Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 20:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tulisan Adib Mohd berjudul Ini Mungkin Terjadi Bila Tiada Langsung Konsert di Malaysia dalam sebuah portal popular telah menarik hati penulis. Dalam menjalankan tugas sebagai pengamal media, penulis turut berpeluang menonton beberapa buah konsert artis tempatan sejak tahun 90-an lagi.

Sehingga artikel ini ditulis, telah banyak konsert artis tempatan dan antarabangsa dianjurkan di negara kita. Walau bagaimanapun, untuk artikel ini, penulis hanya menumpukan pada tempoh masa tahun 2025 sahaja.

Hingga akhir bulan Jun tahun ini, antara konsert artis tempatan yang telah diadakan adalah Dato’ Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan – Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari, Dato’ M.N46ir: Cipta Raya (Zepp Kuala Lumpur/13 April), Amy Search Magic (Axiata Arena Bukit Jalil/26 April), GenKRU 2025 (Axiata Arena Bukit Jalil/3, 4, 10 dan 11 Mei), Ella Live in Concert (Arena All Stars Genting Highlands/17 Mei), Aku Stacy [Menggegar Kota U] (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah/22 Jun), dan XO House Concert 3.0: School of Galau (Naim Daniel, Iman Troye dan ramai lagi; Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya/29 Jun).

Penulis  berpeluang menonton konsert Dato’ Jamal Abdillah Sandarkan Pada Kenangan – Mencari Azura, Dato’ M.N46ir: Cipta Raya, dan GenKRU 2025 yang hebat dan mengujakan!

Dalam tulisannya, Adib menyebut mengenai pertikaian besar dari isu keselamatan hingga kelulusan pihak berkuasa. Beliau mengajak kita memikirkan kesan yang akan dihadapi jika konsert tidak lagi dianjurkan di Malaysia.

Adib bertanya adakah hanya soal hiburan semata-mata, atau sebenarnya memberi impak besar kepada ekonomi negara?

Walaupun ada segelintir pihak mempersoalkan sama ada semua konsert ini memberikan lebih banyak keburukan daripada kebaikan, tetapi data menunjukkan konsert merupakan satu daripada cabang industri hiburan mampu menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara.

Relatif serius, Adib mengajak kita membayangkan akibat jika Malaysia mengambil keputusan drastik menghentikan penganjuran konsert sepenuhnya. Beliau bertanya apakah kesan terhadap pelbagai sektor yang bergantung pada industri hiburan ini. Tanya beliau lagi, bersediakah kita (negara) kehilangan peluang ekonomi bernilai jutaan ringgit?

Adib memberikan beberapa contoh kesan yang ketara sekiranya tiada lagi penganjuran konsert di Malaysia. Kesan pertama, katanya, industri muzik dan pelancongan negara mungkin terjejas teruk.

Jelas beliau, konsert bukan sekadar acara hiburan, tetapi merupakan pemacu penting sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negara. Kehadiran artis luar negara mampu menarik ribuan peminat, termasuk pelancong asing, sekali gus merancakkan sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman serta peruncitan.

Sejak Malaysia mengalu-alukan semula konsert antarabangsa, produk pelancongan berkaitan dengan muzik mula membantu memulihkan ekonomi kreatif tempatan. Walau bagaimanapun, kejadian tragis membabitkan kematian di sebuah konsert baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan baharu tentang aspek keselamatan acara hiburan di negara kita.

Ekoran daripada itu, Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah menetapkan garis panduan yang ketat seperti melarang keras pengedaran dadah dan minuman keras di lokasi acara.

Selain itu, cadangan meningkatkan keselamatan seperti ujian air kencing secara rawak, penggunaan pengesan dadah dan kehadiran anjing pengesan juga sedang dipertimbangkan. Semua ini menunjukkan bahawa aspek keselamatan boleh ditambah baik tanpa perlu mengorbankan penganjuran konsert.

Adib turut menjangkakan kehilangan peluang pekerjaan dan pendapatan kalau konsert tidak lagi dianjurkan di negara kita. Tanpa konsert, katanya, ribuan tenaga kerja industri kreatif dijangka terjejas. Hal ini dikatakan sedemikian kerana artis, kru teknikal, vendor acara, agensi keselamatan, peniaga kecil dan banyak lagi bergantung pada konsert sebagai punca rezeki.

Selepas negara memasuki fasa endemik pada April 2022, ratusan konsert telah berlangsung, termasuk yang berskala besar melibatkan artis tempatan dan antarabangsa. Bagi artis, konsert bukan sahaja platform untuk bertemu peminat, malah peluang mengembangkan jenama serta kerjaya mereka.

Konsert adalah perniagaan berisiko tinggi dengan kos besar dan perancangan kompleks. Namun begitu, Adib menegaskan jika dirancang dengan teliti, berpotensi memberikan pulangan lumayan, sekali gus menyumbang kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan.

Seterusnya Adib menjangkakan Malaysia akan “hilang” ratusan juta RM setahun sumbangan ekonomi hiburan. Berdasarkan data PUSPAL, konsert artis antarabangsa sahaja dijangka menyumbang lebih RM200 juta kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2025. Angka ini membuktikan penganjuran konsert bukan sekadar hiburan, tetapi turut memacu ekonomi kreatif negara seperti yang disebutkan tadi.

Jumlah tersebut merangkumi kesan limpahan ekonomi daripada sektor perhotelan, pengangkutan, perkhidmatan makanan, pengurusan acara dan banyak lagi. Dengan geran dan insentif daripada kementerian berkaitan, Malaysia dilihat berpotensi menjadi destinasi utama penganjuran konsert bertaraf antarabangsa di rantau ini.

Meskipun konsert terus mendapat sambutan, tetapi PUSPAL menegaskan semua artis antarabangsa wajib melalui proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka mematuhi sensitiviti tempatan. Penganjur tempatan juga bertanggungjawab memastikan semua artis memahami garis panduan dan syarat yang ditetapkan.

Adib terus menekankan bahawa konsert bukan sekadar hiburan kosong, tetapi adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang menyokong pelbagai sektor lain. Menghapuskan terus penganjuran konsert di Malaysia, katanya, bukan penyelesaian terbaik. Sebaliknya, pendekatan seimbang yang mengutamakan keselamatan sambil mengekalkan manfaat ekonomi harus menjadi fokus utama.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menjelaskan mahu semua pihak, terutamanya kementerian berkaitan memberikan tumpuan untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang pelancongan, pelaburan dan ekonomi dengan keterlibatan semua negeri menerusi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kata Adib, pelibatan menyeluruh semua pihak itu boleh membantu negara mencapai unjuran pendapatan sebanyak RM147.1 bilion, serta sasaran kedatangan pelancong seramai 35.6 juta menerusi kempen berkenaan.

Dengan garis panduan yang diperketat, pendidikan kesedaran kepada pengunjung, serta kerjasama padu antara penganjur, pihak berkuasa dengan masyarakat, industri hiburan negara mampu terus berkembang dengan cara yang lebih selamat, dan berdaya maju. Dengan hiburan berkualiti dan keselamatan yang terjamin, ekonomi negara akan terus berkembang.

Penulis bersetuju dengan semua pandangan dan saranan Adib. Walau bagaimanapun, penulis juga mahu memberikan beberapa pandangan tersendiri.

Tidak boleh dinafikan banyak yang terlibat dengan penganjuran konsert berskala besar dan kecil adalah Melayu Islam. Telah ada garis panduan PUSPAL yang ketat. Dua perkara ini boleh mendorong serta memastikan penganjuran konsert yang murni dan tidak menjadi gunjingan masyarakat. Pandangan serong masyarakat dan “hukuman mati” mereka terhadap konsert perlu dikikis.

Namun begitu, garis panduan untuk artis tempatan juga perlu ada. PUSPAL untuk artis antarabangsa memang bagus, dan boleh diteruskan. Untuk lebih murni dan sewajarnya, penulis fikir elok jika penonton lelaki dan penonton wanita diasingkan seperti di dalam masjid atau surau ketika mendengar ceramah/tazkirah.

Usah berfikiran sempit. Jangan menganggap hanya acara keagamaan di masjid, surau atau auditorium dan dewan sahaja yang sesuai dengan pengasingan jantina penonton.

Selain menjaga pakaian artis yang membuat persembahan, etika pemakaian untuk penonton juga wajar diperketat. Meskipun hak peribadi, tetapi cara pemakaian untuk konsert apa pun perlu dikawal. Berpakaian hak peribadi, tetapi penganjur konsert adalah tuan rumah yang juga ada hak. Walaupun membayar tiket, penonton sebagai tetamu jangan pula mengambil kesempatan, dan berkelakuan sesuka hati.

Tentulah tidak wajar penonton wanita, apatah lagi yang Islam berpakaian mencolok mata. Mereka yang sedemikian elok dinasihatkan bersopan dalam berpakaian. Jika keadaan memaksa, lebih baik mereka dilarang masuk kerana tidak manis-wajar.

Seperkara lagi berkaitan dengan Melayu, apatah rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penulis rimas melihat semakin lama semakin menjadi-jadi nama konsert artis tempatan Melayu dalam bahasa Inggeris, selain “bahasa rojak”.

Apa masalah dan cacatnya kalau menggunakan bahasa Melayu penuh? Mengapa perkataan dalam bahasa Inggeris semakin dibiasakan, misalnya Live in Concert, Live in Kuala Lumpur, Violet Skies, Echoes of a Dream, Empat Live in Kuala Lumpur, WE 4U2C, serta free seat, standing, meet & greet, dan banyak lagi?

Mengapa tidak boleh (mahu) menggunakan perkataan Secara Langsung dalam Konsert, Secara Langsung di Kuala Lumpur, Langit Ungu, Gema Mimpi, Empat Secara Langsung di Kuala Lumpur, KAMI 4U2C, serta duduk bebas, berdiri, jumpa dan berjabat?

Andainya semua yang saranan, kritikan dan teguran dalam tulisan ini dipandang remeh, penulis menggandaikan akan berterusanlah konsert dipandang serong oleh masyarakat. Jika hasil daripada itu hanya memberikan keburukan, eloklah konsert diharamkan kerana kita wajar tidak hanya mementingkan wang ringgit!

____________________________________________________________

Raja Yusoff Ariffin atau nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin, adalah penulis bebas sepenuh masa sejak tahun 2002. Mula menulis pada tahun 1982 merangkumi genre puisi (sajak dan pantun), dan cerpen, serta rencana, ulasan, kritikan, dan berita yang tersiar dalam hampir semua akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi