Diterbitkan pada 17 Mac 2026, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Busana yang diperagakan pada Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar hanya pakaian, tetapi sebagai simbol identiti, kemenangan dan maruah bagi masyarakat Melayu.

Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, maka hari raya diraikan sebagai hari kemenangan. Memakai baju yang bersih, baharu dan kemas melambangkan fitrah, kesucian serta menzahirkan rasa syukur atas kejayaan menunaikan ibadah.

Dalam Islam, umatnya disunahkan untuk memakai pakaian yang baharu dan bersih ketika keluar menunaikan solat sunat hari raya. Bagi kaum lelaki, baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok melambangkan kesopanan dan ketertiban.

Hari ini, baju Melayu direka dengan potongan yang longgar dan sopan, selaras dengan tuntutan menutup aurat. Memakainya pada hari raya merupakan cara generasi muda melestarikan warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan zaman, sambil mengekalkan adab ketika berkunjung ke rumah sanak-saudara.

Berdasarkan trend terkini, kitaran warna untuk tahun 2026, dijangka beralih daripada warna pastel yang pudar kepada tona yang lebih berani, lebih bumi (earthy), dan lebih organik.

Antara warna utama yang diramal menjadi tumpuan untuk musim perayaan pada tahun ini ialah Strawberry Matcha yang merujuk gabungan antara merah jambu lembut (dusty pink) dengan hijau matcha yang sedikit kusam.

Warna tersebut menjadi pilihan kerana dapat memberikan imej yang segar, moden dan sangat sesuai untuk pemakai yang mahukan kelainan. Warna berikutnya ialah Midnight Terra yang melambangkan kematangan dan kemewahan.Warna ini merupakan campuran antara coklat tanah (terracotta) yang gelap dengan sedikit tona merah manggis atau oren bata.

Warna seterusnya ialah Digital Lavender atau Cyber Blue yang dipengaruhi oleh elemen teknologi dan futuristik. Ungu lavender mempunyai sedikit kesan metalik atau biru elektrik yang sangat lembut. Warna ini sangat sesuai untuk potongan baju Melayu moden Slim Fit yang menampakkan pemakai kelihatan lebih muda dan mengikut peredaran zaman.

Warna berikutnya ialah Deep Sea Emerald, iaitu hijau zamrud yang sangat gelap, hampir mencecah warna hitam. Warna ini memberikan kesan mahal dan sangat sesuai untuk sesi fotografi luar pada pagi raya.

Warna yang terakhirnya ialah Sand dan Stone yang bersifat minimalis. Warna ini merujuk kepada warna-warna neutral seperti khaki, kuning air (beige), dan kelabu batu. Warna ini menjadi pilihan kerana mudah dipadankan dengan sebarang corak samping.

Dari segi variasi potongan, Cekak Musang merupakan baju Melayu yang paling popular untuk majlis rasmi dan perayaan berbanding dengan Teluk Belanga, Sikap dan Moden. Baju Melayu Moden mengetengahkan variasi kontemporari yang menggabungkan elemen tradisional dengan potongan gaya barat. Biasanya tidak mempunyai pesak, iaitu potongan lurus pada badan dan menggunakan zip di sisi atau belakang untuk melonggarkan atau mengecilkan baju sesuai dengan keselesaan pemakai.

Baju Melayu Sikap atau kadangkala disebut Layang ialah sejenis baju Melayu tradisional yang lebih klasik dan jarang dipakai untuk harian.Kebiasaanya dipakai sebagai lapisan luar seperti jaket di atas baju Melayu biasa, selalunya digayakan oleh golongan bangsawan atau untuk majlis perkahwinan. Baju ini dipercayai telah dipakai sejak dari dari zaman Kesultanan Melayu Melaka yang berevolusi dari baju takwa atau baju belah dada.

Baju Melayu Cekak Musang pula mempunyai hubung kait yang rapat dengan evolusi busana tradisional di Tanah Melayu setelah berkembang pesat dalam era Kesultanan Johor Moden pada abad ke-19. Gelaran Cekak Musang dipercayai merujuk kepada bentuk kolar tegak yang tinggi dan melingkari leher, menyerupai cara leher musang yang dicekak atau tertutup rapat. Rekaan kolar tegak ini dikatakan mendapat inspirasi daripada pengaruh pakaian pedagang dari India dan Timur Tengah yang membawa gaya kolar tinggi ke Alam Melayu.

Satu daripada ciri paling ikonik Cekak Musang adalah penggunaan lima butang, dua di kolar dan tiga di dada yang mempunyai makna simbolik dalam budaya Islam dan Melayu. Lima butang tersebut sering dikaitkan dengan simbolik lima Rukun Islam .

Secara tradisional, mempunyai pesak, iaitu kain tambahan di sisi dan kekek, yakni kain segi empat di bawah ketiak untuk memberikan keselesaan dan ruang pergerakan. Dari segi falsafah,  benda tersebut memberikan rupa bentuk baju yang beralun dan tidak melekat pada badan, sesuai dengan konsep kesopanan dalam berpakaian tradisional Melayu.

Dari sudut pemakaian samping, tertibnya secara tradisi disebut sebagai “Berdagang Luar” yang merujuk kepada kedudukannya yang dipakai di luar baju. Hujung baju akan dimasukkan ke dalam samping yang melingkari bahagian pinggang di atas baju tersebut.

Pemakaian samping sebegini memberikan penampilan yang lebih kemas, formal, dan berstruktur, sering dikaitkan dengan gaya pemakaian di negeri-negeri Pantai Barat dan utara Semenanjung.

Baju Melayu Teluk Belanga pula disebut sebagai “Berdagang Dalam”, di mana kain samping dipakai di dalam baju. Baju akan dilepaskan di luar menutupi bahagian atas kain samping. Hanya bahagian bawah samping sahaja yang akan kelihatan di bawah hujung baju.

Gaya ini memberikan imej yang lebih santai namun tetap masih mengekalkan nilai tradisi yang tinggi.

Secara tradisi, ikatan samping bukanlah dibuat semberono sebaliknya mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Misalnya Ikatan Kepala Kain bagi lelaki yang sudah berkahwin.

Lelaki yang sudah berkahwin akan melabuhkan sampingnya di bawah paras lutut, manakala bagi anak muda atau yang belum berkahwin, adalah di atas paras lutut.

Arah punca samping (ikatan) juga ada maknanya. Jika punca samping diletakkan di sebelah kiri,  menandakan pemakai adalah orang berpangkat atau bangsawan, manakala di sebelah kanan adalah untuk rakyat biasa.

Selain itu, ikatan samping bukan sekadar untuk menetapkan kain, tetapi menjadi melambangkan kekemasan dan status si pemakai. Ikatan Lingkup adalah ikatan yang paling ringkas dan klasik, yang biasanya dipadankan dengan Baju Melayu Teluk Belanga. Kain samping dililit pada pinggang dan bahagian lebihan kain dilipat atau dilingkup ke dalam untuk mengemaskannya. Hasilnya samping akan kelihatan rata dan bersih di bahagian depan tanpa sebarang punca kain yang menonjol.

Ikatan Pancung pula sangat popular bagi pemakaian Baju Melayu Cekak Musang, terutamanya untuk majlis perkahwinan atau majlis rasmi. Samping dililit, dan salah satu hujung kain (punca) ditarik keluar dan dibiarkan terjuntai sedikit secara menyerong di bahagian hadapan atau sisi. Hasilnya, pemakaian tersebut akan memberikan rupa yang lebih segak dan berwibawa.

Pada hari ini, Ikatan Kancing menjadi pilihan buat generasi muda kerana nampak sangat kemas dan tidak mudah terurai. Teknik ini menggunakan teknik lipatan simetri di bahagian tengah seperti kipas kecil dan diselitkan dengan kemas. Kadangkala pin digunakan secara tersembunyi untuk mengekalkan bentuknya. Hasilnya, lipatan akan nampak beralun dan tersusun rapi di bahagian tengah perut.

Perbandingan ringkas antara keempat-empat jenis baju Melayu yang dinyatakan diatas boleh dilihat dalam bentuk jadual seperti berikut

Ciri-ciri Cekak Musang Teluk Belanga Baju Sikap Baju Melayu Moden
Kolar Tegak (1-2 inci) Bulat (Tanpa kolar) Tegak atau tanpa kolar Pelbagai (biasanya Cekak Musang)
Butang 5 butang 1 butang Berbelah (kadangkala tiada butang) Berzip atau butang tersembunyi
Potongan (Cut) Tradisional (Berpesak & Kekek) Tradisional (Berpesak & Kekek) Potongan pendek/jaket (luaran) Slim Fit (Tiada pesak & kekek)
Samping Di luar baju (Dagang Luar) Di dalam baju (Dagang Dalam) Di dalam atau luar (berlapis) Biasanya di luar baju
Kesan Visual Formal dan segak Santai dan ringkas Klasik dan berwibawa Kemas dan mengikut bentuk badan

Hari raya adalah masa untuk berkumpul bersama keluarga besar. Oleh itu, tradisi warna tema akan memperkukuh ikatan kekeluargaan dan memudahkan pengenalan identiti sesebuah keluarga semasa sesi bermaaf-maafan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi