Diterbitkan pada 22 Ogos 2025, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam usaha memperkukuh jalinan budaya serantau dan mengangkat warisan Nusantara ke peringkat global, Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor (PEJAWA) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh telah mengadakan program mobiliti akademik ke Fakultas Bahasa dan Seni, Universitas Negeri Surabaya (UNESA), baru-baru ini. Ikuti perkongsian oleh peserta yang terlibat.

 Program ini bukan sahaja bertujuan menjalinkan pertukaran ilmu dan silang budaya tetapi turut dimanfaatkan sebagai platform promosi awal sempena Festival Wong Jowo 2025 yang bakal berlangsung di Malaysia pada 13 dan 14 September 2025.

Program ini disertai oleh wakil PEJAWA, iaitu sepuluh orang pensyarah dan lapan pelajar dari Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, UIAM Pagoh. Delegasi PEJAWA dan UIAM Pagoh telah mengangkat tema “Menyelam Budaya, Merentas Nusantara” melalui pengisian program seperti pameran kebudayaan, persembahan seni karawitan (gamelan Jawa), diskusi silang budaya, pameran permainan tradisional Malaysia serta sesi lawatan akademik dan komuniti setempat.

Diplomasi Budaya Malaysia dan Indonesia:

Menurut pengasas PEJAWA, Tuan Johar Paimin, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program KKN UNESA di Keraton Mbah Anang Muar, Johor pada tahun lalu. Program KKN tersebut telah menjadi titik permulaan dan membuka jalan kepada kerjasama budaya dua hala.

“Kami datang bukan hanya membawa nama PEJAWA atau UIAM, tetapi membawa warisan budaya yang ingin dikongsi bersama saudara serumpun di Indonesia. Program ini juga menjadi medan promosi untuk Festival Wong Jowo 2025, yang akan mempertemukan seni, budaya dan tradisi masyarakat Jawa-Malaysia dan Nusantara secara holistik,” ujar beliau.

Tuan Haji Johar Paimin, pengasas PEJAWA dan Bapak Syafi’ul Anam, Ph.D, Dekan Fakultas Bahasa dan Seni UNESA bertukar cenderamata.

Tambahnya lagi, “Kami melihat perbezaan masyarakat Jawa di Indonesia dan Malaysia sebagai kekayaan yang wajar diraikan. Di Malaysia, komuniti Jawa sangat rapat dengan Islam dan adat Melayu. Di sini, kami temui variasi yang lebih luas dan itu memberikan perspektif baharu yang sangat berharga buat kami.”

Seni Karawitan dan Kelas Budaya di PBSJ UNESA

Momen paling bermakna sepanjang program ini adalah kelas gamelan di bawah bimbingan Bapak Danang Wijoyanto, pensyarah Pendidikan Bahasa dan Sastra Jawa (PBSJ) UNESA. Para peserta diberi pendedahan asas tentang sistem skala pelog dan slendro, serta teknik permainan alat gamelan.

“Walaupun mereka masih baharu, tetapi semangat dan kesungguhan mereka luar biasa. Bunyi yang dihasilkan cukup “menyatu”.Hal ini bukti bahawa muzik merupakan bahasa yang menyatukan budaya.” kata Danang ketika ditemui di Studio Gamelan PBSJ UNESA.

Turut dikongsikan bahawa pihak UNESA merancang menghantar lebih 30 pelajar ke Keraton Mbah Anang, Johor Malaysia pada tahun ini bagi memperkukuh kolaborasi dua hala ini, termasuklah melalui program KKN antarabangsa dan pertukaran penyelidikan budaya nusantara.

Permainan Tradisional Malaysia di SMP Labschool UNESA

Seterusnya, delegasi PEJAWA dan UIAM Pagoh turut dijemput mengadakan aktiviti silang budaya bersama pelajar SMP Labschool UNESA 3, Surabaya. Dalam sesi tersebut, pelajar-pelajar Indonesia diperkenalkan kepada permainan tradisional Malaysia seperti Magunatip, Baling Selipar, Batu Seremban, Ceper dan Galah Panjang yang mendapat sambutan luar biasa oleh para guru dan pelajar sekolah.

“Aktiviti ini bukan sekadar hiburan tetapi membentuk karakter pelajar yang lebih multikultural, toleransi dan menghargai budaya sendiri serta budaya luar.” kata Bapak Dian Hijrah Saputra, Kepala SMP Labschool UNESA 3.

Dr. Suhaizi Suhaimi, ketua rombongan Mobiliti UIAM ke UNESA turut menekankan tentang pentingnya pembinaan jaringan budaya sejak peringkat sekolah:

“Pertemuan seperti ini memberi makna besar kepada pembentukan generasi global yang tidak lupa kepada akar budayanya. Kami percaya, pelajar-pelajar ini bakal menjadi duta kepada toleransi dan kesefahaman budaya etnik serantau.”

Festival Wong Jowo 2025

Sepanjang program, para peserta turut mengambil kesempatan memperkenalkan Festival Wong Jowo 2025, iaitu sebuah festival budaya tahunan anjuran Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor (PEJAWA) yang akan berlangsung pada 13 dan 14 September 2025 di Keraton Mbah Anang, Malaysia.

Festival ini bakal menghimpunkan program kesenian dan kebudayaan seperti wayang kulit, gamelan, barongan, ludruk serta forum budaya dan kerjasama penyelidikan. Festival ini bukan hanya untuk orang Jawa sahaja tetapi program ini dianjurkan untuk seluruh rakyat Malaysia dan Nusantara.

Lokasi Keraton Mbah Anang merupakan satu wadah yang strategik dan sinonim bagi masyarakat untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam kerangka perpaduan Malaysia yang multietnik.

Risalah festival dan cenderahati khas turut diedarkan kepada komuniti di sekitar kampus UNESA termasuk di acara penyampaian cenderamata dan majlis perasmian yang diadakan Auditorium, Gedung T2, kampus Fakultas Bahasa dan Seni UNESA.

Jambatan Ilmu dan Budaya Melayu -Jawa

Program mobiliti ini bukan sahaja mempromosi Festival Wong Jowo dan memperkenalkan budaya Jawa-Malaysia di Indonesia tetapi turut membuka mata peserta dan persepsi masyarakat terhadap kompleksiti, keunikan dan keterbukaan budaya Jawa di tempat asalnya.

Bagi para pensyarah dan pelajar UIAM Pagoh, program tersebut bukan sekadar lawatan akademik tetapi satu pengalaman hidup yang membentuk fahaman lebih mendalam terhadap identiti serumpun yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, melalui komitmen yang tinggi daripada badan NGO, iaitu PEJAWA serta sokongan institusi pendidikan seperti UIAM dan UNESA, masa depan pertukaran budaya dan akademik antara Malaysia dan Indonesia tampak semakin cerah.

Festival Wong Jowo 2025 bakal menjadi pentas kemuncak untuk segala jalinan yang terbina, memartabatkan budaya Jawa-Malaysia ke mata dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi