Diterbitkan pada 22 April 2025, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Hasil kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 menunjukkan tahap bacaan rakyat Malaysia sebanyak 24 naskhah dalam setahun, yakni 16 naskhah bahan bercetak dan lapan naskhah lagi merupakan bahan digital.

Oleh itu, mahasiswa amatlah digalakkan untuk terus mengamalkan budaya membaca terutamanya dalam membaca bahan berkualiti, sekali gus dapat menghasilkan penyelidikan saintifik dan penerbitan makalah berimpak tinggi.

Demikian perkongsian yang disampaikan oleh Mantan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak dalam program perkongsian ilmu bersama-sama mahasiswa tahun akhir di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, baru-baru ini.

Perkongsian beliau banyak menyentuh amalan membaca bahan ilmiah bermutu tinggi untuk menghasilkan tesis dan kertas penyelidikan berimpak tinggi yang akan meningkatkan ketampakkan universiti dan sistem pendidikan tinggi negara dalam bidang akademik dan penyelidikan.

YBrs Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak menekankan aspek membudayakan aktiviti membaca bahan berilmiah ketika berucap di Dewan Kuliah 6, Komples STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menyeru mahasiswa perlu membudayakan amalan membaca buku dan artikel berilmiah untuk memperolehi pengetahuan yang sahih dan terkini.

Di zaman moden ini, sumber bahan bacaan digital dan fizikal amatlah banyak dan mudah diperoleh berbanding pada zaman dahulu dan ini menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk membuat pilihan yang tepat untuk memilih bahan bacaan berilmiah dan bermanfaat

Jelas beliau lagi, untuk mendapatkan pengetahuan sahih dan terkini amalan membaca sebagai rutin harian walaupun terkesan dengan jadual kuliah yang padat dan gangguan digital di zaman moden.

Hal ini kerana amalan membaca bahan berilmiah akan membantu mereka menyusun penulisan akademik dan penyelidikan dengan lebih teratur dan membolehkan mahasiswa memperoleh maklumat yang tepat dan sahih.

Selain itu, beliau juga mengulas berkenaan teknik ulasan literatur yang lemah dalam kalangan mahasiswa dan perkara ini dapat diatasi dengan usaha mahasiswa, yakni membaca artikel berulang kali serta meneliti isu dan kesimpulan kajian utama yang disampaikan oleh penulis.

Sebagai langkah pertama, mahasiswa boleh membaca abstrak dan kesimpulan artikel bagi memahami intipati kajian serta mengenal pasti struktur artikel kerana artikel penyelidikan sarat dengan instilah teknikal dan ayat akademik yang tinggi,“

Menggunakan teknik skim dan imbas, menghasilkan ilustrasi peta minda dan menanda perkataan dan istilah yang tidak dikenali merupakan sebahagian langkah yang baik untuk memastikan makna dalam setiap ayat dalam artikel tersebut diterjemahkan dengan betul,“ tambah beliau.

Beliau juga memohon para mahasiswa untuk mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pensyarah atau penyelia bagi membantu memahami setiap bahan bacaan yang dibaca.

Sikap malas membaca dan tidak ringan mulut untuk bertanya kepada pensyarah dan penyelia menyebabkan mahasiswa tersebut menghasilkan penulisan akademik yang lemah, merosotkan kemahiran berfikir secara kritis dan menjejaskan kualiti graduan,“

Membudayakan amalan membaca bahan berilmiah bukan sekadar tugas akademik, tapi menjadi pemangkin untuk bangunkan diri sebagai pemikir, penyelesai masalah dan penyumbang kepada masyarakat,“ tambah beliau lagi.

Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau berharap mahasiswa untuk mengenalpasti teknologi dan perisian kecerdasan buatan yang boleh membantu mereka dalam memahami intipati bahan bacaan dengan lebih efektif dan memotivasikan mereka untuk mengamalkan budaya membaca sebagai rutin yang penting.

YBrs Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak memberi tips penulisan bab sorotan literatur melalui kaedah skim dan imbas.

Penguasaan kemahiran membaca yang dipadukan dengan teknologi terkini menjadi teras penulisan bahan ilmiah berimpak tinggi dan bermanfaat dalam memacu pembangunan universiti dan negara,“ kata beliau.

Kredit Foto: Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi