Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jika tidak hari ini, mungkin minggu depan.” 

Filem animasi Papa Zola The Movie (2025) yang baru sahaja ditayangkan bermula 11 Disember, merupakan sebuah animasi yang mempunyai peminat tersendiri. Bermula dengan hanya sebuah karakter sampingan dalam siri animasi Boboiboy, Papa Zola telah berjaya memikat hati ramai dengan gayanya yang unik. Siapakah yang tidak kenal dengan pelaung kata-kata “kebenaran“.

Penulis yang berpeluang menonton sendiri filem tersebut, berpuas hati atas usaha pengarah, Nizam Razak menghasilkan karya yang begitu baik dan dekat di hati ramai rakyat Malaysia.

Inti kekuatan filem tersebut terletak pada perjalanan Papa Zola, daripada seorang yang berjuang dengan kehidupannya, kemudian kembali menjadi seorang adiwira, dan akhirnya bangkit penuh semangat.

Selain itu, filem ini berjaya menggambarkan perasaan seorang bekas adiwira yang perlahan-lahan menemui rentaknya semula, malah unsur komedi disampaikan dengan baik, seiring dengan situasi dan isu semasa.

Seperti filem Boboiboy dan Mechamato, Papa Zola The Movie juga berjaya memukau mata penonton dengan gaya penceritaan yang lucu serta tidak membosankan.

Tidak perlu disangkal lagi dari sudut gaya animasi yang bagi penulis ialah satu perkara yang wajar dibanggakan sebagai anak Malaysia. Babak serangan makhluk asing dipenuhi dengan warna yang terang, perincian yang halus, dan gerakan yang mendebarkan.

Daripada adegan Papa Zola yang berusaha mencari rezeki di tengah kota hinggalah ke pertempuran besar di akhir cerita, semuanya digarap dengan kemas dan bertenaga. Walaupun penuh aksi, suasananya tetap santai dan menghiburkan, menjadikan filem ini seronok ditonton dari awal hingga akhir.

Namun begitu, mesej utama Papa Zola yang wajar menjadi pengajaran kepada penonton adalah mengenai pengorbanan seorang ketua keluarga. Filem animasi ini bukan sekadar menggunakan elemen kekeluargaan sebagai penambah rasa atau hiburan, tetapi benar-benar memberi perhatian kepada mesej kekeluargaan itu sendiri.

Hubungan Papa Zola dengan Mama Zila yang ditunjukkan sebagai pasangan yang saling menyokong dan memahami. Begitu juga dengan Pipi yang bukan sekadar watak comel penghias filem, tetapi simbol kekuatan kepada Papa Zola dalam perjuangan meneruskan hidupnya.

Penonton dapat melihat bahawa Papa Zola sanggup bersusah payah kerana cinta dan tanggungjawab terhadap keluarganya. Fokus tersebut menjadikan kepulangan Papa Zola sebagai wira lebih bermakna, kerana dia bukan berjuang untuk kemasyhuran, tetapi demi melindungi dunia selamat yang telah dibina untuk orang tersayang.

M enonton filem Papa Zola The Movie benar-benar menyentuh hati penulis, terutama melihat watak Papa Zola berdepan kesukaran menjual buku, satu situasi yang sangat dekat dengan realiti.

Sebagai seorang penulis sepenuh masa, penulis juga bergantung kepada hasil jualan buku untuk meneruskan kehidupan. Setiap naskhah yang dijual bukan sekadar hasil karya, tetapi juga sumber rezeki, semangat dan harapan.

Melihat perjuangan Papa Zola di layar perak terasa seolah-olah melihat cerminan diri, penuh cabaran, tetapi tetap diteruskan dengan tekad dan kasih sayang.

Papa Zola juga membawa mesej bahawa keperwiraan sebenar sering bermula dengan “selfless act”, sebuah tindakan tidak mementingkan diri yang kita lakukan setiap hari. Dalam kehidupan sebenar, wira bukan semata-mata mereka yang memakai jubah atau terkenal.

W ira sejati ialah mereka yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan pujian, seperti ibu bapa yang bekerja keras demi anak-anak, guru yang bersabar mengajar murid yang lemah, atau seseorang yang membantu orang lain dalam diam.

Hal ini mungkin tidak disedari orang, tapi di situlah letaknya kekuatan sebenar, dalam kebaikan yang ikhlas dan konsisten, walaupun kecil. Begitu jugalah yang dipaparkan pada watak Papa Zola. Contoh, pada awal cerita ditunjukkan Papa Zola yang sanggup mengetepikan arahan ketuanya demi membantu orang yang dalam kesukaran akibat dibuli.

Pada yang belum berkesempatan menonton, penulis menggalakkan agar bawalah keluarga anda bersama-sama menonton filem ini. Bukan sekadar sebuah animasi yang mencuit hati, tetapi juga menyentuh hati, terutama golongan bapa yang telah bersusah payah melakukan pelbagai kerja demi menyara keluarga.

Filem animasi aksi komedi ini, merupakan filem wajib tonton bagi peminat siri asal Boboiboy. Menonton Papa Zola The Movie juga mengajar kita satu hal penting, bahawa dalam setiap kesusahan, tetaplah percaya pada rezeki yang akan datang, walaupun bukan sekarang. Filem ini mengingatkan bahawa perjuangan tidak pernah sia-sia, dan usaha yang ikhlas pasti akan membuahkan hasil, lambat atau cepat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi