Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAnugerah Grammy ke-68 yang berlangsung pada 1 Februari lepas menyaksikan satu rentetan peristiwa penting dalam landskap muzik global. Malam itu bukan sekadar malam pengiktirafan, tetapi sebagai cerminan perubahan selera dan kuasa budaya dalam industri muzik arus perdana.
Malam penuh gilang-gemilang itu meraikan kepelbagaian genre, bahasa dan generasi, dihangatkan dengan persembahan daripada barisan bintang seperti Sabrina Carpenter, Lady Gaga, Justin Bieber, Tyler dan The Creator.
Detik paling ikonik tercipta apabila Bad Bunny dinobatkan sebagai pemenang Album of the Year, sekali gus mencipta sejarah apabila muzik berbahasa Sepanyol diangkat ke aras pengiktirafan tertinggi dunia.
Kemenangan Bad Bunny ini boleh dibaca sebagai tanda peralihan hierarki budaya yang semakin ketara dalam muzik global. Bahasa dan identiti yang suatu ketika dahulu berada di pinggir kini bergerak ke pusat arus perdana.
Anugerah Grammy sebagai institusi yang sering dikritik kerana kecenderungannya terhadap norma lama industri, dilihat perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan realiti pendengar global yang semakin beragam.
Dalam konteks tersebut, anugerah yang disampaikan malam itu bukan sekadar mengiktiraf pencapaian muzik, tetapi turut mengesahkan perubahan kuasa budaya yang sedang berlaku.
Di sebalik kemeriahan tersebut, sorotan utama wajar diberikan kepada kemenangan Billie Eilish menerusi lagu Wildflower sebagai Song of the Year. Kemenangan ini menandakan pengiktirafan ketiganya dalam kategori berprestij tersebut, selepas Bad Guy yang memenangi anugerah sama pada tahun 2020, serta What Was I Made For? yang diangkat sebagai Song of the Year pada Anugerah Grammy ke-66.
Jika dua kemenangan terdahulu sering dibaca dalam konteks fenomena budaya dan jiwa generasi, kemenangan Wildflower pula terasa lebih senyap dan tenang—seolah-olah pemilihan kali ini memilih untuk mengiktiraf kehalusan penulisan lagu, bukan sekadar impak sensasi.
Pencapaian ini bukan sekadar angka atau statistik, malah memperlihatkan perjalanan kreatif yang semakin jelas arahnya. Daripada imej “budak nakal” yang mencabar norma pop melalui Bad Guy, Billie bergerak ke fasa pencarian makna diri dalam What Was I Made For?, sebelum sampai kepada penulisan yang lebih berlapik dan empati dalam Wildflower.
Evolusi ini menandakan peralihan penting—daripada provokasi visual dan ironi, kepada kejujuran emosi yang lebih terkawal dan matang.
Kemunculan Billie Eilish bermula melalui lagu Ocean Eyes pada tahun 2015, sebuah karya yang dirakam secara minimalis dan menjadi tular tanpa sokongan. Kejayaan ini membina asas kukuh kepada pelancaran EP Don’t Smile at Me pada tahun 2017, sebelum album sulung When We All Fall Asleep, Where Do We Go? (2019) mengukuhkan identitinya sebagai figura yang menolak stereotaip bintang pop konvensional.
Pada era ini, pilihan visual yang ditonjolkan Billie dengan berpakaian longgar, warna gelap dan ekspresi muram—berfungsi sebagai strategi sedar untuk mengawal representasi tubuh dan identiti, khususnya dalam industri yang sering memerangkap artis wanita muda dalam acuan tertentu.
Tajuk EP, “Jangan Senyum Padaku” jelas memberi mesej ini.
Imej “budak nakal” yang sering dilabelkan kepada Billie dalam era Bad Guy bukan sekadar provokasi kosong, tetapi strategi budaya yang mungkin disengajakan. Melalui lagu tersebut, Billie menggabungkan bunyi bes yang berat dengan vokal berbisik yang sinis untuk menyindir gambaran lazim tentang kuasa dan kelelakian dalam muzik pop.
Pendekatan nyanyian yang santai ini, meskipun pernah dikritik sebagai “kurang vokal”, akhirnya menjadi pembaharuan penting yang memecah tradisi pop arus perdana yang bergantung pada vokal lantang dan dramatik.
Kemenangan Bad Guy sebagai Song of the Year dalam Anugerah Grammy 2020 menandakan penerimaan institusi terhadap suara baharu yang ironik, tidak patuh, dan berani mengganggu jangkaan.
Namun begitu, kejayaan besar tersebut turut membawa tekanan baharu—populariti melampau, pendedahan awam dan beban identiti yang dibina oleh khalayak. Tekanan inilah yang mendorong Billie memasuki fasa refleksi seterusnya.
Peralihan ini menjadi semakin jelas dalam album Happier Than Ever (2021), apabila Billie tampil dengan ekspresi diri yang lebih terbuka dan sedar. Jika sebelum ini pakaian longgar berfungsi sebagai perisai, era ini memperlihatkan keterbukaan sebagai satu pilihan berkuasa—bukan tunduk kepada industri, tetapi usaha mengambil semula kawalan terhadap tubuh dan naratif diri.

Perubahan imej dan kesedaran ini membuka ruang kepada lagu What Was I Made For?, sebuah balada introspektif yang dicipta untuk filem Barbie. Dalam lagu ini, Billie tidak lagi bertanya bagaimana dirinya dilihat oleh dunia, sebaliknya mempersoalkan tujuan dan makna kewujudannya sebagai manusia.
Dengan vokal yang halus dan iringan piano yang minimalis, lagu ini merangkum krisis identiti dan rasa kehilangan arah dalam kehidupan moden. Keikhlasan emosinya bukan sahaja mengukuhkan kematangan seni Billie, malah membawanya meraih kemenangan Song of the Year buat kali kedua pada Anugerah Grammy ke-66.
Kemuncak kepada perjalanan artistik ini dizahirkan melalui album ketiganya, Hit Me Hard and Soft (2024), yang menjadi landasan kepada kemenangan Wildflower di Grammy ke-68. Album ini memperlihatkan kematangan yang tidak lagi terperangkap antara pesona “budak nakal” dengan kesedihan eksistensinya, sebaliknya mendalami emosi sedar yang wujud dalam kerumitan manusia.
Billie mengolah emosi dengan terkawal dan jujur, bergerak secara lembut namun tegas, serta terasa organik dalam pendekatannya.
Menerusi Wildflower, Billie kembali dengan kekuatan penulisan yang lebih puitis dan berlapik, namun tetap membawa impak emosi yang tajam. Lagu ini bukan sahaja mempamerkan kestabilan vokal yang lebih matang, malah menggabungkan kehalusan emosi era awal dengan kualiti produksi yang lebih bersahaja dan dewasa.
Kemenangan Wildflower sebagai Song of the Year bukan sekadar melengkapkan “hatrik” Billie Eilish dalam kategori utama Grammy, tetapi menandakan satu perubahan definisi tentang apa yang dianggap sebagai lagu terbaik.
Daripada imej “budak nakal” yang provokatif kepada seorang artis yang berani mendepani kerapuhan jiwa, Billie Eilish membuktikan bahawa evolusi yang jujur—bukan konsistensi imej—adalah kunci kepada ketahanan seni. Dalam dunia muzik yang semakin bising dan kompetitif, kemenangan ini seolah-olah menegaskan bahawa kesenyapan, empati dan kehalusan emosi masih mempunyai nilai. Billie bukan sekadar bintang pop generasi baharu, tetapi suara penting yang membantu mentakrifkan semula arah muzik popular global.