Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKegiatan buli sering dikaitkan dengan sekolah mahupun tempat kerja, tetapi realitinya budaya ini telah dilihat berakar dalam dunia politik. Lebih merisaukan, bukan sekadar berlaku secara terselindung, malah dijadikan “senjata utama” untuk mendapatkan sokongan pengundi. Langkah ini merupakan strategi jangka pendek, tetapi kesannya kepada demokrasi masyarakat masa depan sudah pasti membimbangkan.
Politik idea bertukar kepada politik Buli
Politik sepatutnya menjadi medan percambahan idea, perbahasan dasar dan penghasilan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat. Demokrasi memberi ruang untuk rakyat menilai calon dan parti berdasarkan hujah, visi serta keberkesanan pentadbiran. Akan tetapi, melihat realitinya, banyak pihak lebih gemar mengamalkan taktik kotor dengan mengaibkan calon dan parti melalui serangan peribadi, ugutan dan fitnah untuk menjatuhkan lawan.
Fenomena ini boleh dilihat melalui ucapan ceramah, perbahasan dan lebih ketara dalam media sosial. Ruang maya yang sepatutnya menjadi platform dialog terbuka berubah menjadi medan membuli politik seperti ejekan, manipulasi imej dan penyebaran maklumat palsu. Apabila digabungkan dengan kegiatan buli, politik tidak lagi berfungsi sebagai wadah utama dalam pembinaan bangsa dan negara. Sebaliknya bertukar menjadi teater kebencian yang merugikan rakyat.
Kebencian politik adalah punca perpecahan sosial
Apabila lawan digambarkan sebagai musuh, rakyat turut terheret dalam budaya politik yang berasaskan kebencian. Pengundi mula membuat pilihan bukan kerana dasar yang baik tetapi kerana persepsi negatif terhadap pihak lawan yang dibina melalui serangan politik. Kejadian ini sangat jelas di Malaysia, iaitu dalam setiap pilihan raya, kita dapat menyaksikan bagaimana serangan peribadi terhadap pemimpin tertentu dijadikan sebagai modal utama kempen.
Sesetengah calon dipersendakan kerana latar belakang keluarga, ada dihina kerana umur muda atau malah dijatuhkan kerana penyebaran video dan poster fitnah di media sosial. Isu politik identiti sering dijadikan senjata buli. Sebagai contohnya retorik kaum atau agama tertentu digunakan untuk menakutkan para pengundi agar tidak menyokong pihak lawan. Taktik ini mungkin menguntungkan parti tertentu dalam jangka pendek, tetapi dalam jangka panjang meracuni hubungan antara kaum dan melemahkan integrasi nasional.
Tidak ketinggalan, politik ugutan turut berlaku. Misalnya, ada kenyataan yang berbentuk “jika lawan menang, pembangunan akan disekat” atau jika pihak lawan tertentu berkuasa, hak komuniti lain akan terancam. Perkara sebegini merupakan bentuk politik buli yang menggunakan ketakutan rakyat untuk meraih sokongan, bukan keyakinan terhadap dasar dan idea.
Kesannya generasi muda menjadi kurang minat dalam politik kerana hal begitu. Mereka berpandangan bahawa politik ialah benda yang negatif. Anak muda melihat politik bukan sebagai perubahan dasar positif, tetapi sebagai gelanggang cacian dan penghinaan. Tidak hairanlah, ramai yang memilih untuk menjauhi daripada politik kerana bosan dengan budaya kotor yang ditonjolkan. Lebih sedihnya ada juga segelintir anak muda yang meniru gaya politik buli dengan menganggapnya sebagai “cara sebenar” mereka membesar dengan tanggapan bahawa untuk berjaya, seseorang perlu menjatuhkan orang lain, bukan membina diri dengan hujah dan visi.
Jika perkara ini berterusan, maka hilanglah generasi pemimpin berwibawa. Politik masa hadapan hanya dipenuhi tokoh yang pandai berperang mulut tetapi gagal merangka dasar negara.
Penyalahgunaan kuasa dalam politik amat berbahaya kerana memberikan ruang untuk membuli. Pemimpin yang biasa menekan dengan ugutan dan fitnah akan lebih cenderung menggunakan pendekatan apabila berkuasa. Mungkin mereka menekankan pihak yang berbeza pandangan, menyekat kebebasan media atau menafikan hak rakyat demi mengekalkan kuasa. Keadaan ini sebenarnya tidak jauh beza dengan buli di sekolah yang kuat terus memberi tekanan yang lemah. Bezanya di pentas politik kesannya melibatkan jutaan rakyat akhirnya membantutkan negara kerana tumpuan pemimpin bukan lagi kepada kebajikan rakyat, tetapi kepada bagaimana mahu melemahkan musuh politik.
Selain itu, negara juga pasti rugi apabila budaya buli diteruskan menjadi satu norma politik, negara akan menanggung kerugian besar. Pertama demokrasi kehilangan makna kerana dicemari dengan propaganda, fitnah dan serangan peribadi. Kedua, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap institusi politik kerana melihat sebagai pentas perebutan kuasa, bukan medan perjuangan rakyat.
Negara akan kehilangan bakat pemimpin berkualiti kerana mereka yang berintegriti enggan terlibat dalam arena politik. Lebih malang pembangunan negara akan terencat, tenaga dan dana lebih banyak dihabiskan untuk melawan persepsi dan serangan politik berunsur buli daripada menyusun polisi jangka panjang. Dalam jangka panjang, negara akan ketinggalan kerana pemimpin sibuk berperang sesama sendiri.
Budaya buli politik mesti dihentikan. Tekad sebegitu memerlukan perubahan yang menyeluruh, yakni pertama ahli politik mesti sedar bahawa mereka bukan sekadar wakil parti tetapi cerminan negara. Mereka perlu mengutamakan politik idea dan dasar, bukan politik cacian. Kedua rakyat mesti matang dalam membuat pilihan. Pengundi perlu menolak calon atau parti yang menjadikan buli, fitnah dan penghinaan sebagai modal kempen. Kalau rakyat tidak memberi undi kepada mereka, budaya ini akan mati dengan sendirinya.
Ketiga, media sama ada arus perdana mahupun media sosial perlu memainkan peranan dengan lebih tanggungjawab. Serangan ini adalah berbaur buli tidak boleh dijadikan bahan sensasi semata-mata kerana merosakkan minda rakyat. Sebaliknya media harus mengangkat wacana dasar dan cadangan penyelesaian masalah rakyat. Keempat, generasi muda perlu dididik dengan budaya politik matang. Pendidikan sivik, wacana akademik dan ruang perdebatan sihat perlu diperluas supaya anak muda terbiasa dengan politik yang berteraskan hujah dan fakta, bukan emosi dan penghinaan.
Oleh itu, budaya politik buli bukan sekadar strategi jangka pendek untuk meraih pengundi, namun adalah racun yang perlahan-lahan untuk melemahkan masyarakat dan memecahbelahkan bangsa. Negara yang hebat bermula dengan politik yang matang. Oleh itu politik matang hanya akan lahir apabila ahli politik dan rakyat bersama-sama menolak budaya buli.
______________________________________________________________
Dr. Yusry Sulaiman bertugas di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).