Diterbitkan pada 10 April 2025, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketika Malaysia menjadi tumpuan para Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN untuk bersidang bagi kali ke-12 dari 7 hingga 10 April 2025, Bank Negara Malaysia turut mengambil inisiatif menonjolkan semangat dan kesepakatan komuniti kewangan serantau melalui dua pameran yang berlangsung di bangunan Sasana Kijang, Kuala Lumpur.

Pameran pertama, Numismatic Marvel: Minted History, Printed Heritage mengisahkan hal ehwal ekonomi dan kedaulatan negara-negara ASEAN menerusi lensa mata wang.

Pameran ini juga memerihalkan pengalaman Malaysia mengeluarkan mata wang sendiri selepas merdeka atas keupayaan menguruskan kerajaan sendiri yang bebas daripada pengaruh kuasa luar.

Berucap merasmikan pameran, Gabenor Bank Negara, YBhg. Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, mata wang Malaysia ketika ini bukan sekadar mencerminkan sejarah negara dan warisan budaya tetapi juga aspirasi negara untuk masa depan yang lebih baik dan cemerlang.

Beliau melihat, walaupun mata wang negara kini berkembang kepada era pembayaran digital tetapi wang syiling dan wang kertas masih tetap mendapat tempat istimewa dalam hati rakyat kerana mempunyai nilai tersendiri dalam sejarah kehidupan setiap individu.

Dengan mengunjungi pameran ini, pelawat berpeluang meneroka evolusi sejarah oleh masyarakat purba yang mengamalkan urusan tukar barang dan kemudiannya berusaha mewujudkan mata wang bagi memudahkan urusan jual beli mereka.

Seawal penggunaan kulit kerang hinggalah kepada perkembangan tamadun masyarakat yang mendapat ilham untuk menghasilkan wang syiling dan wang kertas sebagai ukuran nilai  bagi memudahkan urusan jual beli.

Turut dipamerkan ialah beberapa artifak atau replika berkaitan kewangan yang jarang ditemui dari negara-negara anggota ASEAN dan menyerlahkan peranan bank pusat di setiap negara.

Melalui galeri seni di tingkat 3 pula, pameran yang bertema “Rona dan Kata” berusaha memaparkan dialog yang menarik antara aksi dinamik bidang seni dan kesusasteraan dengan mata wang. Sebanyak 150 karya seni dari Malaysia dan ASEAN dipamerkan untuk dihayati oleh pengunjung.

Termasuk penghasilan teks puisi yang digabungkan dengan bentuk visual, muzik, filem dan ilustrasi yang mengadaptasi karya sastera. Terdapat juga beberapa karya seni yang jarang ditemui dari negara ASEAN  dipamerkan melalui segmen Warna dan Perkataan, lham daripada Kata-kata dan Surat dari ASEAN.

Pengarah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, Noreen Zulkepli berkata, kedua-dua pameran ini bukan sekadar memaparkan objek dan artifak, tetapi menunjukkan fungsi utamanya untuk membantu masyarakat memahami kisah bermakna dan sama-sama  berkongsi sejarah yang mengikat ASEAN melalui mata wang dan seni.

Kedua-dua pameran itu dibuka kepada orang ramai mulai sekarang hingga 12 Oktober 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi