Diterbitkan pada 6 April 2026, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setiap tahun dunia filem menumpukan perhatian kepada Anugerah Akademi (Oscar), sebuah acara yang sering dianggap sebagai simbol kemuncak kecemerlangan seni sinema global. Di pentas inilah karya terbaik diraikan, pelakon diangkat sebagai ikon dan industri filem memperlihatkan wajah paling gemilangnya.

Namun begitu, di sebalik gemerlapan trofi emas dan gaun karpet merah, Oscar tidak pernah benar-benar bersifat neutral. Penganjurannya sentiasa berfungsi sebagai ruang simbolik yang mempertemukan seni, kuasa dan ideologi.

Dalam edisi ke-98, kemenangan filem seperti One Battle After Another sebagai Filem Terbaik, serta pengiktirafan terhadap dokumentari seperti Mr. Nobody Against Putin, menandakan bahawa naratif yang diangkat bukan sekadar berkaitan estetika atau teknik penceritaan, tetapi juga berkait rapat dengan realiti politik global.

Tema konflik, kuasa, identiti dan kemanusiaan bukan sahaja hadir dalam teks filem, tetapi turut bergema dalam ucapan penerimaan dan simbolisme yang dipamerkan di pentas.

Fenomena ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Sejarah Oscar telah lama memperlihatkan bagaimana pentas ini menjadi ruang bagi ekspresi politik, sama ada secara tersurat atau tersirat. Tindakan Marlon Brando pada tahun 1973 yang menolak anugerah sebagai protesnya terhadap layanan kepada Orang Asli Amerika, serta ucapan Michael Moore pata tahun 2003 yang mengkritik perang Iraq, menjadi bukti bahawa Oscar sentiasa berfungsi sebagai medan wacana yang melangkaui seni semata-mata.

Dalam konteks ini, Oscar bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga sebuah teks budaya yang hidup dan mampu membentuk kesedaran politik masyarakat global.

Menerusi kerangka kajian budaya, anugerah seperti Oscar boleh difahami sebagai sebahagian daripada medan budaya yang menentukan nilai simbolik dan legitimasi sesuatu karya. Seperti yang dihujahkan oleh Pierre Bourdie, pengiktirafan dalam medan ini bukan sahaja memberi nilai estetika, tetapi juga kuasa simbolik yang mempengaruhi bagaimana sesuatu naratif diterima dan difahami oleh khalayak.

Dengan kata lain, kemenangan sesebuah filem di Oscar bukan sekadar soal kuasa artistik, tetapi juga berkait dengan jenis cerita yang dianggap penting untuk diangkat dalam wacana global.

Filem sebagai Teks Politik

Dalam memahami Oscar 2026 sebagai pentas politik perhatian perlu diberikan terlebih dahulu kepada teks utama yang diraikan, iaitu filem itu sendiri. Filem bukan sekadar medium hiburan, tetapi merupakan representasi naratif yang sarat dengan ideologi, nilai dan pandangan dunia tertentu. Menerusi kerangka ini, kemenangan sebuah filem di Oscar boleh dibaca sebagai pengiktirafan terhadap naratif yang dianggap penting dalam wacana global semasa.

Kemenangan One Battle After Another sebagai Filem Terbaik memperlihatkan kecenderungan Hollywood untuk mengangkat naratif konflik dan kuasa sebagai tema utama. Filem ini, melalui pendekatan sinematik yang bersifat realisme dramatik, menelusuri pengalaman manusia dalam situasi pertentangan yang kompleks, bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi juga psikologi dan moral. Dalam konteks ini, konflik tidak ditampilkan sebagai peristiwa semata-mata, tetapi sebagai struktur yang membentuk identiti dan pilihan manusia. Pengiktirafan terhadap filem ini menunjukkan bahawa naratif tentang konflik masih menjadi pusat kepada imaginasi global.

Seiring dengan itu, kemenangan Sinners dalam beberapa kategori utama, termasuklah lakonan dan sinematografi, memperlihatkan satu lagi dimensi penting, iaitu representasi identiti dan pengalaman sosial. Watak yang dibawakan oleh Michael B. Jordan bukan sekadar watak individu, tetapi melambangkan pengalaman kolektif yang berkait dengan sejarah, trauma dan perjuangan identiti. Dalam tradisi sinema Amerika, kemenangan seperti ini sering dibaca sebagai usaha untuk memperluas representasi dan memberi ruang kepada naratif yang sebelum ini terpinggir.

Lebih jelas lagi, dimensi politik dalam Oscar 2026 terserlah melalui kemenangan dokumentari Mr. Nobody Against Putin. Berbeza daripada filem fiksyen, dokumentari ini secara langsung berinteraksi dengan realiti geopolitik semasa. Tajuknya sendiri sudah mencerminkan posisi ideologikal yang jelas, sekali gus menandakan bahawa Oskar bukan sahaja menerima, bahkan mengangkat naratif yang bersifat kritikal terhadap kuasa politik tertentu.

Dalam hal ini, dokumentari berfungsi sebagai bentuk sinema yang paling hampir dengan wacana politik secara langsung dan pengiktirafannya menunjukkan bahawa industri filem global semakin terbuka terhadap naratif yang bersifat konfrontatif.

Selain itu, kemenangan Hamnet dalam kategori pelakon wanita terbaik turut memperlihatkan bagaimana naratif sejarah dan emosi digunakan untuk membina wacana yang lebih luas tentang kehilangan, ingatan dan kemanusiaan. Lakonan oleh Jessie Buckley mengangkat pengalaman peribadi kepada tahap universal, menjadikan kisah yang bersifat intim sebagai refleksi kepada pengalaman manusia yang lebih besar. Dalam konteks ini, politik tidak semestinya hadir dalam bentuk konflik terbuka, tetapi boleh juga hadir melalui representasi emosi, memori dan hubungan manusia.

Melalui contoh tersebut, jelas bahawa filem-filem yang diangkat dalam Oscar 2026 bukan sahaja cemerlang dari segi estetika, tetapi juga berfungsi sebagai teks politik yang mencerminkan dan membentuk wacana global. Pemilihan pemenang bukan sekadar soal teknik atau naratif, tetapi turut melibatkan pertimbangan terhadap jenis cerita yang dianggap relevan dalam konteks semasa. Dengan kata lain, Oscar berfungsi sebagai mekanisme yang menapis dan mengangkat naratif tertentu, sekali gus menentukan arah imaginasi budaya global.

Ucapan Pemenang sebagai Teks Politik

Jika filem merupakan teks utama yang diraikan dalam Oscar, maka ucapan penerimaan anugerah pula boleh dianggap sebagai “teks kedua” yang tidak kurang pentingnya. Dalam Oscar 2026, ucapan pemenang bukan sekadar ungkapan terima kasih atau penghargaan terhadap rakan produksi, tetapi telah berkembang menjadi ruang artikulasi politik yang semakin jelas, terbuka dan emosional.

Ucapan oleh Michael B. Jordan, misalnya tidak terhad kepada peranan lakonannya dalam Sinners, tetapi turut menyentuh isu keadilan sosial dan pengalaman komuniti yang sering dipinggirkan dalam sejarah sinema arus perdana. Ucapan tersebut berfungsi sebagai perluasan makna filem itu sendiri, iaitu bertindak menghubungkan naratif fiksyen dengan realiti sosial yang lebih luas. Pentas Oscar menjadi medium untuk mempertemukan pengalaman artistik dengan kesedaran politik, sekali gus memperlihatkan bahawa lakonan tidak terpisah daripada konteks sosial yang melahirkannya.

Namun begitu, detik yang paling mencuri perhatian dalam Oscar 2026 ialah intervensi langsung oleh Javier Bardem ketika menyampaikan anugerah Filem Antarabangsa Terbaik. Dengan nada yang ringkas tetapi tegas, beliau menyatakan:

“No to war and free Palestine.”

Ucapan tersebut, yang disertai dengan pemakaian lencana “No a la guerra” serta simbol Handala sebagai lambang solidariti Palestin, segara mendapat tepukan gemuruh di Dolby Theatre dan menjadi antara momen paling banyak diperkatakan dalam liputan media global.

Dalam konteks analisis budaya, tindakan Bardem ini memperlihatkan bagaimana selebriti menggunakan pentas global untuk menyampaikan mesej politik yang jelas dan tidak berselindung. Bukan lagi metafora atau sindiran halus, tetapi pernyataan langsung yang menghubungkan industri filem dengan konflik geopolitik semasa. Keberanian ini juga menandakan perubahan norma, bahawa ekspresi politik kini semakin diterima, malah dijangka dalam acara sebesar Oscar.

Selari dengan itu, ucapan oleh pengarah Sentimental Value, Joachim Trier turut memperkukuh dimensi politik yang lebih bersifat moral dan kemanusiaan. Menerusi ucapannya, beliau menegaskan bahawa:

“All adults are responsible for all children…let’s not vote for politicians…”

Kenyataan ini diinspirasikan daripada pemikiran James Baldwin (penulis  sastera Amerika Syarikat), mengalihkan wacana daripada konflik geopolitik kepada tanggungjawab etika sejagat. Trier bukan sahaja bercakap tentang filemnya, tetapi menyeru kepada kesedaran kolektif terhadap masa depan generasi akan datang, khususnya dalam dunia yang dibelenggu konflik dan ketidakstabilan. Dalam liputan lain, beliau turut mengaitkan isu ini dengan penderitaan kanak-kanak di kawasan konflik seperti Palestin, sekali gus memperluas makna ucapan tersebut kepada konteks global yang lebih luas.

Fenomena ini memperlihatkan kesinambungan tradisi lama dalam sejarah Oscar. Tindakan Marlon Brando pada tahun 1973 dan ucapan Michael Moore pada tahun 2003 sering dijadikan rujukan sebagai detik penting yang menandakan keterlibatan politik dalam acara ini.

Membezakan Oscars 2026 ialah tahap keterbukaan dan kekerapan ekspresi tersebut. Jika sebelum ini ucapan politik dilihat sebagai pengecualian, kini hampir menjadi norma yang diterima.

Menerusi kerangka teori performativiti oleh Judith Butler, ucapan ini boleh difahami sebagai tindakan yang bukan sahaja menyampaikan makna, tetapi turut membentuk realiti sosial. Setiap kata yang diucapkan di pentas Oscar bukan sekadar refleksi pendirian individu, tetapi juga berfungsi sebagai pernyataan kolektif yang boleh mempengaruhi persepsi khalayak global. Dengan liputan media yang meluas dan penyebaran melalui platform digital, ucapan ini melangkaui ruang auditorium dan menjadi sebahagian daripada wacana global.

Meskipun begitu, keterlibatan politik ini tidak berlaku dalam ruang kosong, sebaliknya membuka ruang kepada pelbagai respons daripada khalayak global, yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian seterusnya.

Dalam konteks ini, Oscar 2026 memperlihatkan bahawa ucapan penerimaan telah berubah fungsi daripada sekadar ritual penghargaan kepada bentuk intervensi budaya. Bukan sahaja mencerminkan pendirian individu, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan naratif global tentang keadilan, kuasa dan kemanusiaan. Maka, ucapan di pentas Oskar kini berfungsi sebagai salah satu medium penting dalam penghasilan dan penyebaran wacana politik kontemporari.

Simbolisme, Karpet Merah dan Performativiti Politik

Selain ucapan dan teks filem, dimensi politik dalam Oscar 2026 turut dapat dikesan melalui unsur yang sering dianggap sebagai sokongan, iaitu gaya berpakaian, aksesori dan persembahan diri di karpet merah. Dalam era media visual dan budaya digital, karpet merah bukan sekadar ruang fesyen, tetapi telah berkembang menjadi medan komunikasi simbolik yang sarat makna.

Ramai selebriti hadir dengan lencana, reben atau warna tertentu yang membawa mesej solidariti terhadap isu global. Walaupun tidak semua mesej ini dinyatakan secara eksplisit, simbol-simbol tersebut berfungsi sebagai tanda yang boleh ditafsir oleh khalayak. Pakaian tidak lagi sekadar estetika, tetapi menjadi bahasa visual yang menyampaikan pendirian politik secara halus namun berkesan.

Judith Butler melalui perspektif performativiti menyatakan tindakan ini boleh difahami sebagai bentuk “persembahan identiti” yang bukan sahaja mencerminkan siapa individu tersebut, tetapi juga apa yang diwakilinya. Setiap pilihan visual, iaitu warna, bentuk, aksesori menjadi sebahagian daripada naratif yang dibina di hadapan khalayak global. Selebriti tidak sekadar hadir sebagai individu, tetapi sebagai simbol yang membawa makna kolektif.

Karpet merah berfungsi sebagai ruang perantaraan antara industri hiburan dengan wacana politik. Karpet menyediakan platform yang membolehkan mesej disampaikan tanpa perlu melalui struktur formal seperti ucapan atau dialog. Dengan liputan media yang meluas dan penyebaran imej secara pantas di media sosial, simbolisme ini mampu mencapai khalayak yang jauh lebih besar berbanding ucapan di pentas semata-mata.

Fenomena ini juga berkait rapat dengan apa yang dihuraikan oleh Henry Jenkins sebagai budaya partisipatif, yang mana khalayak tidak lagi sekadar menerima mesej, tetapi turut terlibat dalam proses pentafsiran dan penyebaran makna. Setiap imej dari karpet merah boleh menjadi bahan perbincangan, perdebatan dan bahkan kontroversi, sekali gus memperluas jangkauan wacana politik yang dihasilkan.

Namun begitu, simbolisme ini juga menimbulkan persoalan tentang keikhlasan dan performativiti. Adakah tindakan ini benar-benar mencerminkan komitmen terhadap isu yang diangkat, atau sekadar strategi imej dalam industri yang sangat bergantung kepada persepsi awam? Persoalan ini penting kerana menyentuh hubungan antara estetika, etika dan kuasa dalam budaya popular.

Dalam konteks Oscars 2026, karpet merah memperlihatkan bahawa politik tidak hanya hadir dalam bentuk kata-kata atau naratif filem, tetapi juga melalui visual dan juga simbol yang membentuk pengalaman tontonan secara keseluruhan.

Reaksi Khalayak dan Polarisasi Global

Jika pentas Oscar 2026 dipenuhi dengan ekspresi politik melalui filem, ucapan dan simbolisme visual, maka dimensi yang melengkapkan keseluruhan wacana ini ialah reaksi khalayak. Dalam era media digital, makna sesuatu peristiwa tidak lagi ditentukan sepenuhnya oleh penganjur atau peserta, tetapi turut dibentuk oleh respons dan tafsiran khalayak global.

Oscars 2026 memperlihatkan polarisasi yang semakin ketara dalam kalangan penonton. Di satu pihak, terdapat khalayak yang menyokong keterlibatan selebriti dalam isu sosial dan politik, melihatnya sebagai bentuk tanggungjawab moral serta penggunaan platform secara bermakna. Ucapan yang menyentuh isu kemanusiaan dan keadilan sosial dianggap sebagai suara penting yang mampu menarik perhatian dunia terhadap isu-isu yang sering diabaikan.

Namun di pihak yang lain, muncul juga kritikan bahawa Oscars telah menjadi terlalu politkal, sehingga mengaburkan fungsi asalnya sebagai acara apresiasi seni. Bagi kelompok ini, keterlibatan politik dilihat sebagai gangguan kepada pengalaman estetika, malah ada yang berpendapat bahawa selebriti tidak seharusnya gunakan pentas tersebut untuk menyampaikan pendirian politik mereka.

Polarisasi ini mencerminkan ketegangan yang lebih luas dalam masyarakat kontemporari, iaitu hubungan antara seni dan politik. Dalam kerangka pemikiran moden, seni sering diidealkan sebagai ruang yang bebas dan universal. Namun, seperti yang dihujahkan dalam kajian budaya, seni sentiasa terikat dalam konteks sosial, sejarah dan kuasa. Oleh itu, perdebatan yang muncul bukan sekadar Oscars, tetapi tentang bagaimana masyarakat memahami fungsi seni dalam dunia yang semakin kompleks.

Fenomena ini dapat dijelaskan melalui pemikiran Henry Jenkins tentang budaya partisipatif, yang mana khalayak tidak lagi berperanan sebagai penerima pasif, tetapi sebagai peserta aktif dalam membina makna. Media sosial menjadi ruang yang mana setiap ucapan, imej dan kemenangan dianalisis, diperdebatkan dan disebarkan semula dalam pelbagai bentuk naratif. Dalam konteks ini, Oscars tidak lagi berakhir di pentas Dolby Theatre, tetapi berlanjutan dalam ruang digital yang lebih luas dan dinamik.

Lebih penting lagi, polarisasi ini menunjukkan bahawa Oscars telah menjadi medan di mana nilai-nilai global dipertandingkan. Sokongan atau penolakan terhadap ucapan politik di pentas tersebut mencerminkan perbezaan pandangan tentang isu seperti keadilan, kebebasan bersuara dan peranan selebriti dalam masyarakat. Oleh itu, Oscars berfungsi sebagai cermin kepada keadaan dunia semasa, iaitu sebuah ruang yang mana konflik idea dan nilai dipaparkan secara terbuka.

Maka, Oscars 2026 bukan sahaja memperlihatkan bagaimana industri filem berinteraksi dengan politik, tetapi juga bagaimana khalayak global memberi respons terhadap interaksi tersebut. Reaksi yang berpecah bukanlah tanda kegagalan, tetapi sebaliknya menunjukkan bahawa acara ini masih relevan sebagai ruang wacana yang hidup dan berfungsi.

Menutup artikel ini, dapat dinyatakan bahawa Oscar 2026 dengan jelas memperlihatkan bahawa anugerah filem bukan lagi sekadar ruang apresiasi estetika, tetapi telah berkembang menjadi medan wacana global yang mempertemukan seni dengan kuasa, ideologi dan tanggungjawab moral.

Melalui pemilihan filem yang sarat tema konflik dan juga kemanusiaan, ucapan pemenang yang semakin lantang menyuarakan pendirian politik, serta simbolisme visual yang berfungsi sebagai bahasa alternatif, keseluruhan acara ini membentuk satu ekosistem makna yang melangkaui batas hiburan.

Polarisasi reaksi khalayak pula menunjukkan bahawa hubungan antara seni dengan politik bukan sahaja tidak dapat dipisahkan, malah menjadi semakin penting dalam memahami peranan budaya popular dalam dunia kontemporari. Oscar tidak sekadar mencerminkan realiti, tetapi turut berfungsi sebagai agen yang menstrukturkan cara realiti itu difahami, diperdebatkan dan dinilai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi