Diterbitkan pada 30 Oktober 2024, 23:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan program Kayak Riadah di Tasik Elham yang disertai oleh warga kampus dan pengunjung luar.

Menurut Pengarah Program Kayak Riadah, YBrs. Dr. Muhammad Zhafran Mohd Halizan, aktiviti kayak melibatkan hampir seluruh otot tubuh, terutamanya lengan, bahu, dan perut yang membantu meningkatkan kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti otot-otot yang terlibat.

Jelas beliau,

Aktiviti ini dapat memusatkan perhatian pada gerakan mendayung dan menjaga keseimbangan selain dapat membantu meningkatkan fokus, meningkatkan pelepasan hormon endorfin yang dapat meningkatkan ketenangan hati serta meningkatkan perasaan gembira.

Tambah beliau, lokasi Tasik Elham yang strategik di UiTM Cawangan Perlis sememangnya berpotensi untuk dibangunkan menjadi hub riadah bukan sahaja dalam kalangan pelajar UiTM, malah juga komuniti setempat.

Dengan keindahan flora yang menyerikan panorama tasik dan kelebihan jarak yang dekat dengan kompleks kediaman dan pembelajaran, tasik ini wajar ditransformasikan menjadi hub riadah pelajar dan staf UiTM terutamanya bagi mereka yang ingin bersantai pada waktu pagi atau petang.

Suasana Tasik Elham yang indah dan tenang.

 

Sementara itu, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs.  Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, aktiviti kayak akan menjadi tarikan baharu persekitaran Tasik Elham dan merupakan satu daripada program dalam Festival Jubli Emas 2024 yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 21 Oktober 2024.

Ujar beliau,

Saya yakin dengan aktiviti Kayak Riadah menjadi pencetus kepada pelbagai transformasi Tasik Elham dalam proses merancakkan aktiviti pelancongan dalam kampus yang semakin mendapat perhatian ketika berlangsungnya program berkapasiti besar.

Program Kayak Riadah ini secara tidak langsung menyokong kempen Tahun Melawat Perlis Tahun 2024-2025 yang dilancarkan oleh DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sekali gus menambah bilangan pelawat dan menyokong ekosistem sosioekonomi tempatan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi