Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKetika suara keras rock itu menjadi lembut dan dunia mula terpikat dengan petikan cinta gitar yang semakin lunak, hilanglah kekerasan sebenar. Bukan lagi pekikkan suara pemberontakan, sebaliknya nyaringnya dilembutkan untuk memikat orang. Namun begitu, di lorong gelap kota Birmingham, pemberontakan mula berputik. Kota yang dipenuhi asap kilang ini cukup menyesakkan; jiwa-jiwa pekerjanya tertekan, keperitan hidup kian menghimpit; masihkah dunia mahu terus dibuai dengan suara yang lunak? Dari kegelapan industri, gelombang baru pun lahir. Mereka mula memberontak – bukan dengan senjata, tetapi dengan bunyi.
Dari situlah lahirnya Black Sabbath, nama yang dicedok dari filem seram Itali pada tahun 1963. Mereka tidak sekadar mahu menghiburkan, tetapi mengusik roh manusia dengan ketakutan. Ozzy Osbourne meniupkan seram dengan vokalnya, Tony Iommi menggores luka dengan gitar bertali rendahnya, Geezer Butler menghentak bass dan lirik gelap yang penuh simbol, dan Bill Ward memukul dram bagai ritual kegelapan. Sabbath menjadi teras muzik metal yang belum pernah wujud ketika itu. Mereka menolak segala kelembutan arus perdana. Sabbath bukan lagi memujuk telinga, tetapi membisikkan ke jiwa dengan ngeri dari kegelapan.
Cahaya gelap itu tidak lahir dari ruang kosong. Bibit-bibit kemalapan mula hadir daripada mereka yang mula menolak batas blues rock. Kebisingan Blue Cheer, kemuraman Cream, psikedelik kosmik Iron Butterfly dan epik Led Zeppelin sudah meneroka ruang ini. Bayangan pemberontakan, muram, mistik dan epik menjadi benih kepada Sabbath yang membawa kelahiran metal yang lebih keras daripada rock ketika itu!

Dari situlah datang inspirasi gitar yang berat, riff yang menghentak, dan suasana yang suram. Tetapi Sabbath melangkaui semua itu; mereka menyingkirkan kemanisan blues, menambah rencah kegelapan, lalu melengkapkannya dengan suara Ozzy yang membawa nuansa seram. Dan di sinilah Ozzy berdiri sebagai suara yang meniupkan roh kepada kegelapan itu.
Jeritan Ozzy yang nyaring dan seram, lahirlah kitab pertama mereka, Black Sabbath (1970) yang membawa mimpi buruk ke dalam rock. Kulit albumnya memaparkan rumah tua berhantu dan wanita berpakaian hitam yang membawa suasana gothik dan seram. Setiap lagu berdiri seperti mantera: Black Sabbath dengan bayangan syaitan, The Wizard yang penuh mistik, N.I.B. yang berbicara dengan suara Lucifer, dan Behind the Wall of Sleep yang menyingkap kosmos kelam.
Album tersebut jauh meninggalkan dunia cinta, menyelam ke dalam kengerian, mistik, perang dan kematian. Bukan sekadar lagu, melainkan sebuah mantera kegelapan yang menandakan kelahiran heavy metal.
Pada tahun yang sama, sekali lagi Sabbath menggegarkan dunia! Paranoid (1970) keluar ketika dunia masih terpukau dengan album Black Sabbath (1970). Suara Ozzy bukan sekadar seram lagi, tetapi jeritan yang mewakili kegelisahan generasi. Ozzy betul-betul menjadi ikon, mata dunia tertumpu padanya. Tiga mantera wajib, Paranoid yang melontarkan jiwa yang resah, War Pigs yang mengutuk perang Vietnam, dan Iron Man yang mengisahkan dendam tragik lelaki besi, menjadikan album ini wajib didengari dan album paling berpengaruh dan ikonik Sabbath.
Setahun kemudian, seolah-olah tidak cukup rencah, Sabbath mengila lagi dengan Master of Reality (1971) yang mengukuhkan kedudukan mereka sebagai heavy metal sebenar – lebih berat, lebih suram, dan jauh dari akar blues. Dengan gitar rendah Iommi, lirik gelap Butler, jeritan Ozzy yang menghantui, karya-karya seperti Children of the Grave, Sweet Leaf, After Forever dan Into the Void menjadi azimat gelap tentang maut, mistik dan keresahan zaman.
Selepas itu, Sabbath teruskan dengan Vol. 4 (1972), Sabbath Bloody Sabbath (1973), Sabotage (1975), namun tidak segah karya awal mereka. Sebagai putera kegelapan, Ozzy sudah tidak mampu dikawal lagi, dia semakin tenggelam dalam arak dan dadah; dia kerap mabuk di konsert, temu bual, malah ketika rakaman. Never Say Die! (1978) terdengar hambar, dan Sabbath sendiri sudah tidak mampu mengawal Ozzy. Akhirnya, pada tahun 1979, Ozzy dipecat – diusir dari band yang pernah dihidupkannya sendiri.
Dunia mula melihat, Ozzy sudah tamat. Kegelapan yang menaungi telah menelannya jauh dari dalam dunia metal. Ozzy tenggelam dalam bayangan, terkurung dalam kamar, mabuk sepanjang masa, tanpa arah. Namun dari jurang itu, hadir seorang wanita – Sharon, yang masih percaya dengan putera kegelapan ini. Dialah cahaya yang menarik Ozzy keluar dari kegelapan, membisikkan kepada Ozzy untuk membina band baru, dan mempertemukannya dengan anak muda Randy Rhoads. Dari pertemuan itu lahirlah Blizzard of Ozz (1980). Satu fasa baru Ozzy, kelahiran semula dari jurang kehancuran.
Crazy Train menjadi lagu ikonik yang memecah kesunyian dunia gila era Perang Dingin, seolah-olah kita terperangkap dalam kereta api laju tanpa henti. Mr. Crowley pula penuh misteri, mengangkat warisan gelap Aleister Crowley, seorang ahli sihir, penulis dan tokoh eksentrik yang dilingkari kontroversi.
Suicide Solution pula menjadi kontroversi kerana seolah-olah seruan untuk membunuh diri, sehingga ada yang menyaman Ozzy kerana anaknya mati disebabkan lagu ini, walaupun sebenarnya menulis tentang bahaya alkohol. Album ini juga menonjolkan kelincahan Randy Rhoads, gitaris muda dengan riff berat dan solo melodiknya, yang akhirnya membentuk identiti baru Ozzy sebagai legenda solo, putera kegelapan.
Setahun kemudian, sebuah kitab gelap yang lebih mistik hadir, Diary of a Madman (1981). Di sini, Ozzy seolah-olah menulis diari terakhir seorang jiwa terkutuk, dengan jeritan yang menggema dan bisikan maut yang menghantui. Namun di luar studio, kegilaannya semakin menjadi-jadi: beberapa bulan sebelumnya dia menggigit kepala merpati hingga darah terpercik, dan dalam jelajah album Diary of Madman, di atas pentas, dia menggigit kepala kelawar hidup, satu aksi yang mengejutkan dunia.
Di San Antonio pula, dia mabuk dan membuang air kencing di tugu perang Alamo sambil memakai gaun isterinya. Semua ini menjadikannya bukan sekadar penyanyi, tetapi ikon kegelapan yang menolak segala norma. Ozzy bukan Hercules; dia putera Lucifer yang menulis takdirnya sendiri dengan darah dan mistik.
Sekali lagi, Ozzy dilanda badai apabila kematian tragik Randy Rhoads pada tahun 1982 hampir meranapkan dunianya. Rhoads, gitaris yang menjadi tulang belakang kebangkitan dalam album solo awalnya. Dia bangkit semula dengan Bark at the Moon (1983), yang membawa raungan serigala jadian yang ikonik dalam Music Televison (MTV) yang popular ketika itu. Tahun-tahun berikutnya, menyaksikan The Ultimate Sin (1986) dan No Rest for the Wicked (1988) yang masih bergema dengan kegelapan walau tidak sehebat dua buah album awalnya. Walau terjerumus dalam dadah dan alkohol, hingga pernah cuba mencekik Sharon sendiri, Ozzy tetap berdiri sebagai Putera Kegelapan yang tidak mampu dikuburkan.
Bermulanya era 90-an, Ozzy kembali dengan No More Tears (1991), satu daripada album solo terbaiknya dan mengangkat kemuncak kedewasaannya muziknya. Mr. Tinkertrain betul-betul gila, karya gelap ini menjadi kontroversi, Mr. Tinkertrain seorang watak gelap yang memanipulasi kanak-kanak untuk keseronokan – pedofilia! Tema yang provokatif ini menerima kecaman dan kritikan pedas.

Ozzy terlalu berani dalam menyentuh tema ini, walaupun ini sebenarnya karya satira dan Ozzy mengecam perbuatan tersebut. Karya No More Tears pula menjelma epik, panjang dan gelap, kisah manipulasi dan penderitaan yang dibawa dengan emosi mendalam. Sementara itu, Hellraiser dan Desire mengukuhkan tenaga liar Ozzy yang tidak pernah padam. Namun di sebalik watak gelapnya, wujud semacam penyesalan dan ada sisi rapuh: Mama, I’m Coming Home, sebuah balada syahdu yang ditujukan kepada Sharon, satu ironi cinta dalam hidup penuh kekacauan ini. Album ini bukan sahaja berjaya secara komersial, tetapi membuktikan Ozzy masih kekal relevan; meskipun begitu, ada yang mengkritik terlalu komersial dan tidak cukup metal.
Sepanjang lima dekad, suara kegelapan Ozzy Osbourne menjadi igauan dalam dunia heavy metal. Bersama Black Sabbath, dia menyahut seruan Hades dari dunia bawah tanah yang gelap. Walaupun disingkirkan, dia masih membina empayar sendiri, dialah “anak Lucifer”, Putera Kegelapan. Dari Crazy Train hingga No More Tears, dari imej pentas yang menggigit kelawar hingga festival Ozzfest yang melahirkan ratusan legasi kegelapan, Ozzy telah mengubah landskap muzik berat untuk selamanya.
Dunia mengiktirafnya dengan Rock and Roll Hall of Fame (2006, bersama Black Sabbath) dan sekali lagi pada 2024 sebagai artis solo. Dunia yang pernah membenci jeritan seramnya mula mengangkat khazanah mistik ini.
Tamatlah hidup Ozzy. Putera Kegelapan itu akhirnya tunduk pada kesakitan dan kemamahan usia. Dunia muzik berkabung, tetapi dalam kematiannya, mitosnya menjadi abadi. Jeritannya terus bergema dalam Metallica, Slayer, Slipknot hingga Alice in Chains dan Nirvana; riff Sabbath melahirkan doom, thrash, stoner, hingga nu-metal. Ozzfest sendiri menjadi medan lahirnya Slipknot, Korn dan System of a Down dan ratusan band metal yang lahir selepasnya.

Ozzy Osbourne bukan sekadar manusia; dia legenda, arkitek kegelapan yang menulis kamus heavy metal dengan darah dan jeritan Legasinya tidak terkubur bersama jasadnya, dia hidup dalam setiap percikan gitar berat, setiap teriakan vokal raw, setiap generasi yang masih mencari suaran untuk melawan arus. Tetap Gelap!