Diterbitkan pada 17 September 2025, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sempena minggu Hari Malaysia, Nik Syuhailah menitip kisah roti canai dan simboliknya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Roti canai bukan sekadar makanan harian, malah merupakan simbol keunikan budaya dan kepelbagaian etnik negara. Dalam setiap lapisan lembut dan garing roti canai, tersembunyi kisah sejarah yang melangkaui sempadan dapur. Hari ini, roti canai bukan sahaja kekal relevan, malah terus berevolusi seiring perubahan gaya hidup dan selera generasi baharu.

Nama “canai” dikatakan berasal daripada perkataan “channa,”  iaitu sejenis hidangan kacang kuda di India, ataupun daripada teknik mencanai doh sebelum dimasak. Saban tahun, roti canai mula menjadi popular dalam kalangan masyarakat kerana kesederhanaan bahan, rasa yang mengenyangkan serta kemampuan untuk dijual pada harga murah.

Dari segi tradisi, roti canai telah menjadi menu sarapan utama rakyat Malaysia sejak berdekad lamanya. Sama ada di bandar mahupun desa, kedai mamak menjadi tumpuan masyarakat pelbagai kaum—Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk menikmati keenakan roti canai panas bersama kuah dal, kari ayam atau sambal. Di sinilah letaknya kekuatan budaya makanan Malaysia yang menyatukan rakyat melalui cetusan rasa.

Walaupun roti canai sering dikaitkan dengan makanan “kurang sihat” kerana kandungan minyak dan karbohidrat, namun roti canai juga mempunyai nilai pemakanan tersendiri jika diambil secara sederhana.

Roti canai membekalkan tenaga segera kerana mengandungi karbohidrat daripada tepung gandum. Tambahan pula, apabila dimakan bersama kuah dal atau kari yang kaya protein dan rempah, menjadikan sajian seimbang yang berkhasiat untuk memulakan hari.

Hari ini, semakin ramai pengusaha mula memperkenalkan versi yang lebih sihat seperti roti canai gandum penuh, roti canai bakar tanpa minyak dan disertakan kuah berasaskan sayur-sayuran, selari dengan kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah pengalaman menikmati roti canai di kedai mamak memberikan pengalaman yang tersendiri. Suasana santai, aroma kari yang mendidih, teh tarik berbuih ditarik tinggi,dan kemesraan pelayan yang mengingati pesanan pelanggan menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.

Berbeza dengan restoran mewah yang mungkin menyajikan roti canai dalam versi moden dan berestetika tinggi, namun selalunya kehilangan “roh” tempatan yang menjadikan roti canai begitu dekat di hati rakyat.

Kedai mamak adalah ruang inklusif—semua lapisan masyarakat boleh duduk semeja. Budaya ini mencerminkan prinsip kesamarataan dan perpaduan yang menjadi nadi keharmonian Malaysia. Dalam erti kata lain, makan roti canai bukan sekadar menikmati makanan,tetapi menyelami budaya hidup rakyat.

Kini, roti canai telah mengalami transformasi yang luar biasa. Generasi Z yang celik media sosial telah mengangkat roti canai ke satu tahap baharu melalui perkongsian kreatif di TikTok, Instagram dan YouTube. Hidangan tradisional ini kini tampil dengan pelbagai inovasi seperti ditambah Nutella untuk membangkitkan rasa lemak manis terutama dalam kalangan golongan kanak-kanak.

Malahan roti canai juga dicetus dengan menjadikan dalam bentuk pizza untuk menarik perhatian pelancong luar. Inovasi ini membuktikan bahawa roti canai bukanlah makanan yang statik, sebaliknya sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri mengikut peredaran zaman tanpa meninggalkan identiti asalnya.

Bagi golongan “ibu moden” yang sentiasa sibuk, roti canai sejuk beku telah menjadi penyelamat. Kini, roti canai boleh disimpan dalam peti ais dan digoreng dalam masa kurang lima minit. Ibu tidak perlu lagi bersusah payah menyediakan sarapan dari awal pagi. Roti canai segera ini boleh dimakan bersama kuah dal segera atau kuah kari pek sedia dimakan, menjadikannya pilihan pantas dan praktikal untuk keluarga.

Kehadiran produk sejuk beku ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membuka peluang ekonomi kepada pengusaha kecil yang menghasilkan roti canai buatan sendiri (homemade) untuk pasaran domestik dan eksport.

Selain itu, satu daripada keunikan roti canai ialah penerimaannya merentasi sempadan etnik. Baik kaum Cina, Melayu mahupun India akan menikmatinya bagi mengekalkan keaslian rasa dengan rempah ratus asli. Roti canai bukan milik satu kaum, tetapi milik bersama. .

Kini, pelbagai inovasi dan menu lakuran roti canai diperkenalkan, antaranya termasuklah Roti Canai Sambal Ikan Bilis yang popular di Kelantan dan Terengganu dengan sentuhan tradisi tempatan, Roti Canai Cheese dan Milo yang mencerminkan gabungan rasa barat dan tempatan yang digemari anak muda, serta Roti Canai Sarang Burung yang dihidang secara kreatif.

Ketiga-tiga variasi ini bukan sahaja memperkaya warisan kulinari negara, malah mencerminkan kepelbagaian etnik dan kreativiti rakyat dalam meraikan makanan tradisional.

Baru-baru ini, roti canai telah dinamakan sebagai roti terbaik dunia oleh TasteAtlas, satu pengiktirafan yang menunjukkan keunikan rasa dan nilai budaya makanan tersebut. Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan rakyat Malaysia, malah membuka ruang promosi gastronomi negara di peringkat antarabangsa. Roti canai kini bukan sekadar sarapan harian, tetapi ikon makanan negara.

Roti canai bukan sahaja menyatukan pelbagai kaum di meja makan, malah kedai mamak yang menyajikannya turut berperanan sebagai ruang sosial inklusif yang menyemarakkan komuniti setempat. Ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 11) yang menekankan kepentingan mewujudkan bandar dan komuniti yang selamat, inklusif serta berdaya tahan. Keberadaan roti canai dalam pelbagai sudut kota dan desa menjadikannya elemen budaya yang mengukuhkan identiti komuniti dan gaya hidup mampan.

Sebagai penutup bicara, roti canai kini telah melangkaui fungsinya sebagai makanan biasa, telah menjadi alat penyatuan sosial, medium inovasi generasi muda, pelengkap identiti budaya dan penyumbang kepada ekonomi komuniti.

Sama ada dihidangkan panas-panas dengan kuah dal di kedai mamak atau dijual dalam bentuk sejuk beku di pasar raya moden, roti canai kekal sebagai simbol warisan yang tidak lapuk dek zaman.

Kita harus terus meraikan roti canai bukan sahaja sebagai warisan makanan, tetapi juga sebagai manifestasi nilai perpaduan, kreativiti dan kemampanan dalam masyarakat Malaysia. Dengan semangat ini, roti canai bukan sekadar dinobatkan sebagai yang terbaik dunia, malah menjadi warisan yang terus hidup di hati rakyat Malaysia—dari generasi ke generasi.

___________________________________________________________

Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin, Pensyarah Kanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi