Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAda hal yang kita melakukannya kelihatan kecil dan tidak penting. Pada waktu itu, kita bersama sekumpulan rakan yang sehaluan, berkongsi idea dan semangat yang sama dalam satu komuniti untuk memperjuangkan sesuatu atau sekurang-kurangnya menggerakkan satu aktiviti rutin yang menjadi kebiasaan.
Pada awalnya aktiviti seperti ini mungkin tampak remeh. Namun setelah masa berlalu (dua puluh tahun kemudian) barulah kita sedar bahawa perkumpulan yang pernah kita sertai itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini. Aktiviti tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada ahlinya, malah masyarakat sekitarnya mula mengaitkan nama-nama tertentu dengan perkumpulan tersebut.
Inilah yang berlaku kepada kumpulan aktivis kecil Universiti Bangsar Utama (UBU), yang kini menjejak usia kurang lebih 20 tahun. Walaupun kumpulan ini telah lama “terbubar”, nama-nama ahlinya masih disebut hingga kini.

UBU bukanlah sebuah universiti sebenar, tetapi satu kolektif aktivis, seni dan budaya. Mereka berpusat di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Bangsar Utama, Kuala Lumpur bertentangan dengan pejabat lama MalaysiaKini. Rumah kedai tersebut menjadi ruang pertemuan anak muda, mahasiswa dan seniman yang menolak kepatuhan pada sistem arus perdana.
Nama “universiti” dipilih secara sinis; dan akronim ini juga kadang kala disebut sebagai Universiti Bukan Universiti. Falsafah dalam “universiti” ini mudah, iaitu “dilarang melarang.”
Menurut seniman outsider dan penyair, Rahmat Haron, dalam eseinya “Gerak Isyarat Radikal dalam Seni Pertunjukan Malaysia” dalam Naratif Seni Rupa Malaysia: Jilid 2 (2013), penubuhan UBU bermula dengan kepulangan Hishamuddin Rais, bekas pimpinan pelajar yang baru pulang ke tanah air selepas lebih 20 tahun hidup sebagai pelarian politik, membawa segulung ijazah sarjana dalam bidang fotografi dan filem dari Universiti Westminster, London.
Beberapa tahun selepas kepulangannya, negara dikejutkan dengan peristiwa pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (kini Perdana Menteri) pada tahun 1998. Daripada situ, lahirlah pelbagai kumpulan solidariti termasuklah UBU yang tertubuh pada tahun 1999, dinaungi oleh Hishamuddin Rais dan disertai oleh anak muda serta mahasiswa universiti.
Menurut Hasmi Hashim dalam forum “Api, Asap dan Kenang-kenangan di UBU” yang berlangsung di Riwayat pada 16 Oktober lalu, antara ahli awal UBU ialah beliau sendiri, Ruhan Syahrir (Koy), Fathi Aris Omar, Khairul Anuar Zainuddin (Jonah) dan Rahmat Haron.
UBU bukan hanya terdedah kepada dunia politik; sisi budayanya juga amat luas. Kebanyakan ahlinya saling mengenali melalui kegiatan teater di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Institut Teknologi MARA (kini UiTM). Melalui UBU, mereka pernah mementaskan teater Tok Ampoo (arahan Hishamuddin Rais, terbitan Zunar) yang asalnya dijadualkan di sebuah panggung ternama di Kuala Lumpur, tetapi akhirnya dipentaskan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar.
Dalam perhimpunan, sama ada bersifat politik mahupun kemanusiaan — menurut Hasmi, acara mereka sering diiringi dengan deklamasi puisi oleh ahli-ahli UBU. Tidak ketinggalan hal-hal kemanusiaan dan pendidikan mereka juga titik beratkan. Antara yang menjadi aktiviti rutin mereka ialah mengadakan tuisyen untuk pelajar-pelajar miskin di sekitar Bangsar Utama, lebih-lebih lagi anak-anak yang menghuni perumahan PPR. Mereka turut mengadakan bengkel hak asasi manusia dengan kerjasama Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Selain Hishamuddin yang menjadi “guru besar” UBU, mereka juga berpeluang bertemu dengan pelbagai tokoh sumber. Ada kalanya mereka mendatangi nara sumber tersebut; ada pula yang datang menjenguk mereka di kediaman UBU.


Dalam forum mengenang UBU, mereka berkongsi bahawa sumber-sumber itu datang daripada pelbagai lapisan — politik, budaya dan kemanusiaan. Mereka pernah bertemu dengan “Ratu Rimba Malaya” Shamsiah Fakeh, pejuang kiri Tanah Melayu, untuk mendengar pengalaman dan nasihat perjuangan golongan kiri.
Turut hadir membimbing mereka ialah wartawan kiri disegani, Zaid Zahari, yang banyak memberi tunjuk ajar tentang seni penulisan dan perjuangan politik. Malah, mereka pernah berjumpa dengan bekas anggota Rejimen ke-10 — satu-satunya rejimen Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA).
Tidak ketinggalan juga dari negara seberang, sasterawan Indonesia yang disegani, Goenawan Mohamad turut menjadi satu daripada sumber rujukan bagi mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan luar kampus.
Menariknya, antara tokoh dari “sayap kanan” yang turut singgah ialah mantan Pengarah DBP Utara, A. Wahab Hamzah, yang pernah berkongsi pandangan tentang budaya dan filem, malah menjadi ahli kumpulan ini.
UBU mula beransur hilang arah apabila Hishamuddin Rais ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 9 April tahun 2001. Dalam pandangan saya, perpecahan UBU berpunca daripada kehilangan figura yang menjadi tunjang pergerakan itu. “Anak-anak murid” Hishamuddin hilang tempat bernaung dan tiada lagi ruang untuk berkumpul.
Beberapa orang “anak didik” Hishamuddin menjadi “penjaga” pejabat UBU selepas itu. Kata mereka, pita filem dan barangan peribadi Hishamuddin masih tersimpan di situ. Disebabkan tiada tempat lain untuk disimpan, mereka meneruskan bayaran sewa ruang itu walaupun Hishamuddin sudah ditangkap.
Dalam sejarah UBU, wujud juga “seteru seangkatan” — Komunite Seni Jalan Telawi (KSJT). Komuniti ini boleh dianggap sebagai “benih” daripada UBU sendiri, meskipun tidak semua anggotanya berasal dari sana. KSJT tampil lebih intelektual; mereka sering berkumpul di kedai makan (dan kadangkala diberi julukan “komuniti seni minum teh), berbincang soal buku dan berwacana. Antara ahli UBU yang turut bersama KSJT ialah Hasmi Hashim dan Fathi Aris Omar.
Kemudian muncul pula “cucu” UBU — Kelab Bangsar Utama (KBU). Menurut kartunis Amin Landak, yang sempat menyertai KBU, kumpulan ini lebih berorientasikan politik berbanding budaya. Aktiviti mereka banyak tertumpu kepada syarahan dan forum, berbeza dengan UBU yang lebih seimbang antara budaya dan politik.
Masa berlalu, kumpulan-kumpulan ini akhirnya larut dengan sendirinya. Namun, kenangan dan pengalaman yang lahir daripadanya terus hidup dalam diri ahli-ahlinya.
Sebahagian mereka kini menjadi tokoh penting dalam bidang masing-masing — Hasmi Hashim, misalnya, pernah memenangi Anugerah Juara Lagu dengan lirik Awan Nano dan Fathi Aris Omar kini dikenali sebagai wartawan veteran. Malah jika diukur dengan pangkat, UBU “melahirkan” seorang Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. Jika dari benih UBU tadi, KSJT pula melahirkan figura akademik Dr. Mohd Khairul Anam Che Mentri, pemegang ijazah kedoktoran dari United Kingdom.
Sebelum forum mengenang UBU itu bermula, Hasmi berseloroh, “Kita buat rakaman sebab ramai yang tanya program ini tiada rakamankah?” Kata-kata itu tampak ringan, tetapi mengandungi kesedaran penting: dokumentasi adalah bentuk ingatan kolektif.
Bayangkan hanya dalam sela masa dua dekad, banyak perkara sudah hilang daripada pengetahuan generasi muda seperti saya yang baru menjejak usia 30-an. Forum itu membuka mata saya tentang dua perkara penting: pertama, segala yang berlaku hari ini mungkin mempunyai susur galur yang signifikan; dan kedua, apa yang kelihatan kecil dan tidak penting suatu ketika dahulu, sebenarnya boleh menjadi hal besar apabila diuji oleh masa.
Hasmi sendiri pernah mengakui, penubuhan UBU pada awalnya diilhamkan daripada semangat kumpulan seni dan budaya Anak Alam. Namun begitu, latar politik 1998 begitu kuat mempengaruhi suasana ketika itu, UBU akhirnya lebih dikenali sebagai gerakan politik meskipun hakikatnya tidak begitu semata-mata.
Sayangnya, tiada dokumentasi lengkap tentang Anak Alam yang bermula pada tahun 1974. Kebanyakan ahlinya kini sudah berusia atau pergi meninggalkan kita. Yang tinggal hanyalah cerita separuh-separuh, dituturkan secara lisan dan berserak dalam serpihan ingatan.
Sebab itu saya mengagumi usaha Benz Ali yang menerbitkan KuBu Sebuah Memoir: Perjalanan Satu Dasawarsa (2014–2024) Gerakan Diskusi Jalanan (2024) — sebuah dokumentasi yang menjejak sepuluh tahun gerakan Kuliah Buku (KuBu). Dalam kata pengantarnya, Benz menempelak generasi Anak Alam kerana tidak mendokumentasikan pengalaman mereka secara “bulat”.

Maka, kisah UBU dan zuriatnya seperti KBU wajar dirakam dalam bentuk tulisan. Segala pengalaman, memori dan anekdotnya perlu dijilid sebagai satu dokumen sejarah budaya, supaya tidak hilang begitu sahaja ditelan masa.
Akhirnya, Universiti Bangsar Utama bukan sekadar catatan dalam sejarah kecil aktivisme, tetapi sebahagian daripada ingatan kolektif yang membentuk kita hari ini. Saya melihat UBU bukan hanya sebagai kisah tentang politik dan perlawanan, tetapi juga tentang persahabatan, idealisme dan keberanian anak muda yang mahu memberi makna pada zamannya.
Apa yang mereka lakukan 25 tahun lalu mungkin kelihatan kecil, tetapi gema dan semangatnya masih terasa seolah-olah mengingatkan kita bahawa setiap usaha yang jujur, walau sekadar dari ruang kecil di Bangsar Utama, mampu menggoncang batas fikir dan menyalakan api budaya yang tidak mudah padam.