Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam budaya Melayu-Islam, kunjung-mengunjung bukan sekadar tradisi sosial, tetapi jambatan yang menyambung kembali silaturahim yang terpisah oleh masa dan jarak.
Dalam budaya masyarakat Melayu-Islam, Aidilfitri sejak dahulu terkenal dengan tradisi kunjung-mengunjung, ziarah – menziarahi dan bermaaf-maafan. Tradisi ini bukan sahaja mempererat silaturahim, malah menjadi medan memulihkan hubungan yang pernah renggang.
Namun begitu, perubahan gaya hidup, nilai dan adab dalam budaya kunjung-mengunjung semakin terhakis. Adakalanya tuan rumah terlupa akan tanggungjawab melayan tetamu, manakala tetamu pula datang tanpa memahami adab bertandang. Akibatnya, ziarah yang sepatutnya menjadi ruang mengeratkan kasih sayang, bertukar menjadi pengalaman yang kurang menyenangkan.
Menariknya, nilai-nilai murni ini sebenarnya telah lama diungkapkan dalam lagu raya klasik yang sering berkumandang setiap kali menjelang Syawal.
“Yang jauh berkirim salam
Yang dekat berkunjung-kunjungan
Maaf dipinta dan diberi
Semoga ikatan berkekalan abadi.”
Lirik ini membawa mesej yang jelas — Aidilfitri ialah waktu untuk merapatkan yang jauh dan mendekatkan yang dekat.
Makna Ziarah dalam Tradisi Aidilfitri
Budaya kunjung-mengunjung bukan sekadar adat sosial, tetapi mempunyai nilai spiritual dan kemasyarakatan yang mendalam. Dalam tradisi Melayu, rumah terbuka atau ziarah raya menjadi medan menyambung semula hubungan kekeluargaan yang mungkin terputus kerana jarak, kesibukan kerja, atau perbezaan pandangan hidup.
Di pagi raya, masyarakat dahulu akan menziarahi rumah sanak saudara bermula dengan keluarga terdekat. Anak-anak akan dibawa bersama supaya mereka mengenali saudara-mara dan belajar tentang kepentingan menjaga silaturahim.
“Kita mengeratkan semula
Hubungan saudara yang terpisah.”
Adab Anak Tuan Rumah yang Semakin Dilupakan
Anak-anak tuan rumah diajar untuk menghormati tetamu. Mereka akan menyambut kedatangan tetamu dengan senyuman, memberi salam, dan membantu ibu bapa menghidangkan makanan. Namun hari ini, ada keadaan yang agak berbeza;
Perubahan ini mungkin dipengaruhi oleh gaya hidup digital dan kurangnya penekanan terhadap adab dalam keluarga.Walhal dalam budaya Melayu tradisional, anak ialah cerminan didikan rumah tangga. Cara mereka melayan tetamu menggambarkan nilai yang diajar oleh ibu bapa.
Adab Tetamu yang Perlu Dijaga
Dalam masa yang sama, tetamu juga mempunyai adab yang perlu dipelihara. Masyarakat dahulu sering mengingatkan beberapa perkara ketika bertandang:
Malangnya, dalam sesetengah situasi hari ini, ada tetamu yang datang dengan sikap kurang sensitif — bertanya soalan peribadi yang tidak selesa, membuat perbandingan, atau terlalu lama berada di rumah sehingga menyukarkan tuan rumah mengurus tetamu lain. Ziarah yang sepatutnya membawa kegembiraan akhirnya boleh menimbulkan rasa tidak selesa.
Empati dalam Kegembiraan
Satu daripada nilai penting yang sering terlepas pandang dalam suasana meriah Aidilfitri, iaitu empati terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
“Dalam kita bergembira
Pasti ada yang berduka
Enak menjamu selera
Jangan lupa yang tiada.”
Aidilfitri bukan sekadar tentang juadah yang banyak atau rumah yang meriah dengan tetamu, tetapi tentang kepekaan terhadap mereka yang tidak mampu menyambutnya dengan kemewahan — golongan miskin, anak yatim, warga emas yang tinggal bersendirian, atau mereka yang kehilangan insan tersayang. Menyapa dengan salam, senyuman, dan sedikit masa yang diluangkan mampu mengubati kesunyian seseorang.
Menghidupkan Semula Adab Ziarah
Budaya kunjung-mengunjung sebenarnya masih relevan dalam masyarakat moden. Namun begitu, memerlukan usaha untuk menghidupkan kembali adab dan nilai yang pernah menjadi asas tradisi ini. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah:
Jika adab ini dipelihara, budaya ziarah akan terus menjadi tradisi yang menyatukan masyarakat.
Aidilfitri sebagai Jambatan Hati
Pada akhirnya, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi jambatan hati antara manusia. Setiap insan diberi peluang untuk memohon maaf, melupakan sengketa, dan memulakan semula hubungan dengan jiwa yang lebih bersih.
Seperti yang diungkapkan dalam lirik lagu raya tersebut:
“Maaf dipinta dan diberi
Semoga ikatan berkekalan abadi.”
Dalam dunia yang semakin pantas dan individualistik, budaya kunjung-mengunjung sebenarnya menjadi pengingat bahawa hubungan manusia tidak boleh digantikan oleh teknologi atau media sosial.
Perubahan Salam dalam Budaya Kunjung-Mengunjung
Satu perubahan kecil tetapi bermakna dalam budaya kunjung-mengunjung hari ini ialah cara memberi salam. Dalam tradisi masyarakat Melayu-Islam dahulu, ziarah sentiasa dimulai dengan ucapan salam sebagai tanda hormat dan doa kesejahteraan kepada tuan rumah.
Ucapan “Assalamualaikum” bukan sekadar sapaan, tetapi mengandungi doa keamanan dan keberkatan. Malah turut menandakan bahawa tetamu datang dengan niat yang baik.
Namun dalam realiti hari ini, ucapan salam semakin jarang kedengaran. Ada yang sekadar menyapa dengan kata ringkas seperti “hai”, “hello”, atau terus masuk tanpa memberi salam dengan sempurna. Perubahan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi sebenarnya menggambarkan bagaimana nilai adab perlahan-lahan berubah dalam kehidupan moden.
Dalam budaya Islam, salam ialah pintu kepada silaturahim. Bukan sekadar kata-kata, tetapi lambang kerendahan hati dan penghormatan antara sesama manusia.
Budaya Tertib Duduk yang Semakin Longgar
Selain cara memberi salam, perubahan juga dapat dilihat pada tertib duduk ketika berkunjung. Dalam masyarakat Melayu dahulu, adab duduk sangat dijaga. Wanita lazimnya duduk bersimpuh, manakala lelaki duduk bersila di atas lantai. Jika duduk di kerusi sekalipun, mereka tetap menjaga kesopanan dan posisi tubuh.
Adab ini bukan sekadar soal cara duduk, tetapi melambangkan sikap hormat terhadap tuan rumah. Suasana moden hari ini, keadaan tersebut semakin berubah. Ada tetamu yang duduk di tempat yang tidak sesuai seperti di muka pintu, di tangga rumah, atau di laluan keluar masuk tetamu lain. Ada juga yang duduk dengan posisi yang kurang sopan seperti mengangkang, bersandar berlebihan, atau meletakkan kaki di atas tempat duduk sofa.
Lebih janggal lagi apabila ada yang duduk di tempat letak tangan sofa sementara kaki pula memijak kusyen tempat duduk. Perkara-perkara seperti ini mungkin dianggap remeh, tetapi sebenarnya mencerminkan tahap kesedaran terhadap adab dalam ruang sosial. Rumah seseorang ialah ruang peribadi yang wajar dihormati, dan cara kita duduk di dalamnya juga mencerminkan penghormatan tersebut.
Budaya Makan dan Pembaziran
Aidilfitri juga sinonim dengan pelbagai juadah seperti ketupat, lemang, rendang dan kuih-muih tradisional. Namun dalam kegembiraan menikmati hidangan raya, adab ketika makan kadangkala terabai.
Antara perkara yang sering berlaku ialah mengambil makanan terlalu banyak sehingga memenuhi pinggan, tetapi akhirnya tidak dihabiskan. Makanan yang berbaki kemudian dibuang begitu sahaja.Perbuatan ini bukan sahaja membazir, malah bertentangan dengan nilai kesederhanaan yang diajar dalam Islam.
Selain itu, ada juga situasi di mana tetamu makan dengan terlalu gelojoh, bercakap ketika mulut penuh dengan makanan, atau meninggalkan sisa makanan yang bersepah di atas meja dan lantai.
Dalam budaya lama, anak-anak sering diingatkan supaya mengambil makanan sekadar yang mampu dimakan. Jika ingin menambah, mereka boleh mengambil lagi selepas itu.
Adab makan seperti ini bukan sekadar menjaga kebersihan, tetapi juga menghargai usaha tuan rumah yang menyediakan hidangan dengan penuh kesungguhan.
Adab Mengakhiri Ziarah
Satu lagi budaya lama yang semakin jarang diamalkan ialah cara mengakhiri kunjungan. Dalam masyarakat dahulu, sebelum pulang, tetamu akan sekali lagi bersalaman dengan tuan rumah sambil memohon maaf jika sepanjang ziarah ada kata-kata yang kurang menyenangkan.
Tuan rumah pula akan membalas dengan ucapan mesra serta menjemput tetamu untuk datang berkunjung ke rumah mereka pada masa yang lain. Pertukaran kata seperti ini mencerminkan keikhlasan dalam menjaga hubungan.
Namun dalam sesetengah keadaan hari ini, ziarah berakhir dengan sangat ringkas. Tetamu bersalaman sepintas lalu dan terus beredar tanpa sempat berbual atau mengucapkan kata-kata perpisahan yang lebih mesra. Budaya menjemput semula ke rumah juga semakin jarang kedengaran.
Walaupun kelihatan kecil, detik akhir sebelum pulang sebenarnya mempunyai makna besar dalam meninggalkan kesan baik terhadap hubungan antara tuan rumah dan tetamu.
Mengembalikan Jiwa Aidilfitri
Pada akhirnya, budaya kunjung-mengunjung bukan sekadar adat bermusim yang hadir setahun sekali. Perkara tersebut merupakan cerminan nilai kemanusiaan yang telah lama menjadi asas dalam kehidupan masyarakat Melayu-Islam — nilai hormat, empati, kesederhanaan dan kasih sayang.
Aidilfitri memberikan ruang yang jarang berlaku dalam kehidupan moden yang serba pantas. Pada hari itulah pintu rumah dibuka luas, tangan dihulurkan untuk bersalaman, dan hati dilapangkan untuk saling memaafkan. Dalam suasana seperti ini, adab bukan sekadar pelengkap, tetapi jiwa kepada pertemuan antara manusia.
Namun begitu, apabila adab semakin diabaikan — daripada cara memberi salam, tertib duduk, cara makan, hingga cara berbicara — makna sebenar kunjung-mengunjung perlahan-lahan boleh terhakis. Ziarah yang sepatutnya menyatukan hati akhirnya menjadi sekadar rutin sosial tanpa kehangatan yang sebenar.
Jika adab dan nilai ini terus dipelihara, budaya kunjung-mengunjung tidak akan sekadar menjadi tradisi lama yang dikenang, tetapi akan terus hidup sebagai warisan sosial yang menyatukan masyarakat dari satu generasi ke generasi yang lain.