Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada ketika negara digugah oleh kepincangan tentang isu perpaduan dan penyatuan kaum, kehadiran Hari Raya Aidiladha boleh dijadikan pedoman kepada semua.
Setiap kali tibanya Aidiladha, langit pagi di Malaysia dipenuhi dengan gema takbir yang beralun dari masjid dan surau. Di celah-celah suara takbir itu, hadir satu suasana yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata; suara orang kampung menegur sapa sambil bersalaman serta raut wajah gembira yang datang membawa semangat kebersamaan.
Maka bermulalah ibadah korban yang bukan sekadar ritual atau upacara penyembelihan haiwan semata-mata. Pengorbanan ini merupakan sebuah pengalaman ibadat yang menghidupkan nilai dan budaya dalam kehidupan masyarakat beragama Islam di negara kita. Malah amalan ini boleh dijadikan contoh kepada semua kaum untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Dalam rukun Islam, ibadah korban berakar daripada kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s. Suatu peristiwa yang diulang-ulang pengisahannya untuk memperlihatkan kepatuhan dan ketaatan mutlak seorang hamba kepada perintahnya, iaitu Allah SWT. Peristiwa tersebut kemudiannya menjadi simbol penting dalam ajaran agama Islam tentang keikhlasan, pengorbanan dan kepatuhan yang melangkaui nilai material.
Dari sudut sejarah (dalam konteks ibadah umat Islam) lahirnya amalan korban yang disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hajj ayat 37: Daging dan darah binatang korban itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan.
Ayat tersebut memperlihatkan bahawa ibadah korban bukan sekadar ritual fizikal, sebaliknya pendidikan rohani yang membentuk jiwa manusia agar lebih ikhlas, rendah hati dan memahami makna pengorbanan sebenar. Dalam masyarakat Islam, nilai tersebut berkembang menjadi budaya kebersamaan yang diwarisi turun-temurun.
Hari Raya Aidiladha bukan sahaja menghubungkan manusia dengan Tuhan, sambutan ini turut menemukan manusia dengan manusia lain melalui semangat gotong-royong, perkongsian rezeki dan rasa kemanusiaan. Namun demikian, ketika masyarakat hari ini bergerak dalam arus kehidupan moden yang semakin individualisme dan digitalisasi, timbul persoalan tentang sejauh manakah semangat kebersamaan itu masih kekal utuh?
Apakah ibadah korban hari ini masih berfungsi sebagai wahana penyatuan masyarakat Melayu, atau sekadar menjadi rutin tahunan yang kehilangan roh kebersamaannya sama ada sesama agama atau dengan semua kaum di negara kita?
Perkara yang utama perlu ditanam dalam jiwa umat Islam adalah ibadah korban sebagai warisan kebersamaan masyarakat Malaysia yang perlu dihormati. Dalam budaya masyarakat Melayu, Aidiladha sering menjadi antara detik yang paling meriah selepas Aidilfitri.
Seawal pagi, penduduk kampung akan berkumpul di masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidiladha, sebelum memulakan urusan penyembelihan haiwan korban. Di situlah lahir suatu suasana yang memperlihatkan semangat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang sekian lama menjadi tunjang kehidupan masyarakat Melayu.
Golongan lelaki biasanya menguruskan penyembelihan dan melapah daging, manakala kaum wanita sibuk menyediakan makanan untuk semua yang hadir bekerjasama. Anak-anak muda pula membantu melapah dan mengangkat daging, membersihkan kawasan dan menghantar agihan dari rumah ke rumah bersama senyum dan salam.
Kanak-kanak yang hadir menyaksikan sembelihan berlari di sekitar kawasan sambil memerhati dengan penuh rasa ingin tahu. Suasana seperti ini menjadikan ibadah korban bukan sekadar ibadah individu, malah sebuah pengalaman kolektif yang inklusif mengikat hubungan sosial masyarakat.
Mengimbas amalan masyarakat Melayu tradisional dalam ibadah korban, daging bukan hanya dilihat sebagai makanan wajib pada Aidiladha. Hasil ibadah ini menjadi lambang kasih sayang dan perkongsian rezeki sesama umat Islam tanpa mengira darjat dan pangkat.
Tidak hairanlah jika orang tua dahulu sering berpesan bahawa cubit paha kanan di paha kiri juga berasa sakitnya yang membawa maksud penderitaan dan kesusahan orang lain perlu turut dirasai bersama. Oleh sebab itu, pembahagian daging korban kepada golongan miskin, jiran tetangga dan saudara-mara menjadi antara nilai penting yang menghidupkan semangat kemasyarakatan.
Malahan, budaya korban turut memperlihatkan fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam. Masjid bukan sekadar tempat ibadah, rumah ibadah ini turut menjadi medan pertemuan sosial yang menemukan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Ketika melapah dan memotong daging, seorang guru boleh duduk bersama penoreh getah, pegawai kerajaan boleh bekerjasama dengan peniaga pasar malam, manakala anak-anak muda pula belajar tentang kehidupan melalui pengalaman bersama orang tua-tua. Di situlah lahir nilai hormat-menghormati dan semangat persaudaraan yang semakin sukar ditemukan dalam kehidupan moden hari ini.
Rasulullah SAW juga menekankan kepentingan hubungan sesama manusia melalui sabdanya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hadis tersebut sangat dekat dengan roh ibadah korban yang menuntut umat Islam berkongsi nikmat dan rezeki dengan insan lain yang barang kali tidak pernah menjamah daging sepanjang tahun. Dalam konteks masyarakat Melayu, semangat tersebut diterjemahkan melalui budaya gotong-royong dan saling membantu yang menjadi asas kekuatan komuniti sejak dahulu lagi.
Seterusnya, aspek nilai pengorbanan dan kemanusiaan dalam budaya Melayu yang ikhlas dan tulus. Di sebalik penyembelihan haiwan dan pembahagian daging, ibadah korban sebenarnya mendidik manusia tentang makna pengorbanan yang lebih besar. Korban bukan hanya tentang mengeluarkan wang untuk membeli lembu atau kambing.
Lebih daripada itu adalah tentang kesediaan manusia mengorbankan sifat tamak, ego dan mementingkan diri sendiri. Dalam budaya Melayu, orang tua-tua sering mengaitkan pengorbanan dengan nilai budi dan keikhlasan. Kata-kata seperti aur dengan tebing, misalnya menggambarkan pentingnya hubungan saling membantu dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat inilah yang terpancar ketika Aidiladha apabila masyarakat berganding bahu tanpa mengharapkan balasan.
Masyarakat Melayu sejak dahulu memahami bahawa keberkatan hidup tidak terletak pada banyaknya harta sebaliknya pada cara rezeki itu dapat dikongsi bersama orang lain. Sebab itulah ramai sanggup menyimpan wang sedikit demi sedikit semata-mata ingin melakukan ibadah korban. Ada yang menabung hampir setahun, ada yang berkongsi seekor lembu bersama ahli keluarga, malah ada yang lebih mengutamakan ibadah korban daripada membeli barangan mewah.
Namun begitu, kita tidak boleh mengabaikan bahawa perubahan zaman turut membawa kepada perubahan terhadap cara masyarakat melihat ibadah korban. Dalam era media sosial hari ini, tidak dapat dinafikan wujud kecenderungan sesetengah pihak menjadikan korban sebagai simbol kemewahan dan status sosial.
Gambar lembu bersaiz sasa, rakaman penyembelihan dan paparan pakej korban mewah, kadangkala lebih menonjol berbanding nilai keikhlasan yang menjadi inti pati sebenar ibadah korban.
Fenomena ini mengingatkan masyarakat akan pesanan bijak pandai bahawa umpama “merak mengigal di hutan”, iaitu melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan pujian dan perhatian. Sedangkan dalam Islam, setiap amalan yang dilakukan dengan riak akan kehilangan nilai spiritual yakni pahala.
Ibadah korban sewajarnya menjadi medan muhasabah diri, bukannya ruang pertandingan kemewahan. Walau bagaimanapun, tidak wajar juga masyarakat melihat perubahan ini secara pesimis. Hakikatnya, masih ramai umat Islam yang melaksanakan korban dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab sosial.
Kebanyakan masjid, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan belia yang terus menghidupkan tradisi gotong-royong serta membantu golongan memerlukan melalui program korban dengan ikhlas. Semangat inilah yang membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dalam ibadah korban masih terus hidup dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Namun begitu, persoalan yang harus difikirkan bersama adakah ibadah korban dalam arus moden ini, masih menyatukan? Perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup moden sedikit sebanyak mengubah pengalaman masyarakat terhadap ibadah korban. Jika dahulu hampir seluruh penduduk kampung berkumpul di satu kawasan untuk bersama-sama menguruskan korban, pada hari ini banyak urusan dilakukan secara dalam talian dan lebih bersifat individualistik.
Di kawasan bandar misalnya, ramai memilih pakej korban yang diuruskan pihak tertentu tanpa perlu hadir ke lokasi penyembelihan. Ada yang melaksanakan korban di luar negara atas faktor kos dan kemudahan. Dari sudut syariat, hal tersebut tidak menjadi masalah, namun pengalaman sosial yang dahulunya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita semakin terhakis.
Selain itu, kehidupan moden yang sibuk juga menyebabkan hubungan kejiranan semakin renggang. Ada jiran yang tinggal bertahun-tahun bersebelahan, namun tidak pernah benar-benar saling mengenali. Dalam keadaan seperti itu, Aidiladha sepatutnya menjadi ruang untuk menghidupkan kembali hubungan kemasyarakatan yang semakin terhakis. Malangnya, terdapat juga situasi apabila ibadah korban hanya selesai pada urusan pembayaran dan penerimaan daging tanpa wujud interaksi sosial yang muhibah.
Perubahan ini sebenarnya menggambarkan cabaran besar masyarakat moden yang semakin cenderung kepada kehidupan individualistik. Barangkali lebih mudah difahami dengan kata-kata seperti “enau dalam belukar” yang melepaskan pucuk masing-masing.
Sikap manusia yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan orang lain. Jika perlakuan sebegini terus berkembang, maka masyarakat akan kehilangan nilai kebersamaan yang sekian lama menjadi kekuatan budaya masyarakat kita. Walaupun begitu, masih terdapat banyak usaha yang memperlihatkan bahawa ibadah korban terus menjadi wahana penyatuan masyarakat.
Di pelbagai tempat, golongan belia masjid dan sukarelawan masih berganding bahu menguruskan program korban, membantu keluarga miskin serta mengagihkan daging kepada mereka yang memerlukan. Ada juga komuniti perumahan yang menjadikan Aidiladha sebagai ruang mengeratkan hubungan kejiranan melalui jamuan dan aktiviti memasak bersama-sama.
Malah, sesetengah generasi muda mula menggunakan media sosial untuk tujuan yang lebih positif seperti menggerakkan bantuan korban kepada masyarakat pedalaman dan golongan miskin. Hal ini menunjukkan bahawa teknologi bukan semestinya memisahkan manusia, ia boleh menjadi alat untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan jika digunakan dengan bijaksana.
Sesungguhnya, roh ibadah korban tidak terletak pada kaedah pelaksanaannya semata-mata, tetapi pada sejauh mana manusia mampu menghayati nilai pengorbanan dan kemanusiaan yang terkandung di dalamnya?
Aidiladha sepatutnya mengingatkan masyarakat bahawa kehidupan tidak dapat dibina melalui sikap individualistik semata-mata. Sebaliknya, sebuah masyarakat yang kuat lahir daripada semangat saling membantu dan saling memahami antara satu sama lain.
Hakikatnya, ibadah korban dalam masyarakat Islam terutama orang Melayu bukan sekadar ritual tahunan yang diulang saban tahun, sebaliknya sebuah warisan budaya yang membentuk nilai kemasyarakatan dan semangat persaudaraan. Di sebalik darah yang mengalir dan daging yang diagihkan, tersimpan makna pengorbanan yang mendidik manusia tentang keikhlasan, empati dan tanggungjawab terhadap insan lain.