Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Warisan tamadun Kerajaan Kedah Tua dan kepelbagaian hidupan di Sungai Merbok menarik minat mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis untuk mengadakan lawatan ke Galeri Produk Jerai Geopark pada 7 Januari 2025 yang lalu.
Lawatan yang diadakan menerusi Program Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan ini disertai oleh 35 orang mahasiswa dan seorang pensyarah pengiring.
Antara galeri yang dilawati termasuklah Galeri Kedah Tua, Galeri Biodiversiti Sungai Merbok, dan Galeri Jerai Geopark.
Banyak maklumat berguna diperoleh, terutamanya berkaitan dengan pemerintahan Kerajaan Kedah Tua yang bermula sejak kurun ke-6 SM di Kompleks Sungai Batu.
Kompleks ini terpilih kerana lokasinya yang strategik dan keadaan ekologinya yang subur dengan hasil bumi yang banyak dan bernilai.
Kerajaan Kedah Tua dilihat sebagai sebuah kerajaan yang maju pada zaman itu kerana mempunyai perusahaan dan kepakaran melebur besi untuk menghasilkan relau dan peniup angin.

Sumber mentah bijih besi seperti hematit dan magnetit yang mudah didapati di persekitaran Gunung Jerai telah menyokong pesat pembangunan Kerajaan Kedah Tua.
Kepelbagaian spesies flora dan fauna yang hidup di ekologi air tawar, air payau dan air masin seperti spesies lotong sungai, burung pekaka, spesies tupai sungai, kerang-kerangan dan reptilia pula dapat dilihat di Galeri Biodiversiti Merbok.
Selain itu, lawatan ke Galeri Jerai Geopark memberikan pendedahan tentang fungsi dan peranan Geotrail atau laluan geologi sekitar Geopark Jerai yang terhubung antara geotapak yang tersimpan banyak nilai warisan sejarah dan panorama landskap yang unik dan hijau.
Pelestarian Geopark Jerai dapat membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat sambil memelihara warisan ini melalui pelbagai aktiviti pemuliharaan dan geopelancongan terancang.

Peserta lawatan, Muhammad Faiz Abd Rahim berkata, program lawatan ini memberikan impak yang berguna kepada mahasiswa dalam usaha membina masyarakat “celik sejarah“ dan menghargai khazanah masyarakat lampau.
“Saya mempelajari peranan penting Kerajaan Kedah Tua yang berkembang pesat dalam ekonomi industri besi, iaitu penghasilan jongkong besi banyak digunakan untuk membuat senjata dan kereta kuda pada ketika itu,“ katanya.
Sementara itu, Muhammad Irman Fazley Abdullah pula berkata, lawatan ini menambahkan ilmu pengetahuan tentang kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna yang saling melengkapi antara satu sama dengan lain.
“Bukan hanya sekadar habitat kepada kepelbagaian fauna marin dan muara sungai, spesies flora seperti Bakau Minyak, Perepat, Chengam, Gedabu, Berembang, Bakau Kurap, Kurma Laut dan Api-Api Ludat juga mempunyai signifikasi yang amat tinggi, dan jika tidak dipelihara secara mapan akan memberikan kesan kepada generasi akan datang untuk menghargai warisan yang tidak ternilai ini,“ katanya.
Dengan kemudahan fasilitet seperti tandas awam, kawasan parkir kenderaan, kawasan permainan kanak-kanak dan kedai cenderahati, Galeri Produk Jerai Geopark pastinya memberikan kemudahan untuk para pengunjung, terutamanya golongan belia untuk melancong sambil mempelajari sejarah Sungai Merbok.