Diterbitkan pada 2 Januari 2025, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rakaman suasana alam dan pengalaman kehidupan manusia berinteraksi bersama-sama artifak dan persekitarannya pasti akan kembali menjelma kepada setiap pengunjung ke pameran Jiwa Membumi yang sedang berlangsung di Muzium dan Galeri Seni, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur sehingga Februari  2025.

Pameran itu yang dianjurkan oleh Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia bertujuan menonjol dan menghargai karya seni dan khazanah warisan yang dirakamkan dan diberikan pengisahan sendiri oleh para seniman yang melalui sendiri zaman itu.

Selain artifak dalam bentuk objek sebenar; situasi atau gambaran suasana ketika itu yang turut berjaya dirakamkan melalui lensa kamera atau lukisan di kanvas juga akan berupaya mengingatkan kembali ingatan seseorang kepada masa silam.

Gabenor Bank Negara, Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour ketika merasmikan pameran tersebut telah menyatakan bahawa pameran ini selari dengan hasrat bank pusat itu sebagai badan korporat kewangan dalam menghargai seni dan khazanah warisan negara yang mampu menyemarakkan perasaan jiwa masyarakat.

Katanya, pameran itu juga akan turut memberi kesempatan kepada masyarakat menghargai keunikan seni tersendiri yang berupaya merasai degupan jiwa tanah air untuk terus mengukuhkan jati diri, memupuk nilai patriotisme dan rasa sayang kepada bumi tercinta.

Beliau turut menghargai dan kagum dengan keupayaan para seniman itu yang masih menyimpan koleksi karya silam masing-masing untuk diketengahkan kembali untuk tatapan generasi hari ini.

“Sebilangan mereka merupakan nama besar dalam kerjaya masing-masing termasuk bekas wartawan foto, Eric Peris yang menjadi tokoh penting dalam negara melalui foto-foto hitam putih rakamannya”

“Selain merakamkan acara dan peristiwa semasa yang berlaku, beliau yang dilahirkan di Johor pada 1939  juga mempunyai hobi merakamkan keindahan alam melalui karyanya Siri Sawah Padi.”

Begitu juga rakaman foto hasil minatnya yang menjelajah seluruh negara meliputi lanskap sungai, hutan dan tanah tinggi  di samping foto-foto yang memaparkan kedamaian kampung dengan kehidupan masyarakat saling berinteraksi berlatarbelakangkan suasana zaman pada ketika itu.

Antara tokoh lain yang dipilih dalam pameran termasuklah Alan Ng, Ariff Awaluddin, Soraya Yusof, Azman Karib, Azul Adnan, Chong Kok Choon, Grace Ho, Grez Chan, Nora Yusuf, Supian Ahmad dan Hariz Hamdan

Selain pameran foto dan subjek lain, pengunjung juga dapat mengenali lebih dekat latar belakang kehidupan para seniman ini yang turut dipaparkan bersebelahan sudut karya-karya mereka.

Cenderamata khas yang diinspirasikan hasil karya-karya seni daripada pameran ini termasuk buku lakaran, rantai kunci dan poskad juga turut dijual di kedai  muzium berkenaan untuk koleksi pengunjung.

Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai program umum lain termasuk sesi bual bicara dan bengkel.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi