Diterbitkan pada 13 Disember 2025, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gamelan Jawa-Malaysia bergema di kota seni Yogyakarta apabila Kumpulan Gamelan Nadasukma dari Malaysia menerima penghormatan untuk membuat persembahan dalam program Jogjakarfest 2025 pada 5 Disember 2025 bertempat di Institut Seni Indonesia (ISI) Yogyakarta.

Kehadiran Nadasukma bukan sekadar persembahan seni, tetapi simbol ikatan budaya serumpun Malaysia-Indonesia yang terus diperkukuh melalui diplomasi budaya dan jaringan kerjasama seni antarabangsa.

Kembara Nadasukma ke Yogyakarta turut menerima sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi Malaysia melalui pemerolehan Geran MyCreatives Venture 2025 yang bertujuan memperluas keterlibatan penggiat kreatif Malaysia di pentas antarabangsa.

Turut menjayakan program ini ialah beberapa rakan kerjasama strategik, termasuklah Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor (PEJAWA), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh, serta Universitas Negeri Surabaya (UNESA).

Acara dimulakan dengan webinar yang menghimpunkan ahli akademik tempatan dan antarabangsa dalam membincangkan tema besar: Karawitan, Diplomasi Budaya, dan Masa Depan Gamelan dalam Masyarakat Moden.

Wakil Malaysia memberikan fokus kepada topik “Gamelan Jawa-Malaysia”, yang dikemukakan oleh Tuan Haji Johar Paimin, Pengasas PEJAWA dan pemegang watak penting dalam pengembangan budaya Jawa di Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menegaskan:

Gamelan Jawa-Malaysia mungkin pada mata kasar punya suara yang sama, tetapi rasanya berbeza. Gamelan akan terus hidup selama masyarakatnya menjaga rasa, menjaga persaudaraan, dan terus memainkannya mengikut zaman tanpa melupakan akar budayanya.

Acara malam Jogjakarfest 2025 menyaksikan pentas ISI Yogyakarta diterangi satu persembahan seni yang mempertemukan pelbagai kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara.

Barisan persembahan menampilkan institusi tersohor seperti SMKN 1 Kasihan, Yogyakarta; AKNSB Yogyakarta; ISI Surakarta; University College Dublin dari Ireland dan kumpulan gamelan jawa Malaysia, iaitu Gamelan Nadasukma.

Menurut pimpinan Gamelan Nadasukma, Saudara Bob, gamelan di Malaysia berkembang sebagai hasil asimilasi antara budaya Jawa yang dibawa oleh migrasi dan kearifan tempatan masyarakat Melayu. Beliau menjelaskan:

Gamelan Jawa-Malaysia ialah satu bentuk asimilasi budaya dan kearifan tempatan, punya ciri tersendiri: bertunjangkan ajaran Islam, memuatkan pantun Melayu dalam liriknya, dan ditembangkan dalam bahasa Melayu serta Jawa.

Beliau turut menambah bahawa karya gamelan Malaysia hari ini dihidupkan semula melalui inovasi komposer dari Surabaya, Kisworo Raul Diaz (Barapraja Music Entertainment). Kolaborasi ini bukan sahaja memperkaya bentuk persembahan, malah menjadi jambatan kreativiti antara dua negara serumpun.

Satu daripada lagu yang dipersembahkan ialah karya Keraton Mbah Anang, ciptaan maestro gamelan Jawa-Malaysia, Bapak Dwiono Hermantoro, S.Kar. Beliau merupakan tokoh penting yang telah lama menyumbang kepada kelestarian budaya Jawa di IPTA Malaysia dan juga Keraton Mbah Anang di Parit Bugis, Muar. Pementasan karya tersebut di Jogjakarfest meerupakan satu penghormatan tersendiri terhadap jasa beliau dalam dunia karawitan serantau.

Acara malam Jogjakarfest 2025 menyaksikan pentas ISI Yogyakarta diterangi satu persembahan seni yang mempertemukan pelbagai kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara.

Perpaduan Nusantara: Kehadiran Rakan Penggiat Seni

Program Jogjakarfest 2025 turut diserikan dengan pelibatan aktif rakan penggiat seni dari pelbagai wilayah di Indonesia, menjadikan acaratersebut sebuah wadah perpaduan Nusantara yang sebenar.

Kehadiran delegasi dari Surakarta melalui Rumah Budaya Indonesia Satu: Sanggar Sekar Jagad yang dipimpin oleh Bapak Joko Ngadimin memberikan warna tradisi yang tersendiri.

Tambahan lagi, festival tersebut turut diperkayakan oleh peranan penting rakan seni lain seperti Sanggar Baradha UNESA, Barapraja Music Entertainment, dan Tyasmalaka Surabaya, yang masing-masing membawa gaya dan kekuatan artistik mereka.

Pelibatan Persatuan Seni Silat Warisan Nusantara turut menambah dimensi warisan Melayu-Jawa yang lebih menyeluruh menjadikan Jogjakarfest 2025 sebuah platform kolaborasi budaya yang kukuh, harmoni dan berpengaruh dalam memupuk hubungan seni serantau. Sinergi antara institusi-institusi ini menjadikan Jogjakarfest 2025 sebuah platform silang budaya yang benar-benar hidup.

Kembara Gamelan Nadasukma ke Jogjakarfest 2025 membawa makna besar dalam konteks hubungan budaya Malaysia dan Indonesia. Tidak sekadar persembahan muzik,  membentuk ruang dialog, kerjasama dan pertukaran ilmu antara seniman, akademik dan institusi pendidikan kedua-dua negara.

Perpaduan Malaysia-Indonesia sekali lagi dizahirkan melalui bahasa seni, mengingatkan kita bahawa akar budaya Nusantara adalah akar yang sama. Penutup acara menyaksikan tepukan gemuruh penonton seluruh dunia yang hadir, mengakui bahawa gamelan bukan sekadar warisan tetapi merupakan satu bentuk bahasa persaudaraan.

Jogjakarfest 2025 membuktikan bahawa seni sentiasa hidup dan sentiasa menemukan manusia. Gamelan Nadasukma bukan sahaja kerana mengharumkan nama Malaysia, tetapi juga berjaya menyulam semula helaian budaya Nusantara dalam nuansa yang lebih bersifat holistik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi