Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Aktiviti budaya bukan sekadar pengisian masa lapang malah turut menjadi medan penting dalam memperkenalkan warisan bangsa kepada generasi muda dan mahasiswa asing. Di sebuah universiti yang terletak di selatan China, sekumpulan mahasiswa Jurusan Bahasa Melayu dari Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS) telah berpeluang mengikuti pengalaman unik yang memperkenalkan mereka dengan seni warisan Melayu melalui tulisan Jawi dan motif seni tradisional.

Setelah menamatkan peperiksaan akhir semester, suasana kampus bertukar menjadi lebih santai dan tenang. Inilah masa terbaik untuk mahasiswa diberi ruang menyertai aktiviti berbentuk budaya dan seni yang lebih santai. Fakulti penulis, iaitu Fakulti Pengajian Asia Tenggara yang menawarkan pengajian bahasa Melayu sebagai bahasa asing telah mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti kebudayaan ini. Aktiviti Kenali Tulisan Jawi dan Motif Melayu diadakan selama dua hari di bilik kuliah.

Program ini melibatkan semua mahasiswa dari Jabatan Bahasa Melayu dengan penyertaan lebih kurang 20 orang mahasiswa dari tahun pertama, kedua dan ketiga. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk memupuk minat dan memperkenalkan budaya Melayu dalam bentuk yang interaktif dan menyeronokkan kepada mahasiswa.

Sebelum ini, iaitu pada tahun 2024 mahasiswa telah menghasilkan kuda kepang mini secara berkumpulan. Aktiviti tersebut bukan sahaja membolehkan mereka mengenal seni pertunjukan Melayu malah memahami nilai simbolik dan sejarah yang terkandung dalam tarian tradisional tersebut. Berdasarkan maklum balas yang sangat positif, tahun ini aktiviti kebudayaan ini diteruskan dengan fokus baharu, iaitu memperkenalkan tulisan Jawi dan motif seni tradisional Melayu.

Hari pertama aktiviti dimulakan dengan pengenalan kepada tulisan Jawi, iaitu sistem tulisan yang menjadi sebahagian penting dalam sejarah dan peradaban Melayu. Penulis telah memperkenalkan 37 huruf asas Jawi, cara sebutannya satu persatu serta perbandingannya dengan tulisan Rumi. Penulis juga memperkenalkan secara ringkas sejarah tulisan Jawi dan menunjukkan beberapa contoh penggunaan tulisan Jawi yang ada sehingga hari ini, iaitu tulisan Jawi yang terdapat di wang kertas dan papan tanda di jalan dan kedai.

Penggunaan tulisan Jawi turut diketengahkan dalam sesi ini menerusi warisan tinggalan sejarah seperti batu bersurat, mata wang tradisional, warkah diraja, karya kitab dan buku serta akhbar  yang menjadi wadah penyebaran ilmu dan maklumat.

Seterusnya, latihan turut disediakan dalam bentuk helaian kertas kerja, termasuk menyalin semua tulisan Jawi, menulis nama sendiri dalam tulisan Jawi dan menyusun huruf-huruf untuk membentuk perkataan. Aktiviti yang dilakukan secara santai ini ternyata berjaya menarik minat mahasiswa.

Mahasiswa menunjukkan minat yang mendalam terhadap tulisan Jawi kerana tulisan ini sangat berbeza daripada tulisan Latin mahupun karakter Mandarin yang mereka biasa lihat dan gunakan. Setiap mahasiswa menulis nama mereka dalam tulisan Jawi dan mempamerkan hasil akhir di depan bilik kuliah. Reaksi mahasiswa amat memberangsangkan dan ramai yang mengambil gambar dan berkongsi hasil seni mereka di platform media sosial peribadi masing-masing.

Mahasiswa yang mengikuti aktiviti ini turut berkongsi pandangan dan perasaan mereka tentang pengalaman mempelajari tulisan Jawi.

Zara (Yu Xiutong) “Hari ini semasa belajar tulisan Jawi, saya betul-betul mengagumi keindahan tulisan ini, bentuk hurufnya unik dan cara sambungannya sangat menarik. Walaupun ada bahagian yang agak mencabar, saya rasa seronok dan semakin berminat untuk terus mendalami bahasa yang penuh sejarah ini”

Hakim (Zhu Junjie) “Saya rasa sangat seronok boleh belajar tulisan Jawi dengan pensyarah saya pada aktiviti kali ini. Walaupun susah sedikit untuk faham peraturan tulisan Jawi pada awalnya, selepas belajar, saya dapat tulis nama sendiri dengan tulisan Jawi dan boleh baca sedikit tulisan ini!”

Salina (Qiu Linjing) Sebagai seorang mahasiswa tahun pertama, saya berpendapat bahawa aktiviti ini sangat menarik dalam usaha mempelajari tulisan Jawi buat kali pertama. Walaupun pembelajaran tulisan Jawi ini agak mencabar, saya tetap berasa seronok. Melalui aktiviti ini, saya dapat merasai keindahan dan keunikan tulisan Jawi!

Masuk hari kedua, aktiviti tertumpu kepada seni corak dan motif tradisional Melayu. Mahasiswa diperkenalkan dengan pelbagai motif tradisional masyarakat Melayu seperti awan larat, pucuk rebung dan corak batik. Penulis menjelaskan makna dan simbolisme di sebalik setiap corak tersebut agar mahasiswa bukan sahaja mengenal bentuk tetapi juga memahami nilai estetika dan falsafah di sebaliknya..

Perkongsian luahan mahasiswa turut dikongsi pada hari kedua aktiviti kebudayaan iniberlangsung.

Mahirah (Wang Ziyi) Hari ini saya sangat gembira dapat mengikuti kelas pengalaman melukis dan mewarna motif tradisional Melayu. Kami belajar tentang jenis-jenis corak tradisional dan gabungan warnanya, malah kami sendiri mewarna untuk corak batik. Ini bukan sekadar sesi pembelajaran, tetapi juga satu pengalaman komunikasi budaya yang sangat bermakna!”

Azwa (Yang Manxuan)Aktiviti hari ini, pensyarah memperkenalkan seni corak tradisional Melayu kepada kami seperti corak awan larat, motif bunga tradisional dan corak batik. Pensyarah menggalakkan kami menggunakan warna untuk ekspresi kreatif, menyediakan pengalaman budaya dan seni yang menyeronokkan serta santai. Saya rasa aktiviti ini pengalaman yang menarik buat saya”

Inara (Chen Xin) “Hari ini kami mewarna berbagai-bagai jenis gambar. Kami belajar motif tradisional Melayu seperti tampuk manggis dan pucuk rebung. Saya sangat gembira dan seronok dapat ikut aktiviti ini. Cikgu Zaiton juga beri kami poskad Malaysia. Saya rasa amat teruja!”

Aktiviti yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mencapai objektif utamanya, iaitu untuk memupuk minat terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan mahasiswa asing. Melalui aktiviti pelibatan secara langsung dan interaktif ini, mahasiswa bukan sahaja belajar tentang tulisan dan seni, malah turut mengalami sendiri bagaimana budaya Melayu disampaikan melalui bentuk visual dan latihan secara praktikal.

Aktiviti ini juga berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna, jauh daripada tekanan akademik yang biasa dihadapi sepanjang semester. Melalui inisiatif secara kecil-kecilan sebegini, budaya Melayu bukan sahaja dapat dikenali bahkan dapat dihargai di mata dunia yang bermula dari hanya sebuah kelas kecil di China.

Oleh itu,  aktiviti pengenalan tulisan Jawi dan motif Melayu ini merupakan pendekatan yang efektif dalam memperkenalkan budaya Melayu kepada mahasiswa asing di China. Aktiviti yang menggabungkan unsur pendidikan, seni dan apresiasi budaya dalam satu pengalaman yang bersifat menyeluruh di penghujung semester dan sebelum bermulanya cuti semester musim panas. Terbuktilah dalam dunia global hari ini, pengenalan budaya tidak semestinya bermula dengan festival besar, sebaliknya boleh tumbuh mekar dari sebuah bilik kuliah yang sederhana, asalkan disirami dengan jiwa, disemai dengan seni dan dipupuk dengan semangat perkongsian yang tulus.

________________________________________________________

Zaiton Zakarya ialah Pensyarah Asing Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Asia Tenggara, Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou, China.

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi