Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam konteks budaya Melayu Islam, ekspresi kegembiraan Aidilfitri dizahirkan bukan sekadar melalui amalan keagamaan seperti solat sunat, zakat fitrah dan takbir raya, tetapi juga melalui seni.

Lagu raya di Malaysia berkembang sejak tahun 1950-an dan terus menjadi tradisi tahunan. Lagu seperti Dendang Perantau, Suara Takbir, Selamat Hari Raya, Satu Hari Di Hari Raya dan Balik Kampung bukan sekadar hiburan bermusim, tetapi menjadi teks budaya yang memaparkan nilai budaya murni masyarakat Malaysia.

Umumnya, lagu raya asasnya mempunyai nilai budaya murni yang diterapkan dengan memberikan tumpuan kepada aspek ketuhanan, kekeluargaan, kemaafan, kesederhanaan, perpaduan, serta keinsafan sosial.

Budaya Murni dalam Masyarakat Malaysia

Budaya murni merujuk kepada prinsip, norma dan amalan positif yang membentuk sahsiah individu serta menjamin keharmonian masyarakat. Dalam konteks Malaysia, nilai ini berpaksikan ajaran Islam dan adat Melayu yang menekankan keseimbangan antara hubungan manusia dengan Tuhan (hablum minallah) dan hubungan sesama manusia (hablum minannas).

Antara nilai budaya murni utama dalam masyarakat Melayu Islam ialah, keimanan dan ketakwaan, kasih sayang dan kekeluargaan, hormat-menghormati, kemaafan, kesederhanaan, perpaduan, muhibah, keinsafan serta kesyukuran. Lagu raya berfungsi sebagai medium komunikasi budaya yang menyampaikan nilai ini secara simbolik dan emosional. Melalui lirik dan melodi, mesej nilai murni disampaikan dengan cara yang mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Ketuhanan dan Kesyukuran

Asas utama Aidilfitri ialah kemenangan spiritual selepas sebulan berpuasa. Nilai ketuhanan jelas dipaparkan dalam lagu-lagu raya yang bertemakan takbir, doa dan kesyukuran. Lagu Suara Takbir (P. Ramlee) menggambarkan suasana takbir yang bergema sebagai simbol kemenangan umat Islam, “Terdengar suara takbir/ Memuji nama Ilahi/ rasa dalam kalbu/ tenteram dan aman selalu”. Begitu juga lagu Bila Takbir Bergema (Rafeah Buang) yang menekankan gema takbir sebagai lambang kesyukuran.

Takbir bukan sekadar lafaz, tetapi manifestasi pengiktirafan terhadap kebesaran Allah SWT. Dalam lagu Anugerah Aidilfitri (Siti Nurhaliza), Aidilfitri digambarkan sebagai anugerah Ilahi yang membawa sinar bahagia. Liriknya menekankan rasa syukur dan pengharapan agar rahmat Allah berpanjangan. Nilai ketuhanan ini menunjukkan bahawa lagu raya tidak terpisah daripada asas spiritual Islam.

Tema kekeluargaan merupakan elemen paling dominan dalam lagu raya Malaysia. Konsep “Balik kampung” (Sudirman) menjadi simbol penyatuan keluarga selepas tempoh perpisahan. Lagu Dendang Perantau (P. Ramlee) menggambarkan perasaan hiba seorang perantau yang tidak dapat pulang beraya, “Di hari raya/ terkenang daku kepada si dia/ kampungku indah nun jauh di sana/  ayah serta bundaku”.

Lirik ini menonjolkan nilai kasih sayang terhadap keluarga dan kampung halaman. Lagu ini juga mengingatkan bahawa Aidilfitri ialah masa untuk bersama insan tersayang. Lagu Balik Kampung (Sudirman) pula menzahirkan keterujaan pulang ke desa,  “Balik kampung/ hati girang.”

Nilai kekeluargaan turut terserlah dalam lagu Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda, yang menekankan kepentingan restu ibu bapa sebagai asas keberkatan hidup. Dalam konteks sosiologi, institusi keluarga merupakan unit asas masyarakat.

Lagu raya memperkukuh institusi ini dengan menanamkan kesedaran tentang tanggungjawab anak terhadap ibu bapa serta kepentingan silaturahim. Selain itu, Lagu Satu Hari Di Hari Raya Nyanyian M. Nasir dengan lirik, “Satu hari di hari raya/ kulihat wajah suci ibuku/ kulihat wajah kasih ayahku/ ku gembira/ mungkin inilah dia kebahagiaan” menggambarkan hati anak yang tulus menyayangi ibu bapa.

 Rekonsiliasi Sosial

Aidilfitri sinonim dengan amalan bermaaf-maafan. Nilai ini jelas dalam lagu Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), “Dari jauh kupohonkan ampun maaf/ Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama”. Lirik ini menekankan kerendahan hati dan kesediaan mengakui kesilapan.

Lagu Sepuluh Jari (iamNEETA) menggunakan simbol sepuluh jari sebagai lambang permohonan maaf. Simbol ini berakar dalam budaya Melayu yang mengaitkan tangan disusun sebagai tanda hormat dan insaf. Dalam lagu Air Mata Syawal (Siti Nurhaliza), unsur keinsafan digambarkan melalui tangisan dan muhasabah diri. Aidilfitri dilihat sebagai titik perubahan untuk memperbaiki diri.

Empati Sosial

Walaupun raya sering dikaitkan dengan kemeriahan, beberapa lagu menegaskan pentingnya kesederhanaan. Lagu Manusia Miskin Kaya oleh Asiah dan komposer P.Ramlee mengingatkan tentang jurang sosial dan kepentingan empati. Lagu Sesuci Lebaran oleh Siti Nurhaliza pula menekankan kesucian hati melebihi kemewahan pakaian dan hiasan. Nilai ini sejajar dengan prinsip Islam yang menekankan keadilan sosial dan kepedulian terhadap golongan kurang bernasib baik melalui zakat dan sedekah. Lagu raya menjadi medium mengingatkan masyarakat agar tidak lalai dalam kemewahan.

Nilai Perpaduan dan Keharmonian

Malaysia sebagai negara berbilang kaum menjadikan Aidilfitri sebagai perayaan nasional yang turut diraikan oleh masyarakat bukan Islam melalui konsep rumah terbuka. Lagu seperti Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) dan Hari Raya Bahagia (Jay Jay) menzahirkan kegembiraan kolektif tanpa mengira latar belakang. Lagu kontemporari seperti Anugerah Syawal (Bunkface) membuktikan bahawa nilai perpaduan kekal relevan walaupun dalam genre muzik moden. Perpaduan yang dipupuk melalui lagu raya menyumbang kepada integrasi nasional dan keharmonian sosial.

Evolusi Lagu Raya dan Kelestarian Nilai

Perkembangan lagu raya di Malaysia memperlihatkan satu perjalanan budaya yang panjang dan dinamik. Pada peringkat awal, lagu raya banyak dipengaruhi oleh irama tradisional Melayu seperti joget, zapin dan inang yang bersifat rancak, berulang dan mudah diikuti. Irama ini bukan sahaja mencerminkan sifat masyarakat Melayu yang gemar berhibur secara kolektif, malah sesuai dengan suasana kunjung-mengunjung dan rumah terbuka sempena Aidilfitri.

Lagu seperti Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini) menjadi contoh jelas bagaimana struktur muzik tradisional digabungkan dengan lirik yang sarat nilai kekeluargaan, kesyukuran dan kemaafan. Melodi yang mudah diingati serta korus yang boleh dinyanyikan bersama-sama menjadikan lagu tersebut terus malar segar walaupun telah berdekad lamanya.

Dalam era 1960-an hingga 1980-an, lagu raya mula melalui proses pengayaan dari segi susunan muzik. Pengaruh orkestra Barat mula diserap ke dalam komposisi, menghasilkan gabungan instrumen tradisional seperti kompang dan rebana dengan elemen moden seperti string section, brass dan piano.

Pendekatan ini memperlihatkan kemampuan muzik raya menyesuaikan diri dengan perubahan selera pendengar tanpa mengorbankan nilai budaya yang menjadi terasnya. Walaupun rentak dan harmoni menjadi lebih kompleks, mesej yang disampaikan tetap berkisar kepada konsep pulang ke kampung, memohon maaf dan memperkukuh silaturahim. Hal ini membuktikan bahawa evolusi bentuk muzik tidak menghakis roh dan makna lagu raya sebagai wadah penyampaian nilai murni.

Memasuki era 1990-an dan awal 2000-an, lagu raya sudah pelbagai bentuk.. Selain balada dan pop, genre nasyid turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh dimensi spiritual lagu raya. Lagu seperti Satu Pagi Di Hari Raya (Raihan dan NowSeeHeart) menampilkan harmoni vokal berlapis yang memberi penekanan kepada unsur ketuhanan dan kesyukuran. Pendekatan ini memperlihatkan bahawa lagu raya bukan sahaja medium hiburan, tetapi juga instrumen dakwah yang lembut dan berkesan. Melalui lirik yang lebih berunsur reflektif dan insaf, lagu tersebut menonjolkan keseimbangan antara kegembiraan Syawal dengan kesedaran rohani sebagai seorang Muslim.

Selain itu, kemunculan lagu raya untuk kanak-kanak turut memperlihatkan dimensi pendidikan dalam evolusi muzik raya. Lagu seperti Lagu Raya Upin dan Ipin (Upin dan Ipin) bukan sahaja bersifat ceria dan mudah dihafal, malah mengandungi mesej yang jelas tentang adab beraya, menghormati ibu bapa serta kepentingan memohon maaf.

Pendekatan yang santai dan bersifat naratif ini menjadikan nilai budaya murni lebih mudah difahami oleh generasi muda. Dalam konteks ini, lagu raya berfungsi sebagai medium sosialisasi awal yang menanamkan norma dan etika masyarakat Melayu Islam sejak usia kanak-kanak.

Perkembangan teknologi juga memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian lagu raya. Jika dahulu lagu raya hanya berkumandang melalui radio dan piring hitam, kini disebarkan melalui televisyen, platform penstriman digital dan media sosial. Walaupun medium penyampaian berubah, kandungan nilai yang dibawa tetap konsisten. Lagu-lagu klasik masih diputarkan saban tahun, manakala lagu baharu terus dihasilkan dengan sentuhan kontemporari. Keadaan ini menunjukkan bahawa lagu raya mempunyai sifat adaptif yang membolehkannya terus relevan dalam persekitaran budaya yang sentiasa berubah.

Dari sudut sosiobudaya, kelestarian lagu raya dapat dilihat sebagai manifestasi memori kolektif masyarakat. Setiap kali lagu raya klasik diputarkan akan membangkitkan nostalgia terhadap pengalaman lampau seperti pulang ke kampung, menyediakan juadah bersama keluarga dan bersalaman memohon maaf. Unsur nostalgia ini menjadi faktor utama yang mengukuhkan kedudukan lagu raya sebagai warisan budaya tidak ketara (intangible cultural heritage). Melalui pengulangan tahunan, lagu raya memperkukuh identiti bersama dan membentuk kesinambungan tradisi antara generasi lama dan baharu.

Evolusi lagu raya di Malaysia membuktikan bahawa perubahan bentuk muzik tidak semestinya membawa perubahan nilai. Walaupun irama berkembang daripada joget dan zapin kepada balada, pop moden dan nasyid kontemporari, nilai ketuhanan, kekeluargaan, kemaafan dan perpaduan tetap menjadi inti pati yang tidak berubah. Lagu raya terus berfungsi sebagai agen transmisi budaya yang berkesan, menyatukan masyarakat dan memelihara identiti nasional. Justeru, kelestarian lagu raya bukan sekadar bergantung kepada populariti muziknya, tetapi kepada kekuatan nilai budaya murni yang terkandung di dalamnya dan diwariskan secara berterusan merentas generasi.

Analisis Rentak dan Melodi Lagu Raya Malar Segar

Keunikan lagu raya Malaysia terletak pada kombinasi elemen muzik tradisional Melayu dan pengaruh Barat. Kebanyakan lagu raya klasik menggunakan rentak joget dan zapin. Contohnya Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) dan Joget Aidilfitri (Sanisah Huri). Rentak joget dengan pola irama yang rancak dan berulang. Umumnya bagi meter 6/8, terdapat enam not lapan (quavers) dalam setiap bar muzik yang lazimnya dibahagikan kepada dua kumpulan tiga (3+3).

Tekanan (accent) utama biasanya jatuh pada kiraan pertama dan keempat. Corak ini menghasilkan rasa ayunan yang lembut dan berterusan, sesuai dengan gerakan tarian joget yang ringan dan bertenaga. Struktur ini membolehkan pola irama yang rancak dan berulang, menjadikan lagu mudah diikuti serta mendorong pergerakan fizikal seperti menari atau bertepuk tangan.

Manakala meter 3/4 pula mempunyai tiga kiraan dalam setiap bar, dengan tekanan utama pada kiraan pertama. Meter ini sering dikaitkan dengan bentuk waltz dalam muzik Barat, namun dalam konteks muzik Melayu, ia menghasilkan pergerakan yang lincah dan beralun. Dalam lagu raya berentak joget, penggunaan 3/4 memberi kesan keriangan yang stabil dan tersusun, sesuai dengan suasana kunjung-mengunjung dan perayaan.

Irama ini mudah diikuti dan sesuai untuk suasana rumah terbuka dan kunjung-mengunjung. Instrumen seperti kompang, rebana dan akordion sering digunakan untuk mewujudkan nuansa tradisional.

Selain itu, struktur balada dan orkestra seperti lagu Satu Hari Di Hari Raya (M. Nasir) dan Air Mata Syawal (Siti Nurhaliza) menggunakan pendekatan balada dengan struktur verse korus yang jelas.

Melodi balada biasanya bergerak secara bertahap (stepwise motion), menggunakan tangga nada major untuk suasana ceria dan minor untuk suasana sayu. Penggunaan string section, brass ringan dan harmoni vokal latar menghasilkan kesan dramatik yang menyentuh emosi.

Unsur nostalgia dan teknik komposisi evergreen mengaplikasikan ciri utama, iaitu melodi mudah diingati (catchy melodic hook), pengulangan korus yang kuat, lirik ringkas tetapi bermakna serta harmoni konvensional. Sebagai contoh, korus Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) mudah dinyanyikan bersama, menjadikannya lagu komuniti.

Lagu Hari Raya Bahagia (Jay Jay) pula mempunyai struktur pop 1980-an yang ringan tetapi tetap relevan hingga kini. Keabadian lagu raya juga disebabkan oleh tempo sederhana (moderato) yang sesuai untuk semua peringkat umur. Selain itu, evolusi moden dan eksperimen muzik turut berlaku. Lagu kontemporari seperti Anugerah Syawal (Bunkface) menampilkan elemen pop rock dan gitar elektrik, namun masih mengekalkan tema kekeluargaan. Lagu nasyid seperti Satu Pagi Di Hari Raya (Raihan dan NowSeeHeart) pula menggunakan harmoni vokal berlapis (layered vocal harmony) yang menekankan unsur spiritual. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun rentak berubah mengikut zaman, nilai budaya dan mesej tetap menjadi teras.

Walaupun industri muzik kini lebih komersial, lagu raya masih mengekalkan unsur nilai murni sebagai identiti utama. Cabaran globalisasi dan perubahan gaya hidup tidak menenggelamkan mesej asas ketuhanan, kekeluargaan dan kemaafan. Secara semiotik, simbol seperti takbir, kampung halaman, sepuluh jari dan air mata menjadi tanda budaya yang membawa makna mendalam dalam konteks Melayu Islam. Lagu raya bukan sekadar hiburan, tetapi teks budaya yang mengukuhkan identiti nasional.

Secara keseluruhannya, lagu raya Aidilfitri di Malaysia merupakan cerminan nilai budaya murni masyarakat Melayu Islam dan rakyat Malaysia secara umum. Nilai ketuhanan, kekeluargaan, kemaafan, kesederhanaan dan perpaduan diterapkan secara konsisten dalam lirik dan melodi.

Lagu seperti Dendang Perantau (P. Ramlee), Satu Hari Di Hari Raya (M. Nasir) dan Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) terus relevan kerana mesej nilai murninya bersifat universal. Lagu raya bukan sekadar warisan seni, tetapi khazanah budaya yang membentuk sahsiah individu, memperkukuh institusi keluarga dan memelihara keharmonian masyarakat Malaysia.

______________________

Mohd Suhaimi Bin Md Yasin merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi