Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSyed Mohd Amin Syed Hashim atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab merupakan nama yang sudah tidak asing lagi dalam dunia penulisan seni kata lagu Melayu. Karyanya seperti Suci dalam Debu, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Umpama Mimpi dalam Mimpi, dan Di Balik Cermin Mimpi telah meninggalkan kesan mendalam kerana persoalan rohani dan simboliknya.
Di sebalik keindahan melodinya, lirik dalam lagu tersebut sering menimbulkan persoalan dalam kalangan pendengar muzik. Adakah sekadar ungkapan cinta manusiawi atau tersirat makna kerohanian yang lebih tinggi?
Ada yang mentafsirkan lagu-lagu tersebut sebagai manifestasi cinta kepada Tuhan – “lagu Sufisme”, kerana hanya insan yang memahami jalan tasawuf dapat menyingkap maknanya batinnya. Menariknya, dalam satu temu bual menerusi audio siar Xklusif Bersama Syaril, beliau sendiri menegaskan bahawa dirinya sebagai seorang penulis lagu yang beraliran “Surealisme Sufisme”. Pengakuan ini membuka ruang untuk membaca karya beliau bukan sekadar dari sudut kerohanian, tetapi juga melalui pandangan surealisme.
Surealisme merujuk sesuatu yang berada di luar batas logik. Realiti tidak lagi dilihat melalui tapisan akal semata-mata, sebaliknya wujud satu dimensi realiti bawah sedar yang boleh digali dan diterokai. Aliran ini lahir di barat, muncul daripada kekecewaan terhadap logik dan rasionalisme Barat yang dianggap gagal memahami kerumitan jiwa manusia, khususnya selepas pengalaman trauma Perang Dunia.
Idea surealisme ini membawa dimensi baharu dalam memahami realiti. Jika sebelum ini pengetahuan sering diasaskan pada akal (rasionalisme) dan pengalaman pancaindera (empirisisme), surealisme membuka ruang kepada imaginasi bebas sebagai satu lagi cara memahami lapisan realiti yang tersembunyi. Peranan mimpi, simbol dan gerak hati dilihat mampu mengungkap kebenaran yang tidak dapat dicapai melalui logik semata-mata.
Dalam bidang seni lukisan, surealisme menampilkan imej yang muncul dari bawah sedar atau dunia mimpi. Lukisan yang dihasilkan kelihatan tidak logik, sarat dengan simbol-simbol pelik, ganjil dan kadangkala rawak. Namun begitu, apabila dilihat melalui gabungan realiti dan mimpi tersebut, surealisme percaya yang kita dapat menyingkap hakikat kebenaran yang lebih dalam. Lukisan sureal ini seolah-olah menjadi sempadan antara realiti dan ilusi.
Dalam tradisi seni Barat, surealisme dipelopori oleh pelukis terkenal seperti Salvador Dalí yang menghasilkan karya ikonik The Persistence of Memory (1931), Swans Reflecting Elephants (1937) dan The Elephants (1948). René Magritte pula terkenal dengan catat falsafah seperti The Treachery of Images (1929) dan potret misterinya The Son of Man (1964). Max Ernst, antara pengasas awal surealisme, menampilkan karya penting seperti The Elephant Celebes (1921) dan Two Children Are Threatened by a Nightingale (1924), yang mengambungkan dunia mimpi dengan bentuk-bentuk yang ganjil.
Di Malaysia, elemen surealisme turut diolah dengan pendekatan tempatan oleh pelukis seperti S. Amin Shabab dan Ng Hwee Chu. Karya-karya mereka menonjolkan imej sureal dengan suntikan pengalaman budaya dan spiritual masyarakat setempat – menjadikan surealisme bukan sekadar aliran barat, tetapi satu pendekatan visual yang mampu menyelami batin, identiti dan pengalaman rohani.
Amin Shahab sendiri merupakan seorang pelukis sebelum menceburi bidang penulisan lirik lagu. Beliau merupakan graduan Nanyang Academy of Fine Arts di Singapura, dan pernah menghasilkan sebuah lukisan sepanjang satu kilometer. Dalam pelibatan awalnya dalam industri muzik, beliau juga terlibat sebagai pereka kulit album bagi artis-artis seperti Al-Jawaher, Kembara, Pelangi dan Ilusi.
Gaya surealisme S. Amin Shahab terserlah melalui kulit album yang dihasilkannya, terutama melalui penggunaan simbol menonjol seperti mata yang seolah-olah memerhati dari luar – lambang kesedaran baharu atau penglihatan batin yang lama terpendam; pintu dan tiang terapung yang menggambarkan pintu dimensi ke dunia yang “lain”; serta langit terbuka yang melambangkan keluasan kemungkinan dan realiti tanpa batas.
Dalam album Kembara (Kembara, Perjuangan dan Generasi Ku), Al-Jawaher (Warna Alam) dan Ilusi (Menggapai Pelangi), beliau berjaya menggabungkan unsur surealisme Barat dengan identiti Nusantara serta spiritual tempatan, sehingga menghasilkan visual yang unik dan sarat makna.
Spiritual tempatan yang dimaksudkan di sini ialah jalan penyucian hati seseorang hamba daripada nafsu yang menghalangnya mengenal diri dan Pencipta. Tradisi ini berkembang dalam bentuk tasawuf – suatu aliran kerohanian Islam yang berasal dari tradisi awal dunia Islam melalui para sufi Arab dan Parsi.
Dalam konteks Nusantara, ajaran ini diperkenalkan dan disesuaikan oleh tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumantrani, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Sinkili yang memperkukuh gagasan penyucian hati, makrifat dan hubungan batin dengan Tuhan dalam budaya Melayu.
Tasawuf atau sufisme, kadangkala menimbulkan kontroversi kerana ajarannya sukar difahami oleh orang kebanyakan, seolah-olah terdapat pertentangan antara syariat yang bersifat zahir dan tasawuf yang menekankan dimensi batin. Kekeliruan ini sering timbul daripada ungkapan metafora tokoh sufi seperti al-Hallaj, Ibn Arabi atau Abu Yazid yang menggunakan bahasa simbolik yang hanya difahami oleh ahli sufi. Dalam konteks umum, sufisme merujuk kepada jalan penyucian hati, mendekatkan diri kepada Tuhan melalui akhlak, zikir dan kesedaran rohani.
Dalam bentuk inilah sufisme menjadi sumber ilham bagi seniman, termasuklah S. Amin Shahab, yang menterjemahkan pengalaman rohaninya melalui penulisan lirik. Antara contoh awal yang jelas memperlihatkan nuansa sufisme ialah lagu Musafir, lirik ciptaan beliau untuk kumpulan Search dalam album Cinta Buatan Malaysia (1985).
Lirik ini menggambarkan seorang insan yang tenggelam dalam kegelapan batin, sementara seluruh pancainderanya menagih cinta dan rahmat Ilahi. Harapannya terhadap “setitis embun dari syurga” melambangkan permohonan hidayah dan cahaya, iaitu proses pembersihan jiwa agar dapat kembali kepada Tuhan – suatu inti pati penting dalam tradisi tasawuf.
Persoalannya kini, di manakah titik persilangan antara sufisme dan surealisme? Sufisme lahir daripada tradisi kerohanian Islam, manakala surealisme pula muncul di Barat sebagai reaksi terhadap dominasi logik dan rasionalisme. Pertemuan kedua-duanya berlaku pada tahap pandangan alam, iaitu cara memahami realiti. Sufisme melihat alam sebagai manifestasi hakikat batin yang hanya tersingkap melalui penyucian hati, sementara surealisme pula membuka ruang kepada mimpi dan alam bawah sedar sebagai sumber kebenaran.
Kedua-dua ajaran ini sedar bahawa realiti tidak hanya terletak pada apa yang dapat ditangkap oleh pancaindera. Sufisme menggunakan bahasa batin dan makrifat, manakala surealisme mengekspresikan kebenaran melalui simbol dan imej mimpi – namun kedua-duanya menuju kepada pencarian hakikat yang lebih mendalam daripada apa yang nampak secara zahir.
Dalam kerangka inilah S. Amin Shahab menterjemahkan pengalaman rohani melalui seni dan penulisan liriknya. Bermula daripada jemputan M. Nasir, S. Amin Shahab menulis lirik berdasarkan tema dan pengalaman yang dekat dengan dirinya. Hal ini dapat dilihat melalui karya awal seperti Pelukis (1979), Tanti (1979) Senandung Buruh Kasar (1981), Mencari (1981), Rayuan di Puncak Genting (1981), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (1981), Bergembira di Pesta (1982), Warna Alam (1982) Ayahku dan Angkasawan (1982), Sekuntum Bunga Plastik (1982) dan Senyumlah Kuala Lumpur (1982).
Lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dan Senyumlah Kuala Lumpur nyanyian Aleycats menjadi titik penting dalam menaikkan namanya sebagai penulis lirik. Pada peringkat awal jelas bahawa beliau menulis lirik berdasarkan pengalaman hidup dan persekitarannya.
Misalnya, kedua-lagu tersebut menggambarkan kerinduan serta pengabdian kasih terhadap seorang insan yang bernama wanita; bahkan lagu Senyumlah Kuala Lumpur pernah diakui beliau hasilkan khusus untuk kekasihnya, yang kini menjadi isterinya.
Detik perubahan dalam penulisan lirik S. Amin Shahab dapat dikesan ketika beliau menulis lagu Pilihan Terakhir dalam album Alleycats pada tahun 1984. Dalam album ini, beliau bertanggungjawab menulis keseluruhan lirik, dan lagu Pilihan Terakhir kelihatan seperti satu dialog batin, seolah-olah ditujukan kepada dirinya sendiri. Ini dapat dilihat melalui baris,
Kemanakah arah perjalanan ku ini
Ke timur atau ke barat, ke Hollywood atau ke Kaabah
Di manakah cahaya yang ku cari selama ini
Lirik ini menggambarkan persoalan eksistensi yang panjang, bergerak antara perjalanan fizikal dan pencarian spiritual – suatu lapisan kesedaran bawah sedar yang selari dengan estetika surealisme. Unsur renungan metafizik semakin nyata apabila beliau menulis:
Haruskah ku miliki kuku besi
Untuk ku kupas rahsia alam, atau lidah yang tajam
Agar dapat membelah rahsia malam
Baris-baris ini mencerminkan keinginan mendalam untuk memahami hakikat hidup, rahsia alam dan makna kewujudan. Di sinilah bermulanya peralihan gaya penulisan beliau daripada tema kehidupan seharian kepada renungan rohani yang lebih introspektif – suatu pertemuan halus antara simbolisme surealisme dengan gagasan sufisme yang meresap dalam diri dan karyanya.
Peralihan inilah yang membuka jalan kepada fasa baharu dalam penulisan lirik S. Amin Shahab, iaitu yang lebih sarat dengan persoalan batin, simbolisme dan renungan kerohanian. Dapat dilihat dalam lirik beliau yang lebih berbentuk kerohanian seperti Suci dalam Debu, Seribu Bayangan, Cinta di Bawah Sedar, Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Sayap Ilusi, Sesat dalam Rindu dan Cinta Tujuh Keramat.
Kita boleh melihat penggunaan kata (dalam lirik S. Amin Shahab) atau simbol seperti mata, perjalanan mimpi, dimensi cermin, bayangan diri dan cahaya nurani yang merupakan gabungan jelas imaginasi surealisme dan kerohanian sufisme. Baginya mimpi bukan sekadar mimpi, dan realiti buka sekadar apa yang terlihat; kedua-duanya saling bersilang sebagai jambatan untuk memahami hakikat diri.
Melalui bahasa liriknya, beliau mempertemukan dua aliran besar – surealisme dan sufisme – sebagai jalan untuk menyingkap kebenaran yang tidak tercapai melalui logik semata-mata. Gabungan kedua-dua aliran ini berjaya melahirkan karya yang bukan sahaja mempesonakan dari segi estetika, tetapi juga menyentuh dimensi rohani yang lebih dalam.
Antara lirik terbaik beliau yang menonjolkan imej surealisme dan sufisme ialah Umpama Mimpi dalam Mimpi (Damasutra), Di balik Cermin Mimpi (M. Nasir) dan Dalam Kehadiran Sofiah (Wings). Lirik ini menjadi jambatan antara dunia nyata dan batin, sekali gus menjadikan S. Amin Shahab salah seorang tokoh yang mengangkat pengalaman spiritual dalam landskap seni moden Melayu.