Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada tahun ini bermulalah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). TMM2026 bukan sekadar kempen pelancongan, malah menjadi manifestasi aspirasi negara bagi menonjolkan pengalaman yang inklusif berteraskan identiti budaya dan alam semula jadi Malaysia kepada dunia.
Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) telah mengorak langkah apabila memperkenalkan “Rimba”, iaitu sebuah ruang berinspirasikan alam semula jadi. Kewujudannya diyakini dan diharapkan dapat memberi pengalaman unik kepada semua penumpang yang singgah dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Pengarah Urusan MAHB, YBhg. Datuk Mohd. Izani Ghani, berkata “Rimba” diwujudkan sebagai pelengkap bagi kemudahan sedia ada di KLIA, dengan menampilkan suasana hijau yang memberikan kelegaan fizikal dan emosi kepada penumpang, khususnya mereka yang menunggu penerbangan sambungan.
Menurut beliau, sebagai pintu masuk utama Malaysia, KLIA bukan sekadar berfungsi sebagai hab pengangkutan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan awal pelawat terhadap negara.

“Penambahbaikan seperti “Rimba” bukan sahaja meningkatkan keselesaan penumpang, malah menyokong semangat TMM2026 dengan menonjolkan identiti semula jadi negara, serta budaya perkhidmatan Malaysia kepada pelancong yang tiba atau transit,” kata Datuk Mohd. Izani.
Tambah beliau, faktor pengalaman dan emosi penumpang kini menjadi unsur penting dalam penilaian penanda aras antarabangsa seperti Skytrax World Airport Awards, dan ACI Airport Service Quality (ASQ).
“Lapangan terbang hari ini tidak lagi bersaing dari segi kecekapan operasi semata-mata, sebaliknya pengalaman menyeluruh penumpang menjadi penentu,” jelas Mohd. Izani.
Dengan sekitar 50 hingga 60 juta penumpang melalui KLIA setiap tahun, ujarnya lagi, pengalaman semasa transit amat mempengaruhi persepsi mereka terhadap negara dan lapangan terbang ini.
“Rimba” yang meliputi keluasan 970 meter persegi menampilkan pintu masuk yang diperbaharui, kehijauan landskap yang dipertingkatkan, pencahayaan rotan hasil kraftangan tempatan, serta susun atur tempat duduk berkonsep taman.
Kesemua unsur tersebut direka untuk mengurangkan keletihan perjalanan, memberikan kelegaan visual dan menyokong pergerakan penumpang yang lebih lancar di ruang legar satelit.
Penambahbaikan “Rimba” dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, dengan fasa seterusnya bakal memperkenalkan tawaran premium serta kemudahan tambahan yang lebih hampir dengan kaunter sambungan, dan kaunter maklumat.
Inisiatif ini diharap dapat membentuk tanggapan positif serta mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan serantau yang bukan sahaja cekap, malah menawarkan pengalaman bermakna kepada penumpang,” ujarnya.
“Rimba” diberi nafas baharu dari konsep lama, iaitu Laluan Kayu Hutan (Jungle Boardwalk) kepada ruang rehat moden yang menyatukan unsur hijau, pencahayaan rotan hasil kraftangan tempatan dan susunan tempat duduk bergaya taman dalam suasana tenang, serta menyegarkan.
Laluan tersebut direka dan dibina bukan sahaja bertujuan mengurangkan keletihan perjalanan, tetapi juga untuk memberikan pengalaman visual yang mengangkat keunikan flora Malaysia.
“Rimba” membawa mesej penting dalam konteks pelancongan moden, iaitu pengalaman yang sebenar kepada alam semula jadi boleh diwujudkan walaupun di hab penerbangan antarabangsa. Malah tempat tersebut memperkayakan persinggahan penumpang dengan suasana yang tidak sahaja estetik, tetapi turut memupuk hubungan emosi, dan kesedaran terhadap warisan alam negara.
Selain itu, “Rimba” mampu memperkukuhkan persepsi positif pelancong terhadap Malaysia sebagai destinasi yang tidak hanya mempesonakan, tetapi juga menghargai alam semula jadi sejak detik pertama ketibaan mereka.
Bagi jutaan penumpang yang melalui KLIA setiap tahun, pengalaman transit sering kali menjadi kenangan pertama, dan terakhir tentang Malaysia.
Penawaran “Rimba” mendukung usaha meningkatkan pengalaman penumpang dengan memberi ruang rehat yang lebih selesa, suasana yang tenang, serta elemen visual yang mengimbangi ketegangan perjalanan.
Ini sejajar dengan fokus TMM2026 yang mahu menyediakan pengalaman pelancongan berteraskan nilai, budaya dan alam kepada pengunjung antarabangsa, serta pelancong domestik.

Unsur-unsur seperti kehijauan yang dipertingkatkan, tema alam semula jadi dan penggunaan bahan tempatan juga memperlihatkan komitmen terhadap warisan budaya, dan estetika Malaysia.
Secara tidak langsung hal ini memberi peluang kepada pelawat, khususnya yang transit, untuk merasai “rasa Malaysia” bermula di lapangan terbang – bermula dari layanan, seni bina, hingga nilai warisan.
“Rimba” bukan sekadar ruang rehat, tetapi ia juga mencerminkan arah perubahan dalam pendekatan pengurusan infrastruktur pelancongan untuk menyokong tujuan memelihara alam sekitar.
Taman dan unsur hijau di dalam ruang terminal membantu menjana penyejukan semula jadi, menambah oksigen serta memberikan kesan psikologi positif kepada penumpang.
Reka bentuk “Rimba” menyokong prinsip reka bentuk biofilik yang menggalakkan hubungan intuitif antara manusia dengan alam sekitar, sambil mengurangkan kebergantungan kepada sistem kawalan iklim yang intensif tenaga.
Beberapa daya usaha sedemikian seiring dengan matlamat Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui reka bentuk mampan, dan pemeliharaan ruang hijau, mencerminkan komitmen negara dalam agenda global menangani perubahan iklim.
Sebagai pintu masuk utama negara, KLIA mempunyai peranan strategik dalam membentuk tanggapan awal pelancong terhadap Malaysia.
Dengan integrasi “Rimba” dalam pengalaman terminal, lapangan terbang bukan sahaja menyediakan kemudahan asas, tetapi juga menjunjung tinggi nilai estetika, budaya dan alam yang akan sentiasa dalam kenangan para pelawat.
Inisiatif ini memberi dimensi baharu kepada pengalaman pelancongan, sejajar dengan aspirasi TMM2026 untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan dunia yang selesa, berbudaya, dan mampan.