakannya. Akhirnya, budaya membaca bukan hanya soal jumlah buku yang dibaca, tetapi sejauh mana pembacaan itu membentuk pemikiran, nilai dan tindakan kita sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Sesungguhnya, benarlah bahawa “membaca jambatan ilmu”.