Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSaya datang kerja seperti biasa, senyum seperti tiada apa-apa. Tapi dalam hati, Tuhan saja tahu peritnya rasa bila dipulaukan, disindir, disuruh buat kerja orang lain dan buat kerja untuk staf yang sudah berhenti. Semuanya dilakukan tanpa penghargaan. Nak meluah, semua menjauh.
Tidak semua luka hadir dalam bentuk yang dapat dilihat. Dalam organisasi, wujud kecederaan psikososial yang tercetus daripada pengasingan sosial oleh rakan sekerja. Fenomena “pulau kawan” berlaku secara senyap, namun membawa implikasi besar terhadap kesejahteraan emosi dan motivasi individu.
Walaupun sering dianggap remeh, pengasingan yang disengajakan mampu menjejaskan prestasi serta keseimbangan mental pekerja. Dialog di atas mencerminkan pengalaman sebenar mereka yang bergelut dalam budaya negatif yang sukar dikesan tetapi semakin berleluasa.
Kebanyakan pekerja datang ke pejabat dengan tekanan emosi yang tidak kelihatan. Mereka tidak menangis di depan orang. Tetapi setiap hari membawa pulang beban yang menyesakkan dada.
Perkara tersebut berlaku apabila seseorang dipinggirkan secara senyap, tidak diajak berbincang atau dijadikan sasaran gosip. Dalam istilah akademik, dikenali sebagai “workplace ostracism”, iaitu pengasingan sosial yang disengajakan.
Kajian oleh Universiti Utara Malaysia (UUM, 2023) melalui artikel; Workplace Ostracism and Banking Employees’ Counterproductive Work Behavior in the Malaysian Banking Sector, menunjukkan bahawa pekerja yang diabaikan di tempat kerja akan menunjukkan penurunan produktiviti, semangat kerja dan keyakinan diri. Mereka juga lebih mudah melakukan kesilapan akibat tekanan emosi.
Begitu juga dapatan kajian oleh TalentCorp Malaysia (2023) yang mendapati 35 peratus pekerja muda Malaysia pernah mengalami pengalaman sebegini. Mereka dibuli secara pasif, dipinggirkan oleh rakan sekerja atau diberi beban kerja yang tidak adil. Lebih mengejutkan, 59 peratus pekerja Malaysia mengaku sanggup berhenti kerja jika suasana pejabat mereka terlalu negatif (laporan New Straits Times, Mac tahun 2025).
Jenis-Jenis Buli di Tempat Kerja
Kajian oleh Walisongo Journal (2024) bertajuk Types of Bullies at Workplace in Malaysia mengenal pasti beberapa bentuk utama buli organisasi:
Kementerian Sumber Manusia (2024) mengesahkan laporan bahawa aduan buli tempat kerja meningkat 28 peratus sejak tahun 2021, terutama dalam sektor awam dan korporat. Bentuk buli paling banyak dilaporkan ialah “silent bullying” yakni pengasingan, gosip dan manipulasi kerja.
Kesan Psikologi dan Emosi terhadap Mangsa
Kajian oleh BMC Public Health (2019) mendapati 39.1 peratus pekerja Malaysia pernah dibuli di tempat kerja dan kesan psikologinya hampir sama seperti trauma fizikal.
Menurut pakar psikologi organisasi, Prof. Madya Dr. Siti Marziah Zakaria (Universiti Malaya, 2023):
Otak manusia bertindak balas terhadap pengasingan sosial seolah-olah sedang menanggung kesakitan fizikal. Individu yang dipulaukan akan mengalami keletihan mental, insomnia, rasa tidak berharga dan hilang tumpuan kerja.
Mangsa sering menunjukkan tanda-tanda seperti:
Ini bukan kelemahan, tetapi tanda kecederaan emosi yang teruk akibat persekitaran toksik.
Manipulasi Halus
Satu daripada aspek paling menyakitkan ialah rakan sekerja bermuka dua atau dalam erti kata mudah berpura-pura baik di depan, tapi menikam di belakang. Mereka menggunakan kelemahan orang lain untuk menaikkan diri sendiri.
Kajian oleh Workplace Wellness Asia (2024) mendapati pekerja yang terdedah kepada rakan sekerja manipulatif dan toksik mengalami penurunan motivasi kerja sebanyak 40 peratus dalam tempoh enam bulan dan dua kali ganda lebih mudah mengalami simptom burnout.
Fenomena ini digelar toxic collegiality.Berlaku apabila hubungan kerja kelihatan “baik di permukaan”, tetapi sebenarnya dipenuhi persaingan tidak sihat, hasad dengki meninggi dan manipulasi kuasa.
Apabila Tanggungjawab Menjadi Penindasan
Menurut Kementerian Sumber Manusia (2024), pekerja mempunyai hak untuk menolak tugasan di luar deskripsi kerja jika:
Namun begitu, budaya kerja di Malaysia sering memanipulasi rasa “tanggungjawab” untuk jadikan pekerja berdedikasi sebagai sasaran beban tambahan.
Jalan Keluar dari Lingkaran Toksik
Tidak semua keadaan boleh diubah, tetapi ada langkah yang boleh diambil:
Refleksi: Luka Yang Tidak Dapat Dilihat
Sudah tiba masanya organisasi melihat semula definisi produktiviti kerana kerja yang dilakukan dengan hati yang luka tidak akan pernah menghasilkan keikhlasan sebenar. Kajian telah membuktikan, pekerja yang dihormati, didengar dan dilayan dengan adil akan memberi prestasi yang lebih baik berbanding mereka yang ditekan dan dipinggirkan. Maka, setiap majikan dan rakan sekerja wajar bertanya:
Apakah tempat kerja kita menyembuhkan, atau menyakitkan?