Diterbitkan pada 14 Mac 2026, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bagi masyarakat Malaysia, lagu raya bukan sekadar hiburan bermusim, malah menjadi simbol penyatuan pelbagai generasi yang berkongsi memori, emosi dan tradisi yang sama sejak dahulu hingga kini.

Sejak dahulu lagi, lagu raya sering menjadi siulan masyarakat setiap kali menjelang Syawal. Lagu-lagu ini membawa nilai nostalgia yang kuat, mengingatkan pendengar kepada suasana pulang ke kampung, berkumpul bersama keluarga serta menghidupkan semangat kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Walaupun generasi muda kini lebih terdedah kepada muzik moden dan platform digital, lagu raya tetap mempunyai tempat istimewa kerana mesejnya yang merentas zaman dan dekat dengan nilai kekeluargaan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mastura Mahamed, berkata lagu raya berperanan sebagai jambatan komunikasi yang mampu merapatkan jurang antara generasi.

Apabila lagu raya seperti “Selamat Hari Raya” didengar dan dihayati bersama, mewujudkan ruang emosi yang dikongsi oleh generasi muda, dewasa dan warga emas. Dalam komunikasi, pengalaman emosi bersama ini penting kerana dapat menurunkan jurang psikologi dan membuka ruang interaksi yang lebih mesra, katanya.

Tambah beliau, Aidilfitri sendiri membawa mesej silaturahim, bermaaf-maafan dan kebersamaan, manakala lagu raya berfungsi sebagai medium yang mengingatkan masyarakat bahawa perbezaan umur tidak sepatutnya memisahkan hubungan kekeluargaan.

Lagu raya bukan sekadar hiburan tetapi juga alat pembentukan memori sosial. Apabila sesebuah lagu dikaitkan dengan suasana rumah, keluarga, juadah serta kunjungan sanak saudara, hal tersebut mengukuhkan identiti bersama sebagai sebuah keluarga dan juga masyarakat.

Dari aspek komunikasi memori kolektif ini sangat penting kerana menjadi bahan perbualan, nostalgia dan perkongsian cerita antara generasi. Itu yang menjadikan hubungan lebih hangat dan bermakna.

Dalam era muzik kontemporari, lagu raya turut mengalami evolusi dari segi susunan muzik dan gaya penyampaian. Irama tradisional kini digabungkan dengan elemen moden seperti pop, Rhythm and Blues (R&B) dan elektronik bagi menarik perhatian generasi muda.

Pendekatan ini menjadikan lagu raya lebih segar dan relevan serta memiliki cita rasa semasa tanpa menghilangkan nilai asalnya yang sarat dengan unsur kekeluargaan, kesyukuran dan kebersamaan.

Dr. Mastura berpandangan, apabila pelbagai generasi boleh menyanyikan lagu raya bersama, komunikasi sebenarnya berlaku bukan sahaja melalui kata-kata tetapi juga melalui ritma, memori dan ekspresi yang dikongsi bersama.

Dari sudut kualiti hidup momen kebersamaan seperti ini memberi kesan positif kepada kesejahteraan emosi, khususnya apabila suasana raya menjadi lebih inklusif dan menyeronokkan untuk semua peringkat umur

Selain itu, lagu raya juga memainkan peranan penting dalam mencipta trend setiap kali musim perayaan. Daripada cabaran tarian di media sosial, video kreatif keluarga sehinggalah kepada kandungan digital yang tular, lagu raya sering menjadi latar kepada pelbagai bentuk ekspresi budaya masyarakat.

Fenomena ini menunjukkan bagaimana muzik perayaan mampu menghubungkan tradisi dengan gaya hidup digital masa kini.

Dari sudut estetika, kekuatan lagu raya bukan sahaja terletak pada melodi yang merdu, tetapi juga pada lirik yang puitis dan sarat nilai kemanusiaan serta menjadi medium yang mengingatkan masyarakat tentang nilai murni yang menjadi teras sambutan Aidilfitri.

Selain itu, lagu raya mempunyai keupayaan unik untuk menembusi jurang generasi. Golongan lebih berusia mungkin lebih dekat dengan lagu klasik, manakala generasi muda menikmati versi moden yang lebih segar. Apabila kedua-dua irama ini berkumandang dalam suasana perayaan, mewujudkan ruang kebersamaan yang merapatkan hubungan antara generasi.

Dr. Mastura berkata, lagu raya boleh dianggap sebagai bahasa budaya yang mudah difahami merentas generasi serta berfungsi sebagai “bahasa bersama” yang menyatukan masyarakat.

“Kadang-kadang generasi berbeza mempunyai gaya komunikasi yang berbeza, tetapi muzik dan lirik yang dekat dengan nilai kekeluargaan, tradisi dan pulang ke kampung boleh menjadi titik temu”

“Lagu membantu menyampaikan nilai budaya dalam bentuk yang lembut, mudah diterima dan tidak menghakimi,” katanya.

Dalam dunia yang semakin pantas berubah, lagu raya kekal sebagai warisan budaya yang menyatukan masyarakat. Tidak kira sama ada melalui lagu klasik yang sarat nostalgia atau lagu moden yang lebih segar, irama Aidilfitri terus menjadi simbol kegembiraan, kebersamaan dan identiti budaya yang dikongsi oleh pelbagai generasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi