Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Menjelang malam-malam akhir Ramadan, bahang Aidilfitri mula terasa. Anak perantau yang mencari rezeki di kota terutamanya Kuala Lumpur akan mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran bersama-sama keluarga tercinta. Ada juga yang membanjiri ekposisi membuat persiapan terakhir bagi menyambut hari lebaran.
Suasana meriah ini turut dirasai di desa. Malam-malam terakhir Ramadan ini akan dipenuhi dengan sinaran lampu pelita yang menjadi tradisi masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Selain pelita yang diperbuat daripada logam, pelita yang diperbuat daripada buluh atau panjut turut digunakan bagi menghiasi laman rumah. Ada beberapa buah rumah menggunakan kelipan lampu raya bagi menggantikan sinaran lampu pelita dan panjut.
Tradisi memasang pelita dipercayai bermula sejak zaman dahulu ketika bekalan elektrik belum meluas digunakan. Pada ketika itu, masyarakat menggunakan pelita sebagai sumber pencahayaan utama untuk menerangi kawasan rumah dan laluan ke masjid bagi menunaikan solat sunat tarawih serta bertakbir pada malam raya. Selain itu, dalam konteks budaya Melayu, cahaya sering dikaitkan dengan penyucian dan keberkatan, menjadikan pemasangan pelita sebagai simbol pembersihan diri sebelum menyambut Aidilfitri.
Menurut Allahyarham Dr. Mohd Rosli Saludin, mantan pensyarah kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pemasangan pelita atau panjut bukan sekadar untuk meraikan kedatangan Syawal tetapi mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan sosial masyarakat Melayu.
Menurut beliau, sebelum penggunaan pelita atau panjut, orang Melayu dahulu kala menggunakan suluh dunia atau suluh daun kelapa yang diperbuat daripada pelepah daun kepala yang kering, juga disebut sebagai andang atau jamung. Andang atau jamung ini dibakar menggunakan damar yang diperoleh daripada kayu meranti, cengal atau keruing kerana zaman dahulu belum ada lagi minyak tanah. Penggunaannya diamalkan secara meluas oleh masyarakat Melayu pada ketika itu.
Selain pelita atau panjut, orang Melayu dahulu turut menggunakan tempurung yang disusun secara bertingkat dan teratur dengan di tengahnya ditebuk lubang. Lubang ini dibuat bagi memudahkan tempurung ini disusun pada sebatang tiang besi.
Selepas itu, pelita tradisional, yakni pelita buluh atau panjut diperbuat daripada batang buluh yang dipotong dan diisi minyak tanah sebagai bahan bakar. Sumbu diperbuat daripada kain kapas yang diserap dalam minyak dan dinyalakan untuk memberi cahaya. Selepas kewujudan logam, masyarakat Melayu biasanya akan menggunakan pelita minyak tanah dengan menggunakan bekas logam yang lebih tahan lama.
Dalam sesetengah sumber, tradisi ini juga dikatakan berasal daripada amalan masyarakat terdahulu yang ingin menunjukkan hospitaliti kepada musafir yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Dengan memasang pelita di sepanjang jalan dan di halaman rumah, membantu memudahkan perjalanan para tetamu serta mencipta suasana yang mesra dan selamat.
Seiring dengan perkembangan zaman, pelita moden mula diperkenalkan dengan pelbagai reka bentuk dan bahan. Antaranya bentuk pelita moden yang digunakan sekarang ialah pelita elektrik yang menggunakan mentol diod pemancaran cahaya (LED) dan tenaga elektrik bagi menggantikan penggunaan minyak tanah yang kurang mesra alam dan lampu hiasan berbentuk pelita yang digunakan untuk tujuan dekorasi serta menyerupai pelita tradisional. Lampu hiasan ini lebih selamat dan tahan lama.
Walaupun pelita moden semakin banyak digunakan, pelita atau panjut masih mempunyai tempat dalam hati masyarakat kerana membawa nostalgia zaman dahulu dan melambangkan warisan budaya yang unik.
Tradisi memasang pelita bukanlah sekadar hiasan atau nostalgia semata-mata, tetapi juga mempunyai nilai budaya dan sosial yang tinggi. Tradisi ini membawa simbol keberkatan dan kegembiraan kerana cahaya pelita melambangkan kegembiraan menyambut Aidilfitri dan simbol pembersihan jiwa selepas Ramadan. Tradisi ini juga dapat memupuk semangat kejiranan terutamanya di kampung kerana masyarakat kampung akan bergotong-royong bagi memasang pelita di jalan-jalan utama dan di halaman rumah.
Di Kampung Ribu, Padang Rengas, Perak misalnya, tradisi memasang panjut gergasi telah dimulakan sejak tahun 2014. Menerusi tradisi ini, sebuah menara panjut setinggi sembilan meter dan lebar 14 meter pernah dihasilkan secara gotong-royong oleh penduduk kampung itu pada tahun 2021. Menara panjut itu dibina menggunakan 32 batang buluh, empat aras tingkat menggunakan 128 tetupai, 64 batang gelagar, 24 keping lantai dan lebih 2000 pelita. Menara panjut itu diinspirasikan dari Masjid Selat Melaka, Melaka.
Tema itu dipilih bagi mengembalikan ingatan penduduk setempat tentang kegemilangan Tamadun Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Pada tahun 2022 pula, masyarakat kampung itu membina menara panjut berinspirasi Masjid Putrajaya.
Di Terengganu, pihak kerajaan negeri meneruskan program Pertunjukan Pelita Raya diadakan pada tahun 2025. Untuk tahun ini, program ini diadakan di pekarangan Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu. Program yang dilangsungkan dari 13 Mac hingga 16 Mac 2025 itu mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh daerah di Terengganu termasuk beberapa negara luar, iaitu Thailand, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
Perlis dan Kelantan turut menghantar wakil bagi menyertai pertunjukan itu. Program ini telah bermula sejak dahulu dan menjadi antara program tradisi yang sering dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu pada setiap tahun.
Bagi masyarakat yang membesar di kampung, tradisi memasang pelita sering dikaitkan dengan kenangan manis zaman kanak-kanak. Selepas berbuka puasa, kanak-kanak akan berkumpul dengan rakan-rakan untuk membantu memasang pelita di halaman rumah dan sepanjang jalan kampung. Mereka juga sering bermain bunga api dan mercun di bawah cahaya pelita bagi menambahkan kemeriahan suasana malam raya.
Dalam kebanyakan keluarga, tugas memasang dan menyalakan pelita diberikan kepada anak-anak sebagai sebahagian daripada persiapan Aidilfitri. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mengajar mereka tentang nilai tanggungjawab dan kepentingan menjaga tradisi itu sendiri.
Tradisi memasang pelita bersempena dengan Aidilfitri merupaka satu daripada tradisi yang unik dalam budaya Melayu. Tradisi ini juga melambangkan kegembiraan, keberkatan dan semangat kejiranan yang utuh dalam masyarakat. Walaupun berdepan cabaran dalam era moden, memasang pelita masih relevan sebagai satu bentuk warisan yang patut dihargai dan dipelihara. Dengan usaha berterusan dari masyarakat dan pihak berwajib, tradisi ini dapat terus bersinar dan menjadi sebahagian daripada sambutan Aidilfitri yang penuh bermakna pada setiap tahun.