Diterbitkan pada 25 Mei 2026, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah melaksanakan Seminar Kearifan Tempatan Borneo Ke-2 pada 20 dan 21 Mei 2026 di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Putra, UNIMAS.

 “Kepimpinan dan Kepahlawanan Tokoh Tempatan Borneo”

Terdapat 17 orang pemakalah dan dua (2) orang penyampai ucap tama dari Sabah dan Sarawak telah berhimpun dan membincangkan tentang kearifan tempatan yang mengangkat tema “Kepimpinan dan Kepahlawanan Tokoh Tempatan Borneo”.

Antara tokoh yang diperkatakan termasuklah Rentap, iaitu pahlawan Iban yang menentang pemerintahan Brooke pada abad ke-19, Datuk Marapati yang mempunyai susur galur dengan pemerintahan dan masyarakat di Brunei serta beberapa wilayah di Borneo.

Begitu juga dengan Monsopiad, iaitu tokoh legenda kaum Kadazandusun di Sabah yang memiliki kekuatan luar biasa dan pernah mempertahankan kampungnya daripada ancaman musuh.

Kisah Panglima Nirkosa yang terkenal sebagai tokoh kepahlawanan yang mempertahankan masyarakat dan wilayahnya daripada ancaman luar serta Dang Insum, tokoh wanita terkenal dalam sejarah dan legenda Brunei turut dibentangkan.

Rumusan seminar tersebut merangkumi hal-hal seperti pelestarian khazanah sastera, budaya, dan kearifan peribumi melalui penyelidikan serta pendokumentasian yang sistematik. Inisiatif ini turut mengetengahkan dapatan kajian mengenai keunikan identiti pelbagai kaum sebagai rujukan generasi masa depan, sekali gus memastikan warisan sejarah dan peradaban masyarakat Sarawak terus terpelihara dalam korpus ilmu yang lebih terancang.

Menurut Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, dalam pembentangan resolusi, kearifan tempatan ini wajar dijadikan sebagai aset strategik negara dan sebagai harta intelek yang penting dalam perlindungan budaya.

Beliau turut menekankan bahawa kajian kearifan tempatan perlu dipergiatkan kerana dapat membantu  menilai semula catatan kolonial dengan lebih kritis serta menitikberatkan tradisi lisan dan sumber premier bagi menghasilkan tafsiran sejarah yang lebih adil.

Secara keseluruhannya, setelah menampilkan siri pembentangan kertas kerja dan ucap tama yang komprehensif, seminar ini bukan sekadar berkongsi kajian tentang kepimpinan dan kepahlawanan tokoh tempatan, malah memastikan jati diri dan warisan intelektual masyarakat Borneo terus relevan, dinamik dan mampan.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, di Dewan Mutiara, UNIMAS. Turut hadir meraikan acara perasmian ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ahli Lembaga Pengelola, Dato’ Dr. Jeniri Amir; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Haji Ismail; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, Dr. Dilah Tuah,  dan Pengarah Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub, UNIMAS. Puan Levas Mejus.

_________________________________

Ringkasan Laporan oleh Pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi