Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeni boneka Teochew merupakan satu daripada cabang kesenian tradisional masyarakat Teochew yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah. Di George Town, seni tersebut menjadi antara lokasi penting yang mengekalkan kelangsungannya.
Bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi juga simbol ketekunan dan semangat masyarakat Teochew dalam mempertahankan warisan budaya mereka di tengah arus kemodenan bandar warisan dunia itu.
Seni boneka Teochew mula bertapak di George Town pada penghujung abad ke-19, dibawa oleh imigran Teochew dari wilayah Guangdong, China. Mereka bukan sahaja membawa kemahiran perniagaan dan bahasa, tetapi juga seni teater dan boneka yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rohani dan sosial mereka.
Pertunjukan boneka sering diadakan dipekarangan kuil semasa perayaan keagamaan, upacara sembah dewa, atau acara masyarakat sebagai tanda penghormatan kepada nenek moyang.
Setiap persembahan boneka Teochew menampilkan kehalusan kerja tangan dan kepakaran dalang. Boneka-boneka diukir daripada kayu dan dicat dengan warna-warna terang, lengkap dengan pakaian tradisional yang menggambarkan watak seperti pahlawan, dewi, atau tokoh legenda.
Dalang menggerakkan boneka menggunakan batang kayu halus sambil berinteraksi dengan muzik tradisional dan nyanyian berlagu tinggi. Kisah yang dibawa biasanya diambil daripada epik klasik Cina seperti The Romance of the Three Kingdoms, Journey to the West, atau kisah rakyat yang sarat dengan pengajaran moral.
Keistimewaan seni boneka Teochew terletak pada cara menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan. Walaupun berakar daripada budaya Cina, persembahan ini turut disaksikan oleh pelbagai kaum, mencerminkan semangat keterbukaan dan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Pulau Pinang.
Seni ini juga menjadi daya tarikan pelancong yang ingin mengenali seni warisan Asia Timur yang masih hidup di Malaysia.
Kini, cabaran utama seni boneka Teochew ialah kekurangan pelapis muda dan pengaruh hiburan moden. Namun begitu, usaha pemeliharaan masih diteruskan oleh kumpulan seperti Teochew Puppet and Opera House di George Town.

Mereka aktif menganjurkan bengkel, pementasan pendidikan, serta kolaborasi antarabangsa bagi memastikan seni ini terus dikenali dan dihargai. Melalui inisiatif sedemikian, seni boneka Teochew bukan sahaja kekal relevan, tetapi juga berkembang sebagai jambatan antara tradisi dan masa depan.
Secara keseluruhannya, seni boneka Teochew di George Town ialah lambang kesinambungan warisan yang tidak lapuk ditelan zaman. Perkara tersebut mengingatkan kita bahawa di sebalik kemajuan moden, nilai budaya dan seni tradisional masih mempunyai tempat istimewa dalam membentuk identiti masyarakat.
Selagi ada usaha dan penghargaan terhadapnya, seni boneka Teochew akan terus bernyawa di hati George Town dan generasi akan datang.
Maklumat lanjut, boleh melayari: https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/752