Diterbitkan pada 18 Disember 2025, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apabila berlangsungnya penganjuran sukan bertaraf antarabangsa seperti Olimpik, Komanwel dan Asia, majlis pembukaan akan menjadi tumpuan. Dalam majlis pembukaan, akan ada persembahan dan gimik perasmian yang berwarna-warni sehingga memukau setiap mata yang menonton.

Akan tetapi, satu lagi tarikan dalam majlis pembukaan ialah penggayaan busana setiap kontinjen juga merupakan antara perincian yang sering mendapat perhatian masyarakat. Oleh itu, selain latihan rapi atlet yang bertanding, setiap kontinjen turut memperincikan pemakaian busana masing-masing semasa perarakan masuk di upacara pembukaan.

Pada tahun ini, kontinjen Malaysia sekali lagi memilih batik sebagai busana pilihan semasa perarakan upacara pembukaan Sukan Asia Tenggara (SEA) Thailand sebagaimana dua tahun lepas di Phnom Penh, Kemboja.

Sukan SEA merupakan temasya sukan dwitahunan negara di Asia Tenggara. Temasya tersebut telah dianjurkan sejak tahun 1959 yang dikenali sebagai Sukan SEAP sebelum ditukar namanya kepada Sukan SEA. Temasya ini bukan sekadar menghimpunkan atlet terbaik, malah mewujudkan persaingan sihat serta mengeratkan hubungan perpaduan serantau.

Edisi kali ini, Thailand kembali menjadi tuan rumah Sukan SEA. Malaysia hadir ke Sukan SEA 2025 dengan kontinjen terbesar pernah direkodkan, iaitu seramai 1655 orang anggota merangkumi 1140 orang atlet dan 515 orang pegawai dalam misi merebut pingat emas yang ditawarkan.

Sukan-sukan besar yang berlangsung di seluruh dunia termasuklah Sukan SEA secara tak langsung mampu mempromosikan aspek bahasa, budaya dan kesenian kerana penyiaran temasya berkenaan mendapat liputan media yang meluas.

Peluang mempromosikan budaya dalam upacara perarakan pembukaan sewajarnya tidak dilepaskan. Oleh itu, antara aspek yang diititikberatkan oleh setiap kontinjen yang bertanding adalah dari segi pemakaian busana atlet yang menyertai upacara perarakan pembukaan.

Kontinjen negara telah memilih untuk mengenakan busana batik pada edisi kali ini seperti mana pada edisi sebelumnya. Pemilihan batik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilihat tepat dalam usaha mempromosikan nilai seni dan budaya negara selain mampu menyemarakkan lagi sambutan Hari Batik Negara yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.

Batik merupakan warisan seni tekstil yang amat bernilai bagi masyarakat Malaysia dan Nusantara. Selain itu, hasil seni kraf tangan ini juga mempamerkan budaya sesuatu bangsa melalui rekaan motif dan warnanya. Menurut Kraftangan Malaysia, batik Malaysia didefinasikan sebagai seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya yang mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia melalui proses pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak. Keunikan batik ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila Majlis Kraf Dunia-Asia Pasifik mengiktiraf batik Malaysia sebagai salah satu kraf tempatan yang terkenal di peringkat global.

Dalam upacara pembukaan Sukan SEA edisi ke-33 di Thailand pada 9 Disember baru-baru ini, kontinjen Malaysia yang diwakili oleh 59 orang atlet kebangsaan telah memperagakan busana batik kasual sebagai pakaian rasmi mereka sewaktu melangkah masuk ke Stadium Nasional Rajamangala. Rekaan batik kontemporari yang menghiasi tubuh atlet negara pada upacara pembukaan tersebut merupakan satu identiti baharu yang memancarkan keyakinan dan karakter Malaysia di pentas antarabangsa. Batik kontemporari serba biru-putih itu merupakan satu kelainan yang dipertaruhkan oleh kontinjen negara yang kebiasaannya hadir dalam persalinan baju kebangsaan seperti Baju Melayu, Baju Kurung dan Baju Kebarung.

Asas warna putih pada busana rasmi kontinjen negara membawa makna kesucian niat, disiplin serta fokus atlet negara setiap kali mereka melangkah ke gelanggang. Sementara, corak organik dalam tona biru pekat di bahagian bawah dan sisi baju pula menggambarkan aliran tenaga, keteguhan mental dan fizikal serta perjalanan dinamik seorang atlet menuju kecemerlangan. Rekaan dan corak busana berkenaan diinspirasikan daripada elemen alam iaitu ombak, alur kayu dan arus yang melambangkan simbol kekuatan serta daya tahan bangsa. Sempadan kuning yang mengikat motif biru itu pula memberi isyarat kepada cahaya harapan dan aspirasi negara, seakan garis haluan yang memandu atlet menuju podium.

Manakala, sentuhan merah pada perincian kecil memberi elemen keberanian dan semangat juang, warna yang sinonim dengan hati waja kontinjen Malaysia. Di bahagian lengannya pula, jalur merah yang tersusun menyerlahkan identiti kebangsaan dengan gaya minimalis moden selain mengingatkan jalur bendera Malaysia. Walau bagaimanapun, rekaannya lebih abstrak untuk kekal sofistikated dan sesuai sebagai pakaian rasmi bertaraf antarabangsa. Busana batik yang digayakan atlet negara semasa upacara pembukaan baru-baru ini bukan sekadar pakaian tetapi juga menggambarkan Malaysia negara yang kaya tradisi, progresif dalam pemikiran dan sentiasa melangkah ke hadapan dengan keyakinan.

Ketua kontinjen (CDM) negara, Nurul Huda Abdullah ketika ditemu ramah beberapa hari sebelum sebelum upacara pembukaan Sukan Sea 2025 oleh wartawan Astro Arena menyatakan busana kali ini akan menjadi satu kejutan dengan mengambil kira situasi tuan rumah yang masih dalam tempoh berkabung atas kemangkatan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 24 Oktober lalu. Walau bagaimanapun, rekaan dan motifnya sudah pasti bukan sahaja akan mencerminkan identiti Malaysia tetapi juga warna pasukan Malaysia. Jadi, sememangnya apa yang dikatakan oleh CDM Malaysia ada pada busana batik kontemporari yang digayakan oleh 59 atlet negara semasa perarakan masuk upcara pembukaan yang turut disiarkan secara langsung baru-baru ini.

Batik sebenarnya telah mendapat pengiktirafan sebagai warisan tidak ketara milik Indonesia oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 20209. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan, batik kedua-dua negara ini mempunyai ciri yang berbeza antara satu sama lain. Jadi, kerajaan terus mempromosikan batik Malaysia sebagai antara seni tekstil warisan negara kita. Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam mempromosikan batik Malaysia termasuklah sambutan Hari Batik Malaysia pada 3 Disember setiap tahun. Pemilihan tarikh tersebut adalah sebagai tanda penghargaan atas segala usaha isteri kepada mantan Perdana Menteri yang kelima, Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood yang memulakan gerakan Malaysia Batik-Crafted for The World, untuk membawa batik Malaysia ke persada antarabangsa.

Pemilihan batik kasual untuk digayakan oleh kontinjen negara semasa upacara pembukaan Sukan SEA 2025 baru-baru ini melambangkan identiti dan warisan Malaysia. Para atlet bukan sahaja membawa nama negara tetapi juga membawa bersama warisan bangsa melalui pemakaian batik Malaysia. Secara langsung, atlet berkenaan juga sebenarnya telah mempromosikan industri batik negara kerana temasya ini merupakan acara skala antarabangsa yang mendapat liputan meluas pelbagai media seluruh dunia. Rakyat juga dapat melihat batik bukan sekadar tekstil untuk acara rasmi kerajaan dan dalam negara semata-semata tetapi juga boleh digayakan dalam acara bertaraf antarabangsa secara kasual.

Kesimpulannya, pemilihan batik yang digayakan secara kasual oleh kontinjen negara semasa upcara pembukaan Suka SEA Thailand mampu memperkenal seterusnya memartabatkan batik Malaysia ke peringkat antarabangsa. Pemilihannya bukan sahaja melambangkan identiti nasional dan menyokong industri kreatif tetapi turut mendidik generasi muda tentang warisan bangsa. Penggunaan tektil warisan negara seperti batik dalam acara antarabangsa seperti ini wajar diteruskan kerana

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi