Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 16 Disember 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jika ditanya, di mana boleh menikmati sate yang sedap, sudah tentu, kebanyakan orang akan menjawab,  Sate Kajang

Tidak jauh dari hentian teksi yang sejak dahulu menjadi tumpuan warga desa dan kota, terdapat sebuah lorong belakang yang kecil bernama Lorong Sulaiman. Lorong ini yang dahulunya sekadar laluan sempit dan sunyi, kini kembali bernafas dalam arus pembangunan pesat menjadi sudut nostalgia yang menghidupkan kenangan Kajang pada zaman silam.

Transformasi ini merupakan hasil usaha Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersama-sama beberapa pihak yang menyumbang tenaga dan kos. Projek tersebut bertujuan menambah satu lagi tarikan seni di tengah bandar Kajang.

Lorong Sulaiman kini diberi wajah baharu dengan lukisan mural, berlantai jubin menggantikan jalan beraspal, serta dihiasi dengan pasu bunga besar. Tempat tersebut menjadi produk pelancongan kecil pengunjung yang ingin mengimbau sisi Kajang masa silam dan boleh dijadikan pentas pelbagai kegiatan budaya dan seni.

Mengamit Sejarah

Mural Lorong Sulaiman mengimbau suasana Kajang pada awal 1970-an hingga 1980-an, ketika sate Kajang menjadi ikon pekan kecil ini. Terdapat mural lukisan yang menggambarkan peniaga menjual sate yang dahulunya kegiatan itu di bawah sepohon pokok besar menggunakan kandar dan meja kayu.

Kawasan itu kini menjadi Plaza Metro Kajang, namun tiada penjual sate di dalam kompleks itu. Hiasan mural itu mengembalikan memori sebelum bandar Kajang dipenuhi bangunan moden dan kenderaan yang sibuk.

Selain itu, lukisan bas Foh Hup berwarna hijau merupakan pengangkutan awam yang sinonim dengan kehidupan penduduk Kajang turut dilakar. Beca dan basikal sebagai kenderaan ringan digunakan juga untuk  pengangkutan malah mengangkut barangan jualan, hasil kebun dan sayur-sayuran dari kampung sekitar.

Imbauan lampau turut diperkuatkan lagi dengan pembinaan replika sebuah model telefon awam era 1980-an di tempat tersebut. Pada masa itu, telefon awam diuruskan oleh Jabatan Telekom Malaysia (kini TM) dengan nombor empat atau lima angka, adalah satu-satunya alat perhubungan penting. Pengguna perlu menyediakan wang syiling dan bersabar beratur panjang untuk menghubungi keluarga atau rakan, suatu sifat kesabaran yang kini seakan hilang ditelan masa.

Lorong Sulaiman yang berwajah baharu ini  dikunjungi  kebanyakan golongan warga emas kerana menggamit memori mereka ke era 1980-an. Golongan muda pula lebih suka berswafoto berlatarbelakangkan era tersebut untuk dikongsikan di media sosial.

Medan Sate Kajang Lama

Di sebelah kanan Lorong Sulaiman ialah Medan Sate Kajang Lama, yang merupakan tapak asal bermulanya ramai peniaga sate Kajang. Medan sate ini yang mula beroperasi sejak awal tahun 1970-an, pada mulanya adalah gerai kecil sebelum diseragamkan menjadi medan sate di bawah pengurusan MPKj.

Kawasan gerai menempatkan sepuluh peniaga sate yang berbeza, di mana setiap satu merupakan entiti perniagaan berasingan yang mempunyai resipi sate tersendiri. Ini berbeza dengan Sate Kajang Hj. Samuri yang beroperasi sebagai satu rangkaian besar. Selain Sate Hj. Samuri, sate warisan lain yang popular termasuklah Sate Hj. Rono, Sate Hj. Tasmin dan Sate Hj. Sidek.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang berkenan mencemar duli ke Lorong Sulaiman “Kajang Dulu-Dulu” pada 24 Ogos tahun 2024 lalu, turut mempopularkan nostalgia lorong tersebut.

Baginda turut beramah mesra bersama waris tokoh-tokoh Kajang dan peniaga sate, menjadikan lorong itu saksi hidup sejarah dan budaya bandar yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Ibu Negara  Kuala Lumpur.

Kajang – Bandaraya Berdaya Huni

Kajang yang dahulu tepian jalannya dipenuhi bas, teksi, basikal dan penjual sate kini telah berubah menjadi bandar moden. Ramai peniaga sate kini mempunyai kedai tetap, manakala kenderaan vintaj seperti Morris Minor atau skuter Vespa yang berlegar satu ketika dahulu telah bertukar dengan pelbagai kenderaan moden. Bandar ini juga lengkap dengan rangkaian jalan raya yang lebih baik serta sistem pengangkutan awam yang efisien, termasuk Komuter KTM dan rangkaian pengangkutan rel MRT.

Namun begitu, Kajang kini berdepan cabaran kesesakan trafik, kekurangan parkir dan kadar sewa kedai dan kediaman yang tinggi. Justeru, pengunjung yang ingin menikmati sate Kajang disarankan menggunakan MRT dan turun di Stesen Stadium Kajang, di mana Restoran Sate Haji Samuri  terletak hanya  lima minit berjalan kaki.

Seorang penduduk yang ditemui di situ,  berusia 60 tahun, Puan Bie Aman  yang membesar di Kajang menyaksikan denyut kehidupan Kajang sejak lebih lima dekad. Beliau berpendapat bandar itu  seharusnya dibangunkan sebagai bandar warisan berteraskan budaya Melayu dan berbilang kaum, bukan sekadar meniru pembangunan Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan trafik yang berpanjangan.

Beliau mencadangkan agar MPKj menambah baik pengangkutan awam moden, menggalakkan penginapan mampu sewa berkonsep inap desa, mengatasi kesesakan dan memperkenalkan pakej lawatan ke kawasan bersejarah dan kampung tradisional, termasuk kampung Wira Bangsa, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi di Sungai Ramal.

Bie Aman mencadangkan, “MPKj dapatlah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Memeriahkan Lorong Sulaiman dengan aktiviti seni dan budaya pada hujung minggu.  Secara tidak langsung akan membantu ekonomi penjual sate.”

Kini, Bandar Kajang terus membangun dengan moto “Bandaraya Berdaya Huni” di bawah  pentadbiran MPKj. Menurut  rekod Dewan Undangan Negeri Selangor, anggaran penduduk daerah Kajang mencecah lebih 400,000 orang pada 2025, berbanding hanya 60,000 hingga 80,000 orang pada 1980-an. Dalam perancangan MPKj, daerah Kajang akan mencapai status bandaraya tidak lama lagi apabila beberapa kriteria untuk diiktiraf bandaraya dicapai.

Sejak dahulu Kajang kekal menjadi destinasi persinggahan wajib orang ramai dari Selatan yang hendak ke Kuala Lumpur atau ke utara dan pantai timur sebelum wujudnya Lebuhraya Utara Selatan. Pada era itu, bas awam seperti Foh Hup dan bas ekspres dari Seremban menjadikan Kajang sebagai hentian tetap untuk menurun dan mengambil penumpang. Lazimnya, penumpang yang turun akan menikmati sate Kajang sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Bas Puduraya, Kuala Lumpur. Kini, baik bas Foh Hup dan Hentian Puduraya, semuanya sudah menjadi kenangan.

Lorong Sulaiman kini bukan sekadar laluan atau dinding mural semata-mata. Ia umpama sebuah buku lama  yang ditatap semula  melalui lukisan suasana lampau,  mengajak  penghuninya  menoleh seketika ke Kajang yang pernah sederhana, riuh dan penuh warna. Kajang menggabungkan warisan dan kemodenan, menjadikan bandar ini simbol perubahan dan kesinambungan budaya, merakam sejarah negara masa lalu hingga kini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi